Selebriti serba boleh dan pengasas StarVendors, Ifa Raziah, 49 tahun, pengsan lalu dikejarkan ke hospital semasa acara perasmian, StarVendors KL Mega Raya Fest 2025 di KL Base Exhibition Centre (KLBEC), Sungai Besi, Kuala Lumpur, pada 22 Mac.
Acara berkenaan telah berlangsung pada 20 Mac hingga 24 Mac dan dirasmikan Menteri Komunikasi (Malaysia), Datuk Fahmi Fadzil.
Kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, turut memeriahkan acara itu.
Suami Ifa, Mohd Yani Abdul Rahman, menjelaskan kepada laman web, Berita Harian Malaysia (BHM) bahawa Ifa, atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha, sudah sedar dan masih dalam pemantauan doktor.
Mohd Yani, yang juga pengurus penyanyi lagu,Gemerincing Rindu itu, menambah bahawa keletihan melampau sehingga tekanan darah meningkat adalah punca Ifa jatuh pengsan.
“Doktor beritahu tekanan darah isteri tinggi dengan bacaan mencecah 170.
“Sebelum kejadian itu, Ifa yang sepatutnya ditemu bual media, muntah sebelum jatuh pengsan dan tidak sedarkan diri.
“Kini, Ifa ditempatkan di wad bagi tujuan pemantauan lanjut.
“Buat masa ini, kami akan ikut nasihat doktor dan fokus kepada pemulihannya dulu,” ujar beliau.
Pasukan perubatan mendapati akibat sibuk menguruskan acara dagangan, StarVendors KL Mega Raya Fest 2025, sepanjang hari tanpa mendapatkan rehat yang cukup, menyebabkan tekanan darah Ifa tidak stabil.
Malah, penyanyi dan pengacara yang bertindak selaku CEO, StarVendors Event Sendirian Berhad, juga sempat muntah sebelum tidak sedar diri.
Atas komitmen tingginya dalam memastikan kelancaran acara dagangan selama 80 jam tanpa henti itu, ia dikatakan menjadi faktor keletihan melampau sehingga menjejas kesihatan.
Selain itu, Mohd Yani turut merakam penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan isterinya.
“Terima kasih kepada semua yang prihatin, memberi kata semangat dan doa kesembuhan buat Ifa. Semoga yang baik-baik juga akan berbalik kepada anda, insya-Allah,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg