Penyanyi legenda lagu tradisional Melayu asli, Datuk Andre Goh, 78 tahun, menyuarakan hasrat terpendamnya yang ingin merakamkan satu lagu Raya sendiri sebelum ‘menutup mata’.
Andre, atau nama sebenarnya, Goh Eng Boon, berkata meskipun sudah 50 tahun aktif menyanyi sejak 1972, namun sampai sekarang belum berpeluang mempunyai sekurang-kurangnya satu lagu Raya.
“Memang ada jugalah saya rasa ralat sebab sampai sekarang tak ada peluang untuk rakam lagu Raya lagi. Ditambah, sudah 50 tahun (lima dekad) saya menyanyi.
“Sebagai penghibur lama, saya naklah sekurang-kurangnya ada satu lagu Raya sendiri sebelum ‘menutup mata’.
“Lagi pula, ramai rakan seangkatan saya dulu sudah tiada dan meninggalkan kita semua.
“Jadi, diharapkan agar saya ada peluang itu (dapat rakam lagu Raya sendiri) yang melodi dan liriknya sesuai dengan vokal saya sebagai penyanyi lagu tradisional Melayu asli,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Andre, baginya satu lagu Raya milik sendiri adalah satu pencapaian buat seorang penyanyi, lebih-lebih lagi yang sudah berstatus legenda seperti dirinya.
Ujarnya lagi, beliau juga seronok apabila mendengar lagu Raya nyanyian rakan-rakan seangkatannya yang disiarkan radio dan stesen televisyen tempatan setiap kali tiba musim perayaan Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha.
Andre yang berasal dari Tangkak, Johor, mula menceburi kerjaya nyanyian pada era awal 1970-an selepas menyertai pertandingan akhir program Bakat TV RTM dengan mendendangkan lagu tradisional Melayu asli, Mas Merah.
Malah, beliau juga pernah popular dengan lagu seperti Dikirim Jangan Dipesan Jangan, Sabariah, Sejak Kita Berpisah, Harapan Kecewa, dan banyak lagi.
Pada 5 Julai ini, Andre bakal menjayakan Konsert Tradisional Simfoni Budaya II bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).
Selain Andre, barisan penyanyi muda lain yang turut beraksi dalam konsert itu ialah Zehra Zambri, Hazra Dollah, Daniel Chuer dan Rojer Kajol dengan dipimpin Konduktor Muzik MPO, Ahmad Muriz Che Rose.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg