Topik diikuti
Pergi ke BHkuGegar Vaganza 13 satukan juara Akademi Fantasia
Mawi, Stacy, antara bekas juara yang bakal bersaing, 4 lagi peserta menanti diumumkan pada 8 Nov
Gegar Vaganza 13 satukan juara Akademi Fantasia
Pernah mencipta sejarah sebagai juara pertandingan realiti terkenal Malaysia, Akademi Fantasia (AF), kini sembilan penyanyi bakal kembali menguji kehebatan masing-masing.
Buat julung-julung kalinya, Gegar Vaganza 13 (GV13) bakal menghimpunkan sembilan bekas juara AF, iaitu Vince Chong (AF1), 47 tahun; Zahid Baharuddin (AF2), 45 tahun; Mawi Ani (AF3), 45 tahun; Faizal Ramly (AF4), 42 tahun; Mila Jirin (AF5), 38 tahun; Stacy Anam (AF6), 36 tahun; Shahir Zawawi (AF8), 38 tahun; Faizul Sany (AF2013), 41 tahun; dan Firman Bansir (AF2014), 37 tahun.
Juara GV13 bakal berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 ($31,290.69).
Empat peserta lagi masih belum diumumkan dan kekal menjadi rahsia.
Ia akan diumumkan pada minggu pertama GV13, yang dijadual berlangsung pada 8 November di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia.
GV13 disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV).
Persaingan yang diadakan sempena ulang tahun ke-30 Astro itu bukan sekadar mengembalikan nostalgia kegemilangan AF, malah menjadi medan menguji sejauh mana kematangan vokal, pengalaman dan karisma mereka mampu memberi kelebihan dalam pertandingan kali ini.
Mengulas kelainan musim ini, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, berkata pihaknya mahu menghadiahkan sesuatu yang bermakna kepada penonton sempena ulang tahun ke-30 penyiar tersebut.
“Mengembalikan juara AF ke pentas ini bukan sekadar membangkitkan nostalgia, malah meraikan sebuah legasi yang telah mencorakkan industri hiburan Malaysia dan melahirkan ramai artis yang kekal relevan sehingga hari ini,” katanya.
Sementara itu, GV13 masih mengekalkan barisan juri tetap yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
Mengulas persaingan musim ini, Ramli berharap pengalaman dan kematangan peserta dapat diketengahkan menerusi persembahan yang lebih bermutu.
“20 tahun lalu (di pentas AF), mereka diberi peluang menimba ilmu melalui teori (muzik) dan menjalani latihan untuk mengasah kemahiran nyanyian, tarian dan lain-lain.
“Kini, mereka sepatutnya sudah jauh lebih matang sebagai penyanyi.
“Persaingan di pentas GV juga berbeza.
“Saya menjangkakan mutu persembahan musim ini lebih baik berbanding musim sebelumnya.
“Lebih-lebih lagi apabila mereka sudah mempunyai ‘resipi’ (pengalaman) dan kematangan vokal yang seharusnya lebih baik,” kata Ramli semasa sidang media GV13 yang diadakan pada 22 Oktober, di Kuala Lumpur.
Sebagai kelainan, bekas tenaga pengajar AF turut diundang sebagai juri jemputan khas bagi berkongsi pandangan serta pengalaman mereka sepanjang pertandingan berlangsung.
Trio pengacara yang terdiri daripada Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad pula kembali mengendalikan program berkenaan dengan gelagat spontan dan celoteh mereka yang sering mencuit hati penonton.
Menambah lagi keterujaan musim ini, GV13 turut memperkenalkan wadah undian peminat yang membolehkan penonton memainkan peranan dalam perjalanan pertandingan, selain mengikuti persembahan peserta setiap minggu.
Selain hadiah utama RM100,000 ($31,300), Naib Juara bakal membawa pulang RM50,000.
Manakala, pemenang tempat ketiga menerima RM30,000.
Peserta yang menduduki tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal menerima RM20,000, RM15,000 dan RM10,000.
Gegar Vaganza 13 bakal bersiaran secara langsung mulai 8 November, 9 malam, menerusi Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV).