Topik diikuti
Pergi ke BHku‘GV Fantasia’ uji bakat sembilan juara AF, empat lagi tempat jadi rebutan
Stacy kuasai pentas dengan nyanyian dan tarian bertenaga; Mawi raih tempat ketiga walau hanya tampil menerusi rakaman
‘GV Fantasia’ uji bakat sembilan juara AF, empat lagi tempat jadi rebutan
Setelah sekian lama tidak menghiasi kaca televisyen atau tampil dengan karya baharu, sembilan juara Akademi Fantasia (AF) kini kembali merebut perhatian peminat menerusi pentas Gegar Vaganza (GV) Fantasia, terbitan Astro sekali gus menguji sama ada kehebatan vokal mereka masih lagi ‘berbisa’.
Bertemakan Kembali Menyengat, konsert minggu pertama yang diadakan secara langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor, Malaysia, pada 8 November menyaksikan peserta mengimbau zaman kegemilangan masing-masing menerusi lagu yang pernah melonjakkan nama mereka.
Mereka terdiri daripada Vince Chong (AF1), 47 tahun; Zahid Baharuddin (AF2), 45 tahun; Mawi Ani (AF3), 45 tahun; Faizal Ramly (AF4), 42 tahun; Mila Jirin (AF5), 38 tahun; Stacy Anam (AF6), 36 tahun; Shahir Zawawi (AF8), 38 tahun; Faizul Sany (AF2013), 41 tahun; dan Firman Bansir (AF2014), 37 tahun.
Namun begitu, antara sembilan juara itu, Stacy, 36 tahun, paling menyerlah apabila mengungguli minggu pertama dengan markah 66.80 peratus menerusi persembahan bertenaga lagu Aku Stacy, yang menggabungkan kekuatan vokal dan gerak tari.
Persembahannya mendapat pujian juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat, yang kagum dengan keupayaan Stacy mengekalkan tenaga dan kestabilan vokal meskipun melakukan gerak tari sepanjang persembahan.
“Apabila berada di atas pentas, tenaga awak seolah-olah tidak pernah habis.
“Syabas! Bukan mudah untuk menyanyi sambil menari kerana ia memerlukan stamina dan kawalan pernafasan yang baik.
“Saya suka persembahan ini, tetapi apabila menyertai GV, awak perlu berfikir lebih jauh dan memberikan perhatian kepada keseluruhan penyampaian, bukan sekadar persembahan di atas pentas sahaja,” katanya.
Stacy turut dinobatkan sebagai penerima anugerah Bintang Paling Power, tajaan gergasi telekomunikasi Malaysia, CelcomDigi, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000 ($7,878).
Mila pula memberikan saingan sengit apabila hanya ketinggalan 0.29 mata peratusan di tempat kedua menerusi lagu Persis Mutiara.
Sementara itu, Mawi berjaya menduduki tempat ketiga dengan markah 56.32 peratus menerusi lagu Aduh Saliha, meskipun persembahannya hanya ditayangkan secara rakaman.
Juara AF3 itu tidak dapat hadir secara langsung kerana terikat dengan komitmen konsert solonya, Mawi World “The Journey”, yang berlangsung pada malam sama di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Mengulas persembahan Mawi yang disiarkan menerusi rakaman, Syafinaz mengakui sukar menghayati sepenuhnya nyanyian penyanyi itu kerana tidak dapat menyaksikannya secara langsung.
“Nyanyian awak okey, bolehlah sebab awak tiada di depan saya jadi saya tak dapat nak rasa ‘vibe’ (suasana) nyanyian awak tu,” ujarnya.
Konsert itu turut mencuri perhatian dengan kemunculan juara Akademi Fantasia 2015 (AF2015), iaitu penyanyi Singapura, Sufi Rashid, 35 tahun, dan juara Akademi Fantasia 2016 (AF2016), Amir Masdi, 30 tahun, yang tampil membuat persembahan khas meskipun tidak menyertai pertandingan.
Sufi menyampaikan lagunya berjudul, Aku Sanggup.
Manakala, Amir membawakan lagunya, Pemilik Cinta dan Nurcinta, sehingga menerima sorakan ‘gebrek’ (bagus) daripada juri tetap, Hetty Koes Endang.
Namun, harapan peminat bagi melihat kededuanya bertanding tidak kesampaian apabila diumumkan mereka sekadar memeriahkan konsert tersebut.
Sufi menjelaskan beliau terpaksa menolak tawaran menyertai GV Fantasia kerana sibuk menguruskan tiga konsert menerusi syarikatnya, SAH Entertainment.
Sementara itu, Amir tidak dapat bertanding kerana jadual persembahan yang padat, termasuk persiapan bagi persembahan solonya pada 20 Disember.
“Selepas berbincang dengan pihak pengurusan, kami memutuskan saya tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya kepada pertandingan ini.
“Kehadiran saya sekadar untuk menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Astro serta Akademi Fantasia (AF) kerana tanpa pentas ini, saya mungkin tidak berada pada tahap sekarang.
“Ada beberapa tarikh persembahan saya yang bertembung dengan GV Fantasia, selain saya kini sibuk membuat persiapan untuk persembahan khas saya.
“Persiapan itu memerlukan komitmen penuh dan kerjasama seluruh pasukan.
“Jadi, agak sukar untuk saya membahagikan masa antara dua tanggungjawab besar secara serentak,” jelas Amir, pada sidang media selepas konsert pertama GV Fantasia pada 8 November.
Juara AF7, Hafiz Suip, 34 tahun, pula mengambil keputusan mengundurkan diri daripada pertandingan itu kerana mahu memberikan perhatian kepada isterinya, Fiona Safiyya, 39 tahun, yang sedang hamil tujuh bulan.
Menjelang penghujung konsert, satu lagi kejutan diumumkan apabila 25 bekas peserta AF diberi peluang merebut empat kerusi panas menerusi undian peminat.
Antara calon yang disenaraikan ialah Akim Ahmad, Aril Pilus, Amylea Azizan, Farah Anuar dan Ara Johari.
Undian berlangsung sehingga 13 November, pada 6 petang.
Peminat boleh membuat undian dengan mengimbas kod QR WhatsApp yang disediakan di laman web Astro Gempak.