Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Generasi Kesari’ hayati perjalanan seni melalui gerak tari

Jul 24, 2025 | 5:30 AM
generasi kesari, tiga collective, tarian
Pementasan ‘Generasi Kesari’ oleh TIGA Collective yang berlangsung pada 18 Julai lalu di Black Box, Pusat Drama, berhasil menyampaikan kisah peribadi dan perjalanan seni setiap jurutari dan penari dengan penuh emosi. - Foto BH oleh AININ ALFIYANI JAILANI

Pada 18 Julai lalu, saya berkesempatan menyaksikan sebuah persembahan gabungan tarian Melayu dan kontemporari yang dibawakan oleh TIGA Collective di Black Box, Pusat Drama. 

Ditubuhkan pada 2023, TIGA Collective ialah sebuah inisiatif seni tari Melayu yang diasaskan oleh tiga tokoh berpengaruh dari dunia tari tempatan yang terdiri daripada Dr Noramin Farid, Izwan Sarif dan Abdul Yazid Juhuri. 

Ketiga-tiga peneraju ini juga merupakan pengasas bagi kumpulan tarian Melayu tempatan, Dian Dancers.

Tujuan kolektif ini adalah untuk menjalin kesinambungan ilmu dan pengalaman antara generasi, serta memperjuangkan kejujuran dan keikhlasan dalam seni tari Melayu yang terangkum dan menyeluruh.

Persembahan tarian pada malam itu turut menampilkan karya daripada koreografer berpengalaman dan generasi baru, termasuk melibatkan penari daripada Politeknik Singapura, Politeknik Temasek dan Dian Dancers.

Pementasan berjudul, Generasi Kesari, ini menjadi medan penerokaan seni tari yang segar dan introspektif, bersandarkan perjalanan peribadi setiap jurutari dan penari terlibat.

Antara jurutari yang menjayakan pementasan ini termasuk Izwan Sarif, Yazid, Lyn Hanis Rezuan, ‘Aizat Haikal Saini, Faiz Hairul Anuar, Anna Natassha Musa, Muhammad Izman Kamilan dan Muhammad Fawwaz Farok.

Edisi persembahan tarian oleh TIGA Collective kali ini mendapat inspirasi daripada pengalaman pendidik sekaligus jurutari, Izwan, bersama kumpulan tarian Melayu iaitu Wangsa Kesari Seni dari Politeknik Singapura, dan diterjemahkan menjadi kisah sejagat tentang kehidupan yang dapat menyentuh hati hadirin.

Tepat pada 8.03 malam, persembahan dimulakan dengan karya Izwan berjudul, Creation, dalam suasana hening sebelum irama denyutan nadi mula mengisi ruang pentas.

Perhatian hadirian dialihkan kepada kelibat dua jurutari berpengalaman, Yazid dan Lyn Hanis, yang sedang mengimbangi antara gerakan hayunan lembut dan patah-patah, melambangkan proses perubahan yang perlahan dan penuh pertimbangan.

Apabila kedua-dua penari mengundurkan diri dari pentas, empat penari wanita tampil dengan gabungan gerakan gemalai dan bertenaga, menyampaikan sebuah naratif pencarian jati diri dalam dunia seni yang mencabar.

Bagaimanpun, sejujurnya saya lebih mengemari dan tertarik pada karya tarian yang memiliki jalan cerita dan naratif yang kukuh.

Antara segmen yang paling menyentuh saya secara peribadi ialah karya berjudul, Are We There Yet? oleh Anna Natassha, di pertengahan pementasan Generasi Kesari.

Satu demi satu penari wanita muncul sambil membawa bebola cahaya yang menggambarkan harapan dan makna kehidupan.

Berdasarkan temu bual bersama Berita Harian (BH) melalui Zoom pada 28 Jun, Anna Natassha berkongsi bahawa sebilangan penarinya merupakan wanita yang telah lama meninggalkan dunia tari, namun kini kembali atas dasar cinta pada seni tarian, menjadikan karya ini suatu renungan yang jujur dan berani.

Justeru itu, saya merasakan hubungan emosi yang kuat dengan karya ini kerana, sebagai seorang penari, saya juga melalui cabaran dalam mengimbangi komitmen terhadap dunia tari dengan pelbagai tanggungjawab lain dalam kehidupan.

Selain itu, karya Pe(r)lukan oleh Fawwaz Farok membuka tirai dengan suasana riang yang mencerminkan dunia kanak-kanak yang penuh keceriaan dan gerak spontan.

Namun, suasana tersebut bertukar menjadi lebih berat apabila penari membawa masuk foto-foto kenangan, menyuntik elemen nostalgia dan kedalaman emosi.

Pada pendapat saya, sekiranya rangkaian foto tersebut dapat ditayangkan di layar skrin, ia pasti dapat memperkuatkan naratif serta pesanan emosi yang ingin disampaikan dalam tarian itu.

Akan lebih baik jika pementasan ini turut menerapkan kesan visual, misalnya tayangan montaj di layar skrin, yang menggambarkan perjalanan seni jurutari dan penari terlibat – berawal dari bangku persekolahan (di politeknik) sehingga menjadi versi penari yang lebih matang.

Ini agar dapat membantu penonton memahami serta menghayati maksud di sebalik persembahan ini, khususnya bagi mereka yang kurang terdedah atau tidak lahir daripada latar belakang seni tari.

Secara keseluruhan, TIGA Collective berjaya mempersembahkan sebuah pementasan yang penuh jiwa dan rencam.

Usaha ini wajar dipuji atas keberanian menyentuh tema peribadi secara terbuka.

Persembahan ini turut membuktikan bahawa seni tari bukan sekadar gerak, malah menjadi ruang untuk menyampaikan emosi dan pengalaman hidup.

Syabas saya ucapkan kepada seluruh pasukan, penari dan kru pentas yang telah melabur masa, usaha dan keringat demi menjayakan pementasan Generasi Kesari. – Ainin Alfiyani Jailani

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg