Impian tiga sekawan yang terdiri daripada penari berpengalaman – Dr Noramin Farid, 39 tahun; Izwan Sarif, 39 tahun; dan Abdul Yazid Juhuri, 40 tahun – untuk mencetus kolaborasi rentas generasi tercapai dalam pementasan tarian, Generasi Kesari, melalui satu usaha bersama bergelar, TIGA Collective.
Ditubuhkan pada 2023, TIGA Collective merupakan sebuah projek berteraskan seni tarian Melayu yang bertujuan menjalin kesinambungan ilmu dan pengalaman antara generasi, memperkasa suara seni yang jujur dan berakar daripada keikhlasan, serta mewujudkan ruang tari Melayu yang bersifat terbuka dan menyeluruh.
Ketiga-tiga peneraju ini mula mencipta nama pada 2003, sebagai pengasas muda kumpulan tarian setempat, Dian Dancers.
Bagaimanapun, kolektif baru yang dibina dua dekad kemudian, membawa matlamat berbeza yang dirasakan lebih mendesak.
Kolektif ini lahir dengan iltizam mempertahankan kelangsungan warisan Melayu, memastikan ia terus hidup dan dapat disemai dalam jiwa generasi penerus.
Pada 18 dan 19 Julai, TIGA Collective bakal menyajikan sebuah pementasan tarian kontemporari selama satu jam setengah berjudul, Generasi Kesari, di Black Box, Pusat Drama.
Pementasan ini turut menampilkan karya baru daripada barisan jurutari terdiri daripada Izwan Sarif, Abdul Yazid Juhuri, Lyn Hanis Rezuan, ‘Aizat Haikal Saini, Faiz Hairul Anuar, Anna Natassha Musa, Muhammad Izman Kamilan dan Muhammad Fawwaz Farok.
Lebih menarik lagi, pementasan ini turut mengetengahkan karya muzik ciptaan asli komposer yang juga pereka tari, Aryandi Ahmad.
Apabila dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom pada 27 Jun, Izwan, selaku pengarah artistik dan jurutari terlibat, berkata:
“Kebanyakan jurutari muda yang menyertai projek ini berasal daripada kelab tarian di politeknik, tempat saya, Yazid dan Amin mengajar, iaitu di Politeknik Singapura (SP) dan Politeknik Temasek (TP).
“Jalan cerita persembahan ini juga menyentuh tentang pengalaman saya sebagai pendidik dan jurulatih bagi kumpulan tarian Melayu, Wangsa Kesari Seni, di SP, sejak 2012.
“Antara lain, ia turut memaparkan perjalanan mahupun perkembangan para pelajar (kini alumni) tersebut, sebagai penari hingga menjadi pereka tari.
“Projek ini juga bertujuan memberi dorongan kepada anak muda untuk berkarya dalam ruang yang disediakan sambil meluahkan daya kreativiti dengan cara mereka sendiri.
“Tenaga penari yang terlibat tidak hanya terdiri daripada institusi ini, malah mereka juga hadir daripada pelbagai latar belakang termasuk kumpulan Dian Dancers sendiri.”
Dalam Generasi Kesari, Izwan, yang juga pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat perkhidmatan perkahwinan, Putih Bridal, akan membawakan tarian berjudul, Birth atau ‘Kelahiran’.
Di samping itu, jurutari muda, Anna Natassha, 27 tahun, turut berkongsi pengalamannya sebagai koreografer yang belajar untuk lebih terbuka dan bertolak ansur dalam proses latihan, khususnya apabila kesemua penari terlibat dalam karyanya terdiri daripada wanita.
Karya beliau berjudul, Are We There Yet? atau ‘Adakah Kita Sudah Sampai?’, menggambarkan renungan perjalanan penari yang penuh liku.
Ada yang melangkah dengan penuh yakin dan ada yang masih mencari jati diri dalam seni tarian.
Karya ini turut menampilkan tekanan penari untuk tidak rasa ketinggalan dan memiliki keberanian untuk melangkah maju, meski perlu mengharungi pelbagai cabaran emosi.
Beliau menyedari bahawa setiap penari hadir dengan cabaran dan kemampuan tersendiri, termasuk mereka yang sudah berumah tangga mahupun bergelar ibu.
“Sebagai koreografer, saya perlu sentiasa peka dan memahami bahawa tubuh setiap individu melalui pengalaman berbeza.
“Ada yang baru melahirkan dan ada juga yang sedang menyesuaikan diri semula.
“Jadi bagi saya, peranan saya bukan sekadar mengarah, tetapi untuk menyokong dan memudahkan perjalanan mereka melangkah kembali ke dunia tari,” ujarnya, yang bekerja dalam bidang pemasaran dan komunikasi.
Sebelum ini, Anna Natassha pernah menuntut di SP dan merupakan anggota penari dalam Wangsa Kesari Seni.
Beliau turut mengakui sukar untuk menolak pelawaan menjadi sebahagian daripada pementasan, Generasi Kesari, kerana ia seolah-olah menghidupkan semula kenangan awal perjalanannya sebagai penari tarian Melayu.
“Nostalgia itu memang terasa. Sewaktu Abang Wan (panggilan mesra bagi Izwan) memberikan tawaran ini, saya tidak mampu menolaknya.
“Saya tidak pernah melupakan akar saya dalam dunia tarian Melayu, terutama segala yang saya pelajari sewaktu dalam kumpulan Wangsa Kesari Seni dan Artistari Gentari.
“Lebih-lebih lagi, pengalaman bersama Wangsa Kesari Seni telah banyak membentuk saya sebagai penari bergerak bebas kini.
“Tanpa kumpulan itu, saya mungkin tidak akan bertemu dengan mentor seperti Abang Wan, Abang Yazid dan Abang Amin yang begitu banyak membimbing saya dalam dunia tari,” kata Anna Natassha.
Jurutari muda lain iaitu, Fawwaz, 26 tahun, yang dianggap baru dalam seni koreografi mengaku berasa bimbang dek pertama kali mereka tarian kontemporari bagi sebuah pementasan.
Karya beliau berjudul, Pe(r)lukan, menyingkap nilai kenangan yang kadangkala membuat seseorang terperangkap dalam dilema – antara melepaskan atau menerima kenyataan dengan hati terbuka.
“Berbanding dengan jurutari lain, saya adalah yang paling ‘junior’ (baru) dalam kalangan mereka.
“Jangkaan tinggi bukan sahaja datang daripada mentor, malah juga dari diri saya sendiri – untuk memastikan saya dapat memenuhi keinginan mereka serta menyampaikan visi saya sebagai jurutari.
“Cabaran utama yang saya hadapi adalah ketika ramai penari terpaksa menarik diri atas faktor kesihatan atau kekangan lain.
“Sebagai jurutari, saya lebih suka merancang segala-galanya secara terperinci dari awal.
“Namun, melalui perbincangan bersama Abang Wan dan jurutari lain, saya sedar bahawa saya perlu sentiasa menyesuaikan diri dan bersikap fleksibel terhadap perubahan yang berlaku,” kata Fawwaz, yang bekerja sebagai guru pendidikan khas.
Menyentuh harapan bagi pementasan ini, Dr Noramin Farid selaku penerbit berkata:
“Generasi Kesari bukan sekadar persembahan, malah satu perjalanan merentas generasi yang meraikan perkembangan dan kekuatan anak muda dalam seni tari.
“Kali ini, naratifnya diinspirasikan daripada pengalaman Izwan Sarif bersama Wangsa Kesari Seni dan diterjemahkan menjadi kisah sejagat tentang kehidupan yang dapat menyentuh hati hadirin.
“Lantas, harapan yang ingin disemai ialah semangat untuk terus berjuang tanpa mengira masa serta menyampaikan naratif yang membawa harapan dan dorongan untuk terus melangkah ke hadapan.”
Tiket bagi pementasan Generasi Kesari berharga $35 (tidak termasuk bayaran tempahan) boleh didapatkan melalui laman Bookmyshow di https://bh.sg/gnkesari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg