Penyanyi dangdut dan usahawan, Datuk Ifa Raziah, membuat permohonan maaf secara terbuka selepas didakwa memperlekehkan kaum Iban menerusi hantaran di ruangan komen sahabatnya.
Menurut Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha, beliau tiada niat mencetuskan provokasi dalam komen berkenaan.
Sebaliknya, beliau hanya bergurau dengan sahabat baiknya, Kelly Azman, lapor Sinar Harian.
“Saya terkejut kerana komen yang ditinggalkan itu sudah berlaku enam minggu lepas tetapi hanya tular tiga hari lepas dan kebetulan saya berada di Singapura.
“Terkejut juga apabila ramai masuk ruangan komen dan serang saya. Apabila diperiksa baru saya tahu ia dari video Kelly Azman.
“Namun pada ketika itu, saya dan Kelly hanya bergurau. Apabila gurau antara sahabat memang kita tidak maksudkan apa-apa,” katanya dalam satu hantaran video penjelasan di laman Instagram beliau pada 19 Disember.
Sebagaimana dijelaskan dalam video tersebut, pelantun lagu, Ser Ser Ser, itu turut menegaskan bahawa komennya sama sekali tidak diniatkan untuk ‘body shaming’ atau ‘face shaming’ – mengecam bentuk badan dan wajah – etnik tertentu.
“Saya tak bermaksud apa-apa pun dengan komen itu. Pertama kali lihat video Kelly itu, saya nampak ‘head gear’ yang dipakai atas kepalanya sangat cantik.
“Selalunya orang Semenanjung tidak pakai perhiasan kepala begitu. Lagipun, Kelly nampak tidak tentu arah ketika menyanyi dalam video itu. Sebab itu terkeluar ayat sedemikian, tetapi saya tidak ada niat langsung untuk mengatakan orang Iban.
“Setahu saya juga, orang Borneo paling cantik di Malaysia. Saya pun ada ramai kawan orang Sarawak dan Sabah daripada pelbagai kelompok etnik.
“Jadi, takkan saya nak main sentimen perkauman. Tidak terdetik di hati saya,” tambahnya.
Sebelumnya, komen Ifa itu mendapat kecaman hebat netizen selepas dikongsi seorang pengguna aplikasi Threads yang memuat naik tangkap layar hantaran berkenaan di akaun media sosialnya.
Dianggap sebagai komen berbaur provokasi, pemilik akaun Threads tersebut turut mempersoalkan tindakan Ifa yang seperti tidak menghormati etnik kaum di Sarawak itu.
Lantas, rata-rata netizen meninggalkan komen kesal dengan tindakan Ifa kerana dianggap bersikap kurang peka terhadap sensitiviti kaum di Malaysia.
Bagaimanapun, selebriti berusia 49 tahun itu lewat membuat permohonan maaf kerana berada di Singapura atas urusan kerja dan enggan membuat penjelasan ringkas menerusi siaran langsung atau hantaran di media sosial bagi menggelakkan salah faham berpanjangan.
“Untuk orang Borneo, Sabah, Sarawak dan orang Iban, demi Allah saya tiada niat untuk menggores perasaan anda.
“Sekiranya ada ayat saya yang menggores hati orang Iban khususnya, saya susun 10 jari dan mohon maaf.
“Saya harap penjelasan yang saya buat ini dapat menyelesaikan isu yang berlaku.
“Saya tak ada niat, tak sengaja. Itu hanya gurauan antara saya dengan sahabat baik dan orang mungkin salah faham,” jelas Ifa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg