Kesedihan yang mencencang lumat hati pelawak dan penyanyi lagu komedi, Hamzah Adon, selepas kehilangan isteri tersayang pada 22 Ogos 2023, membuatkannya ingin melupakan sahaja dunia hiburan yang dicintai kerana dapat menghiburkan orang lain.
Lebih setahun lamanya Hamzah, 53 tahun, menolak pelawaan menjayakan rancangan anekaragam mahupun drama kerana hidup tanpa isteri tersayang, Allahyarhamha Anita Wansi, yang banyak memberinya kata-kata dorongan, membawa kekosongan yang payah terisi lagi.
Allahyarhamha Anita yang seusia dengan Hamzah meninggal dunia kerana barah buah dada.
Bersama arwah, beliau mempunyai seorang cahaya mata perempuan, Annsah Fariyah, 11 tahun.
Bagaimanapun, atas nasihat beberapa sahabat karib yang enggan melihatnya terus dibelenggu kesedihan, Hamzah, anak seni yang ramah dan sentiasa tersenyum ini, menggagahkan semangat untuk kembali beraksi di kaca televisyen.
“Selepas sekian lama menyepi dan mengasingkan diri kerana semangat yang dah tak bermaya tanpa arwah isteri, saya akhirnya bangkit daripada kepompong kesepian itu.
“Kawan saya pun kata, ‘Sampai bila kau nak bersedih? Jangan sia-siakan bakat melawak yang Allah beri. Ini pun untuk cari rezeki halal buat anak kau’.
“Kerana itu, saya dengan bersahaja memberitahu beberapa orang kuat Suria yang saya temui ketika bersantai dengan beberapa teman di East Coast, tentang niat saya nak kembali jayakan program televisyen.
“Saya kata saya dah bersedia! Alhamdulillah, berkat rezeki Allah, saya diberi peluang jayakan watak utama dalam sketsa muzikal, Sinar Lebaran 2025. Dapat berlakon dan menyanyi, satu lagi nyala rasa saya.
“Rupanya, masih ada yang ingat dan memerlukan Hamzah Adon,” katanya dalam satu wawancara Zoom bersama Berita Minggu (BM).
Semangat Hamzah yang bertugas sepenuh masa sebagi pemandu dan penolong stor untuk terus berkarya membara selepas mendapat maklum balas positif daripada penonton Sinar Lebaran yang hadir di sesi rakaman program tersebut yang akan disiarkan pada malam Raya, iaitu 30 Mac.
Meskipun tidak dapat memberi komitmen pada drama yang makan masa dari segi penggambaran kerana tugas sepenuh masanya, Hamzah yakin rezeki tidak salah alamat, sebagaimana yang diperolehi bagi Sinar Lebaran.
Kalau selalu, beliau bawa watak sampingan, Hamzah kini diberi watak utama bersama Fir Rahman dalam muzikal yang menyorot suasana Lebaran dalam tempoh enam dekad, sejajar dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-60 (SG60) pada 9 Ogos ini.
“Watak yang saya bawa bernama Farid Dol. Orangnya baik dan jujur tetapi kadangkala dia pelupa. Tapi tak tua-tua mukanya sebab dodol yang dijual ada kolagen!” kongsi Hamzah, seraya tertawa.
Beliau memainkan watak Farid Dol, si penjual dodol, dari muda sampai berusia, berbanding watak Fir selaku pakar anyam ketupat, yang perlu diubah pada pelakon lain apabila sampai usia matang.
Dalam kami bersembang petang, fikiran Hamzah menjurus pada detik-detik akhir isterinya di hospital, berdepan dengan bermacam kesulitan.
“Arwah dikesan menghidap barah tahap lanjutan pada 2020. Kita tak tahu sesudah dia menjalani urut, keadaannya semakin teruk. Tiga tahun lamanya beliau menderita. Keadaannya semakin hari semakin lemah sampai ke titik noktah hayatnya.
“Saya ambil cuti tanpa gaji untuk menjaganya pada saat-saat akhir sebelum pemergiannya. Saya masih ingat janji saya padanya, saya akan selalu di sampingnya. Pada masa itu, saya kasihan melihat barahnya sudah merebak ke organ lain.
“Saya mengambil alih tugas sebagai ibu untuk anak kami sewaktu arwah sakit tenat dan risau mengenangkan anaknya di rumah tidak dapat diuruskan seperti biasa.
“Sampai ke hari ini saya memang sukar nak luput kenangan rutin arwah menghubungi saya setiap saya kerjakan solat asar di pejabat. Dia akan tanya saya sedang buat apa?
“Sekarang ini, saya hanya mampu menangis seorang diri di ruang terpencil setiap asar di pejabat. Tak nak orang nampak.
“Pada penghujung hayatnya, isteri yang memang tegas orangnya menunjukkan amarah dan meragam. Saya faham orang sakit akan rasa tak selesa dan dibelenggu keperitan menahan sakit. Mudah terusik. Kita sebagai suami perlu sabar,” jelas Hamzah lagi dengan sebak yang cuba ditahan.
Tahun ini (2025) merupakan Syawal kedua disambut tanpa isterinya.
Perancangannya ialah berkunjung ke rumah sanak saudara termasuk keluarga isteri yang masih berhubung baik dan mengekalkan silaturahim.
“Apabila arwah dah tak ada, saya berusaha jadi ayah yang lebih baik buat anak saya. Saya tak nak dia rasa kasih sayang pudar atau tak cukup kerana ibunya tiada dan dia hanya punyai seorang ayah, tak macam teman-temannya yang mempunyai kededua ibu bapa.
“Alhamdulillah, Annsah, anak yang memahami. Dah puas dia meratapi pemergian ibunya. Tapi ada masanya, saya perlu lebih kuat dan tabah untuk beri dia semangat.
“Memang budak-budak, ada masanya akan terkenangkan ibunya dan bersedih,” cerita Hamzah lagi.
Ditanya apa yang dirindui pada Lebaran yang datang bertamu pada 31 Mac ini, Hamzah berkata: “Lauk kicap ikan selar kuning yang disiapkan isteri sepertimana arwah Mak saya masak untuk dimakan bersama nasi. Saya hargai usaha isteri belajar masak lauk itu macam Mak buat.
“Sejak saya jadi bapa tunggal pun, kena cekap masak untuk anak. Tak tahulah sedap ke tidak tapi sekurang-kurangnya saya cuba demi berikan keceriaan untuk anak yang nak rasa air tangan bapanya.
“Walau apa-apa pun, kehidupan mesti diteruskan. Saya sentiasa doa diberi kemudahan membesarkan anak saya dan dia dapat nikmati suasana keluarga yang aman, bahagia dan tenteram, walau hanya kami berdua,” jelas Hamzah.
“
Sejak saya jadi bapa tunggal pun, kena cekap masak untuk anak. Tak tahulah sedap ke tidak tapi sekurang-kurangnya saya cuba demi berikan keceriaan untuk anak yang nak rasa air tangan bapanya. Walau apa-apa pun, kehidupan mesti diteruskan. Saya sentiasa doa diberi kemudahan membesarkan anak saya dan dia dapat nikmati suasana keluarga yang aman, bahagia dan tenteram.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg