Rahsia kejayaan hidup adalah persediaan untuk menyambut kesempatan kedua yang menjelma.
Setelah lama ‘menghilang’ dari persada seni dan hiburan dek berhadapan barah buah dada, pelakon kelahiran Singapura, Haslinna Jaaman, 44 tahun, kini kembali dalam pentas teater Bangsawan Sahmura Empayar Melaka, sebuah kerjasama kumpulan seni dan tarian tempatan, Sriwana bersama Pertubuhan Teater Melaka (Pertem).
Pementasan itu akan berlangsung dalam tiga set persembahan antara 23 dengan 25 Mei, bermula 8.30 malam, di Panggung Bangsawan Melaka, Malaysia.
Kerjasama yang melibatkan Pertem dan Sriwana ini tercetus selepas termeterainya memorandum persefahaman (MOU), bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala dalam program kebudayaan antara Malaysia dan Singapura pada persidangan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) yang berlangsung di Singapura pada 2024.
Pementasan Bangsawan Sahmura Empayar Melaka, arahan pengarah teater terkenal Malaysia, Lokman Ghani, membawa kisah perjuangan dan pengorbanan tiga tokoh wanita Melayu iaitu, Tun Kudu, Tun Teja dan Tun Fatimah, mengetengahkan keberanian, ketabahan dan semangat juang yang boleh dijadikan teladan oleh generasi masa kini.
Susulan keberhasilan mengharungi perjuangan melawan barah buah dada yang dihadapinya, kemunculan semula Haslinna di pentas teater dirasakan seperti satu permulaan baru yang penuh makna.
Walaupun Haslinna pernah terlibat dalam projek lakonan di luar Singapura sebelum ini, ini adalah kali pertama beliau menyertai sebuah pementasan teater di Melaka.
Dalam pementasan ini, beliau memainkan watak sebagai Tun Teja, seorang tokoh srikandi Melayu yang dikenali dengan rupa parasnya yang cantik, sehingga menjadi rebutan orang-orang Istana pada abad ke-15.
Watak tersebut muncul dalam babak kedua pementasan Bangsawan Sahmura Empayar Melaka, yang merupakan bahagian persembahan di bawah arahan Sriwana serta veteran seni dan pelakon, Norsiah Ramly, yang turut berlakon sebagai Dang Ratna.
Menyentuh tentang watak yang dimainkan dalam pementasan teater ini, beliau akur ia tidak semudah yang disangka kerana perlu melakukan kajian yang teliti dan mendalam mengenai sejarah tokohnya.
“Apabila saya mendapat tawaran untuk berlakon sebagai Tun Teja, tentunya saya amat berbesar hati dan bersyukur, lebih-lebih lagi pada Sriwana yang mengundang saya untuk menjayakan pementasan ini.
“Ketika diberikan watak yang kompleks seperti ini, kajian mendalam mengenai latar belakang sejarahnya amatlah penting bagi saya.
“Ini untuk memastikan watak tersebut (Tun Teja) dapat dibawakan dengan tepat, serta mengelakkan sebarang salah tafsir yang mungkin dapat mencetuskan tanggapan negatif.
“Sepanjang sebulan persiapan, saya mendapatkan pandangan daripada rakan sejarawan dan budayawan untuk lebih memahami serta mendalami watak ini,” kata Haslinna kepada Berita Harian (BH) melalui Zoom pada 15 Mei.
Sebelum ini, beliau juga pernah menjayakan sebuah filem di Malaysia, berjudul Pontianak, pada 2019.
Dalam pada itu, Haslinna turut mengakui dibayangi sekelumit kerisauan untuk membawakan watak ini, atas faktor kesihatan yang kian beransur pulih setelah menjalani rawatan bagi barah buah dada yang dihidapinya.
Menurut Haslinna, akibat kesan rawatan, beliau mengalami pertambahan berat badan, yang dikhuatiri akan menjejas keseluruhan penampilan watak Tun Teja yang dipaparkan.
Namun, berbekalkan semangat wajanya serta sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan seni dari Sriwana, Haslinna menyahut cabaran ini sebagai peluang untuk meningkatkan kemahiran lakonannya dalam seni bangsawan, sambil menghargai dan menceritakan sejarah nenek moyangnya yang dipercayai berasal dari Melaka.
Turut menyentuh hatinya apabila pelakon berpengalaman, Datuk Jalaluddin Hassan, memuji lakonan Haslinna sebagai Tun Teja, ketika ditemui semasa sidang media yang dijalankan pada 5 Mei lalu, di Panggung Bangsawan Melaka.
Pengalaman ini bukan sahaja menambah pengetahuan Haslinna tentang kekayaan sejarah Melayu, malah membuatnya terpesona dengan kehebatan bakat seni Malaysia, terutama dari segi lontaran suara, penggunaan bahasa dan lenggok bangsawan, serta ketelitian dalam menyampaikan sejarah secara tepat.
“Saya harap agar penonton dapat mempelajari dan memahami betapa pentingnya ketabahan seorang wanita, dalam membina dan membangun sebuah kerajaan.
“Merekalah yang menjadi tulang belakang kepada Sultan, pada ketika itu, memastikan kerajaan tersebut kukuh dan makmur.
“Tanpa kehadiran dan perjuangan mereka, kerajaan itu mungkin tidak akan berdiri teguh seperti yang kita kenal hari ini,” ujar Haslinna.
Presiden Sriwana, Cik Fauziah Hanom Yusuf, juga selaku Pengarah Artistik, bagi persembahan babak kedua (segmen Tun Teja) dalam Bangsawan Sahmura Empayar Melaka, melihat kerjasama ini sebagai peluang untuk menimba pengalaman di luar negara serta memahami cara kerja, pemikiran dan budaya masyarakat setempat di Melaka.
“Hal ini penting memandangkan Pertem adalah antara badan kebudayaan yang paling berprestij di sana dan mendapat sokongan kukuh daripada kerajaan mereka.
“Harapan saya adalah agar pementasan ini membuka peluang baru untuk Sriwana memperluaskan ilmu, memperkukuh kehadiran kami di sana, dan menjalin lebih banyak kerjasama dalam seni teater dan tari,” kata Cik Fauziah.
Barisan pelakon Singapura di bawah naungan Sriwana terlibat ialah Syirazi Charman, Mohd Ridzwan Mohammad, Norsiah Ramly, Jumie Haron dan Nuruljannah Afiqah Reduwan.
Manakala barisan pelakon Malaysia pula terdiri daripada, Datuk Jalaluddin Hassan, Neera Azizi, Ashraf Muslim, Zack Kool, Julia Larica dan atlet silat Malaysia, Al Jufferi Jamari.
Pementasan tersebut turut membabitkan Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia, Persatuan Seni Silat Lingkaran Karet dan Kumpulan Silat Seni Pertem, memeriahkan lagi persembahan Bangsawan Sahmura Empayar Melaka.
Tiket bagi pementasan Bangsawan Sahmura Empayar Melaka berharga antara RM30 dengan RM100 ($9 hingga $30), boleh didapatkan melalui laman web Ticket2U https://www.ticket2u.com.my/event/42896


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg