Sedekad lalu, penyanyi dangdut tempatan, Henny Hanip, terpaksa menahan rindu terhadap anak yang ditinggalkan di Singapura demi mengejar impian di pentas pertandingan, D’Academy Asia (musim pertama) di Indonesia, pada 2015.

Sebagai wakil pertama Singapura dalam pertandingan nyanyian dangdut serantau itu, Henny, 46 tahun, berjaya menempatkan diri dalam 10 peserta terbaik.

Sepanjang pertandingan itu, beliau berkongsi pentas dengan beberapa nama yang kini dikenali ramai dalam industri muzik serantau, termasuk dari Indonesia, Lesti Kejora; dan Mimifly serta Shiha Zikir dari Malaysia.

Namun, di sebalik kejayaan tersebut, Henny berdepan pergolakan emosi apabila anak sulungnya, Nada Fitri, 25 tahun, yang ketika itu masih remaja, berulang kali menghubunginya dan merayu agar beliau segera pulang ke pangkuan keluarga.

Katanya, Nada pada saat itu, sedang melalui situasi peribadi yang mencemaskan, sekali gus menambahkan kebimbangan Henny yang berada jauh di perantauan.

“Waktu itu, saya berdepan dilema apabila Nada kerap menghubungi saya kerana dipercayai mengalami gangguan yang menjejas kesihatannya.

“Saya berada jauh di Jakarta. Setiap kali Nada menelefon dan memberitahu beliau berasa takut, hati saya semakin tidak tenteram.

“Memang saya masih mahu meneruskan perjuangan dalam pertandingan itu, tetapi fikiran saya asyik teringatkan keadaan anak di rumah.

“Akhirnya, saya nekad untuk pulang. Biar tersingkir sekali pun, saya reda.

“Bagi saya, anak-anak tetap menjadi keutamaan, walau sebesar mana pun impian yang ingin dikejar,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu (BM) melalui Zoom baru-baru ini.

Wawancara ini diadakan sempena penyertaan Nada dalam pertandingan realiti setempat, Anugerah 2026, yang berhasil mara ke pusingan akhir.

Ia bakal disiarkan secara langsung menerusi saluran Mediacorp Suria pada 27 Oktober.

Sejak dahulu, Henny menyimpan hasrat melihat anaknya, yang pernah menyertai pertandingan D’Academy Asia 3, pada 2017, kembali menyanyi kerana percaya anugerah Tuhan tidak seharusnya disia-siakan.

Berbekalkan pengalamannya sendiri sebagai peserta pertandingan nyanyian, penyanyi lagu Rapuh, itu cukup memahami cabaran yang dilalui Nada.

Apatah lagi apabila anaknya diuji masalah kesihatan di ambang persembahan.

Dua hari sebelum persembahan minggu keempat, Nada, yang juga ibu dua anak berusia tiga dan lima tahun itu, mengalami keradangan tekak sehingga kehilangan suara.

Pada minggu itu, beliau mendendangkan lagu Lelaki Teragung, nyanyian asal Dayang Nurfaizah.

“Saya sendiri membawanya ke klinik kerana keadaannya agak teruk.

“Sebagai ibu, memang risau melihat keadaan beliau sampai menangis.

“Alhamdulillah, dengan izin Allah, suaranya kembali tepat pada waktunya.

“Semasa Nada membuat persembahan, saya tidak berhenti berdoa dan berzikir.

“Setelah itu, saya cukup lega mendengar beliau dapat menyanyi dengan lancar,” ujar Henny, yang masih menerima undangan menyanyi di kelab masyarakat dan majlis perkahwinan.

Selain Nada, Henny, yang berasal dari Sulawesi Tenggara, Indonesia, mempunyai tiga lagi anak berusia 22, 21 dan enam tahun.

Kesibukannya turut tertumpu kepada penjagaan anak bongsunya, Asifah Kayla Febriyani Abdul Hanip, yang mempunyai autisme tahap ringan, selain bertugas sebagai pekerja pembersihan pejabat.

Harapan Henny kini hanya satu, iaitu melihat Nada terus yakin dengan kebolehannya dan memberikan persembahan terbaik pada pentas akhir Anugerah 2026.

“Selepas Nada dilahirkan, bapanya mengambil masa dua minggu untuk memilih nama yang sesuai, dengan harapan nama itu membawa tuah dan suatu hari nanti, beliau berjaya bergelar anak seni.

“Kini, apabila melihat Nada kembali menyanyi dan berjaya melangkah ke pentas akhir, saya rasa harapan itu semakin hampir menjadi kenyataan.

“Lebih istimewa lagi, malam pusingan akhir nanti jatuh tepat pada hari lahirnya.

“Memang saya berdebar, tetapi apa pun keputusannya, saya tetap bangga dengan pencapaian Nada,” luah Henny.