Darah seni yang mengalir dalam diri penyanyi Singapura, Iskandar Ismail, atau mesra dengan nama pentas Eiss, membuatkannya sentiasa ingin memanfaatkan suara merdu yang dipinjamkan Tuhan demi menghiburkan dan memberi semangat kepada orang lain.
Eiss, 45 tahun, tidak pernah lupa pesanan arwah abahnya, biduan R. Ismail, supaya jangan berhenti menyanyi selagi dendangan itu datang dari hati.
Allahyarham R. Ismail, yang terkenal dengan lagu Gurindam Jiwa (didendangkan bersama Allahyarhamha Rafeah Buang), meninggal dunia kerana komplikasi penyakit jantung pada 2020.
“Arwah abah selalu kata rezeki Tuhan datang dalam banyak bentuk, tetapi kalau suara itu digunakan dengan niat yang baik demi menghiburkan dan memberi semangat kepada orang lain, Insya-Allah ia akan kekal.
“Jadi setiap kali Eiss naik pentas, Eiss selalu ingat kata-kata itu, yang membuatkan Eiss terus bertahan dalam kerjaya ini walau ia tidak semudah mana dan walau apa jua cabaran yang datang,” jelasnya dalam wawancara bersama Berita Minggu (BM).
Wawancara ini dibuat sempena penyertaan Eiss dalam peraduan realiti Astro kesukaan ramai, Gegar Vaganza 12 (GV12), yang baru dibuka tirainya pada 2 November lalu, dan disiarkan secara langsung dari dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Eiss bersaing dengan artis yang pernah terkenal suatu ketika dahulu di Malaysia dan Indonesia seperti kumpulan Mendua, Mark Adam, Nubhan, Rahmat Ekamatra, Krisya, kumpulan Freshies, Ruri Repvblik, Mell Sakura, Korie, Shae, Datuk Elaine Kang dan Shy8.
Dalam pusingan pertama, Eiss mempertaruhkan lagu bapanya, Gurindam Jiwa, dan lagunya sendiri, Adakah Mungkin.
Beliau berada di tangga kesembilan dengan markah 56.75 peratus.
“Saya sebenarnya gementar tetapi sangat teruja dengan sokongan peminat yang hadir di MBSA.
“Masya-Allah. Tapi, apabila berdiri di atas pentas itu, Eiss rasa sedih sangat sebab arwah abah tidak ada untuk melihat anaknya sampai ke tahap ini, bertanding dalam satu peraduan kesukaan ramai.
“Saya gembira bercampur pilu sebab Gurindam Jiwa menjadi pilihan pihak Astro. Tambahan pula, mungkin kerana saya dikenalkan sebagai ‘Legasi Jiwa’, anak seorang biduan.
“Adakah Mungkin pula merupakan lagu hit pertama saya yang dihasilkan 20 tahun lalu,” tambah Eiss, yang pernah bergelar juara peraduan SG Mania pada 2014.
Sebelum ini, Eiss pernah diundang Astro seawal GV6, yang kemudian menampilkan wakil Singapura, juara Asian Idol dan Singapore Idol 2, Hady Mirza, dan sekali gus menjadi juara GV6 bersama penyanyi Malaysia, Naqiu.
“Sebelum ini, memang ada undangan pihak Astro seawal GV6. Tetapi semasa itu mungkin belum sampai waktunya untuk saya bertanding kerana komitmen kerja.
“Saya juga mengalami masalah kesihatan. Jadi, pada 2025, saya rasa lebih bersedia, dari segi mental, emosi, dan pengalaman.
“Allah susun cantik. Apabila masanya tepat, semua terasa lebih tenang. Saya malahan yakin untuk beri yang terbaik bagi pertandingan ini,” katanya lagi.
Menurut Eiss, ketika melihat rakan senegara, Hady dan Aliff Aziz jadi juara GV, ia memberi semacam satu inspirasi buatnya.
Beliau malahan bangga dengan pencapaian mereka yang menunjukkan dengan usaha, dedikasi dan kesungguhan, setiap peluang boleh membawa pada pencapaian besar.
Itulah motivasi bagi Eiss beri yang terbaik juga.
Ditanya mengenai pengorbanan terbesar apabila menyertai GV12, beliau menjelaskan masa menjadi cabaran paling hebat buatnya.
“Saya perlu banyak berkorban masa bersama keluarga, masa untuk berehat dan juga ketenangan yang biasa ada sebelum ni.
“Saya harus fokus sepenuhnya pada perjalanan GV12 sebab saya ingin berikan yang terbaik dan bukan separuh hati.
“Saya malahan buat semua ini dengan harapan setiap usaha dan pengorbanan saya akan membawa sesuatu pengalaman yang bermakna, bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi untuk keluarga, peminat dan semua yang sentiasa percaya pada kebolehan Eiss,” ujarnya lagi.
Menerusi GV12, Eiss banyak belajar tentang disiplin, cara persembahan lebih mantap dan bagaimana menghargai dan merebut setiap peluang yang terbentang di depan mata.
“Sepertimana ulasan Ketua Juri, Tok Ram pada Ahad lalu (2 November), saya juga belajar untuk bekerja rapat dengan pasukan dan rakan artis lain, serta menghormati proses pembelajaran dalam setiap pertandingan,” katanya.
Mengenai lagu Warisan Wanita Terakhir (dendangan asal kumpulan Singapura, Teacher’s Pet dengan vokalis Maman), yang akan dibawakan pada konsert minggu kedua, pada 9 November ini, Eiss berkata:
“Warisan Wanita Terakhir bukan sekadar lagu, tetapi satu kisah tentang pengorbanan, kekuatan dan emosi seorang wanita.
“Lagu ini mengingatkan saya tentang nilai keberanian dan ketabahan, dan ia memberi inspirasi untuk menyampaikan setiap bait dengan sepenuh hati supaya pendengar benar-benar rasa pesanan yang ingin disampaikan.”
Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan Eiss dalam menyertai GV12 ialah kesempatan bertemu idolanya, Rahmat Ekamatra, yang sama-sama bertanding dalam peraduan ini.
“Dari dulu, Eiss memang minat cara penyampaian dan jiwa Abang Rahmat apabila beliau menyanyi. Dapat berkongsi pentas dengannya memang satu penghormatan besar,” katanya tentang penyanyi lagu Pusara Di Lebuhraya itu.
Eiss juga bersyukur dengan adanya pihak pengurusannya, MindOrder, dan kelab peminatnya, EissentialsFC, yang digerakkan syarikat pengurusan artis yang berpangkalan di Malaysia itu.
“MindOrder menggerakkan kelab peminat ini bersama sekumpulan orang kuat yang setia dan benar-benar percaya pada bakat dan perjalanan Eiss.
“Mereka bukan sekadar pasukan di belakang tabir, tapi keluarga yang sentiasa beri sokongan moral, tenaga dan kasih sayang.
“MindOrder banyak membantu Eiss dari segi keseluruhan pengurusan, daripada jadual persembahan, promosi, imej sehinggalah hal-hal komunikasi dengan media dan pihak luar.
“Justeru, Eiss boleh lebih fokus pada persembahan. Mereka uruskan kerja belakang tabir dengan penuh keikhlasan dan strategi. Saya rasa sangat dihargai dan terbimbing dalam setiap langkah perjalanan seni ini. Alhamdulillah,” tambahnya.
Nota: GV12 disiarkan di saluran Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV) setiap Ahad, mulai 9 malam.
“
Arwah abah selalu kata rezeki Tuhan datang dalam banyak bentuk, tetapi kalau suara itu digunakan dengan niat yang baik demi menghiburkan dan memberi semangat kepada orang lain, Insya-Allah ia akan kekal. Jadi setiap kali Eiss naik pentas, Eiss selalu ingat kata-kata itu, yang membuatkan Eiss terus bertahan dalam kerjaya ini walau ia tidak semudah mana dan walau apa jua cabaran yang datang.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg