KUALA LUMPUR: Filem seram Khadam membuktikan taringnya apabila berjaya merekod kutipan pecah panggung sebanyak RM2.6 juta ($810,000) selepas tujuh hari ditayangkan di seluruh negara.

Kejayaan luar biasa ini menjadi isyarat jelas bahawa sokongan penonton terhadap karya tempatan berada di fasa terbaik, sekali gus meneruskan momentum kegemilangan genre seram tanah air.

Pengarah Shamyl Othman berkata pihaknya amat terharu dan menyifatkan fenomena ini sebagai satu penghormatan daripada penonton, lapor BH Online.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur melihat sambutan yang diberikan kepada Khadam.

“Kutipan melepasi RM2.6 juta ini bukan sekadar angka buat kami, tetapi membuktikan bahawa Khadam mendapat tempat di hati penonton.

“Melihat begitu ramai yang hadir ke pawagam, berkongsi pengalaman dan memperkatakan tentang filem ini memberikan makna yang sangat besar buat kami sebagai pembikin filem,” katanya dalam kenyataan pada 18 Jun.

Shamyl berkata Khadam lahir daripada usaha ramai individu yang mencurahkan tenaga, masa dan hati mereka untuk menjadikan filem ini sebagai sebuah pengalaman yang bermakna.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh penonton yang telah membeli tiket, berkongsi pandangan dan menyokong filem ini sejak hari pertama.

“Kepada yang sudah menonton, terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Kepada yang belum, kami menantikan kehadiran anda di pawagam,” katanya.

Rata-rata penonton dan pengkritik filem memuji Khadam kerana berjaya menampilkan sisi seram yang segar, berbeza dan tidak sekadar bersandarkan kepada elemen ‘jumpscare’ (terkejut) murahan.

Kekuatan naskhah ini turut disokong barisan pelakon seperti Datuk Remy Ishak, Aghniny Haque, Siti Khadijah Halim, Jun Lojong serta pelakon cilik, Zarra Zhaf dan Karl El yang memberikan persembahan cukup berkesan.

Sebagai tanda penghargaan atas sokongan luar biasa peminat, Remy Ishak, Siti Khadijah Halim dan Jun Lojong bersama tenaga produksi akan turun padang menjayakan Siri Jelajah Pantai Timur iaitu Kuantan pada 20 Jun.

Mereka akan berada di GSC East Coast Mall pada 1 tengah hari selain GSC Kuantan City Mall (8.45 malam).