Sejak kehilangan ibu tercinta, Allahyarhamha Halizawati Salleh, pada 2025, penyanyi Hafiz Suip, tidak lagi terfikir untuk kembali mencuba nasib dalam mana-mana pertandingan nyanyian.

Terdahulu, nama Hafiz, atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Mohd Suip, 36 tahun, menjadi sebutan segelintir peminat yang berharap dapat menyaksikannya kembali berentap dalam pertandingan nyanyian, termasuk program kegemaran ramai terbitan Astro, Gegar Vaganza (GV).

Hafiz, bagaimanapun, mengakui semangatnya untuk menyertai peraduan nyanyian sudah hilang.

“Semenjak kehilangan mak, saya rasa berat untuk sertai pertandingan sebab orang yang selalu ada ketika saya sertai pertandingan ialah mak saya.

“Masa program adu bakat, Akademi Fantasia (AF) dulu, dialah orang yang galakkan saya dan beri sokongan 100 peratus.

“Bila dia dah tiada, saya rasa lain. Saya rasa semangat saya dah hilang.

“Nak masuk bertanding pun saya rasa, ‘Ya ke?’,” katanya dalam satu hantaran siaran langsung yang tular di Threads baru-baru ini, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Sebelum ini, Allahyarhamha Halizawati meninggal dunia akibat komplikasi sakit kencing manis.

Bercerita lanjut mengenai kepedihan yang ditanggung atas kehilangan insan tersayang itu, pelantun lagu Bahagiamu Deritaku itu, mengakui emosi yang dirasakannya sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

“Saya tak nak orang lain rasa benda ni sebab ia sakit. Tak tahu nak cakap macam mana, yang faham saja faham,” ujarnya.

Selain faktor emosi dan kehilangan sumber kekuatan, Hafiz turut berterus terang mengenai tekanan serta komitmen tinggi yang perlu ditanggung seseorang apabila terlibat dalam pertandingan berskala besar.

“Semangat itu satu hal, kedua pula penat nak sertai pertandingan macam ni.

“Dari segi komitmen, penyanyi kena berikan 150 peratus komitmen. Tekanan pun ada juga,” ujar Hafiz.