KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terharu apabila tak kira penyanyi lama atau baru memilih untuk menzahirkan penghargaan buatnya menerusi konsert.
Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46 tahun berkata beliau sangat menghargai penghormatan yang disifatkan sebagai satu sokongan buatnya.
“Ya, saya ada tengok dalam media sosial, Nadeera menyanyikan lagu saya.
“Jadi, saya rasa terharu dan berterima kasih kerana generasi muda menghargai saya dalam bidang seni ini.
“Saya sangat hormati mereka dan berterima kasih,” katanya.
Tambah beliau: “Saya juga hadir Konsert Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 31 Mei.
“Saya tak sangka Melly buat segmen istimewa buat saya dan artis Malaysia yang dihormati.
“Namun, ini bukanlah kali pertama Melly menyanyikan lagu saya. Sebelum ini pun ada,” katanya kepada BH Online.
Berkongsi lanjut, Siti berkata beliau sangat menghargai Melly yang banyak menyumbang idea dan karya sepanjang pembabitannya sebagai penyanyi.
“Melly ibarat idola dan guru saya.
Lagu hit saya pun banyak juga hasil ciptaan Melly seperti Biarlah Rahsia dan Pastikan.
“Jadi, lagu-lagu Melly ini memang tak pernah ditinggalkan dalam setiap album pop saya.
“Alhamdulillah, saya bersyukur atas penghargaan ini.
“Saya rasa anak-anak muda, terutamanya penyanyi hebat hari ini mempunyai kekuatan tersendiri dan bila menghargai penyanyi lama menandakan sokongan.
“Sebab tiada lama, tiadalah baru. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.
Terdahulu, Nadeera mengakui antara peminat setia Siti.
Pendedahan dibuat secara spontan sejurus selesai menyampaikan lagu Tanpa Dendam Di Hati semasa Showcase An Evening With Nadeera di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), pada Jumaat lalu.
Tidak hanya itu, penyanyi dan komposer popular dari Indonesia, Melly Goeslaw mendedikasikan segmen istimewa buat tiga penyanyi legenda dari Malaysia pada Konsert Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite, pada Sabtu.
Melly menyanyikan lagu Janji Manismu nyanyian asal Datuk Aishah, diikuti Aku Cinta Padamu (Siti Nurhaliza) dan Isabella (Search).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg