Sesiapa sahaja di muka bumi ini pasti pernah merasakan keindahan jatuh cinta ataupun kekecewaan patah hati.
Begitulah perasaan yang disampaikan juara pertandingan realiti, Singapore Idol (Musim Kedua), dan Asian Idol, Hady Mirza, menerusi lagu terbarunya yang diterbitkan pada 9 Mei, di bawah naungan label rakaman, Sony Music Malaysia.
Lagu berjudul, Jika Masih Ada, adalah duetnya bersama penyanyi dan pelakon Malaysia, Erra Fazira, yang kembali aktif selepas sekian lama menyepi daripada dunia seni suara.
Lagu ini mengisahkan tentang perjuangan cinta yang disulami dengan perasaan rindu dan harapan, meskipun terpisah oleh jarak dan waktu.
Dicipta oleh penyanyi nasyid dan komposer Malaysia, Hafiz Hamidun, video muzik bagi lagu berkenaan telah meraih sebanyak 95,985 tontonan di laman YouTube, sekali gus 67,508 penstriman di platform Spotify, sehingga akhbar ini diterbitkan.
Tambahan lagi, lagu berikut dijadikan runut bunyi bagi drama Nikmat Hanya Sesaat, lakonan Fadlan Hazim dan Mawar Rashid, yang mula ditayangkan di slot Samarinda, saluran TV3, sejak 8 Mei.
Pada awalnya, ketika menerima tawaran Hafiz untuk menyanyikan lagu ini, Hady mengakui tertarik pada melodi yang mewarnai lagu ini.
“Apa yang menarik bagi saya mengenai lagu ini adalah melodinya. Bagi saya, ia cukup mudah untuk melekat dalam ingatan atau hati pendengar.
“Dari segi penyampaian rasa juga kuat dan itulah perkara yang saya cari selama ini dalam sebuah lagu,” kata Hady kepada Berita Minggu (BM) sewaktu dihubungi melalui Zoom pada 14 Mei.
Bagi Hady, perasaan jatuh cinta atau patah hati adalah pengalaman yang setiap manusia pernah rasakan sebagai pengajaran hidup yang mematangkan diri.
Peristiwa inilah yang dijadikannya sebagai sandaran untuk menghayati lagu tersebut.
“Saya rasa semua pernah merasakan hal (peristiwa patah hati) ini.
“Saya hanya memanfaatkan perasaan itu untuk menggambarkan lagu Jika Masih Ada, dengan lebih berkesan dan mendalam lagi.
“Adakalanya, pesanan dan emosi yang tersuratlah yang membuatkan sebuah lagu itu menjadi kukuh,” tambah Hady, yang merakamkan lagu tersebut lebih dulu sebelum Erra.
Apabila ditanya mengenai rakan bernyanyinya iaitu Erra, Hady berpendapat bahawa beliau memiliki mutu dan tona suara yang unik.
Malah, beliau turut mengatakan suara Erra, yang bagaikan buluh perindu itu, sangat cocok bagi lagu duet mereka.
Selain itu, Hady berkongsi bahawa sambutan penggemar terhadap lagu ini juga sangat positif sehingga menyentuh hatinya yang menjuarai pertandingan nyanyian realiti, Gegar Vaganza Musim 6 (GV6), bersama Naqiu dari kumpulan Boboy.
“Ramai di antara mereka (peminat Hady) mengatakan inilah saat yang dinanti-nantikan.
“Mereka sudah lama menginginkan lagu yang menyayat hati dan menusuk kalbu, yang seharusnya sosok ‘Hady’ nyanyikan.
“Dengan itu, saya cukup berbesar hati kerana diberi peluang oleh komposer, Hafiz, untuk menyanyikan lagu, Jika Masih Ada, bersama Erra,” kata Hady yang mempercayai bahawa setiap rezeki yang ditakdirkan ada sebab musababnya.
Pada 24 Mei, Hady turut menyanyikan lagu yang menaikkan namanya dalam industri hiburan tempatan iaitu, Angkasa, pada acara anugerah berprestij di Singapura, Pesta Perdana 2025.
Sebagai persembahan penutup acara itu pula, Hady berkongsi pentas bersama juara Singapore Idol (Musim Pertama), Taufik Batisah, dan juara Singapore Idol (Musim Ketiga), Sezairi Sezali, bagi menyanyikan lagu, Sang Pemimpi.
Dalam perkembangan lain, Hady sedang menyusun langkahnya untuk mencuba perkara baru dalam bidang lain.
Bagaimanapun, beliau belum bersedia mengulas buat masa ini.
Sebaliknya, beliau meminta peminat memantau perkembangan terkininya di platform media sosial.
Menyentuh tentang perancangan Hady seterusnya dalam bidang muzik, beliau menyimpan hasrat untuk menerbitkan semula lagu ikoniknya, Angkasa, dengan suntikan nafas baru.
Menurut Hady, lagu Angkasa pernah dibawakan dengan susunan yang berlainan daripada yang asal, sewaktu konsert Perjalanan Hady Mirza yang berlangsung di Teater Mediacorp pada 2024.
Namun, beliau belum menemui masa yang sesuai untuk merakam dan menerbitkan semula lagu itu dengan susunan lebih moden dan segar. – AININ ALFIYANI JAILANI
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg