Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hisyam Hamid terharu bapa hadir tonton filem terbaru, ‘Memori’

Jul 25, 2025 | 2:55 PM
Hisyam Hamid, pelakon, filem, Memori
Pelakon asal Singapura, Hisyam Hamid, akui bahawa filem terbarunya, ‘Memori’, memiliki banyak persamaan dalam kehidupan peribadi. - Foto INSTAGRAM HISYAM HAMID

Pelakon asal Singapura, Hisyam Hamid, meluahkan rasa terharu apabila bapanya, Hamid Gani, 65 tahun, turut hadir pada sesi tayangan filem terbaru lakonannya, Memori, di Malaysia pada 22 Julai lalu.

Hisyam, atau nama sebenarnya, Hazmi Hisyam Abdul Hamid, 40 tahun, berkata ini kali kedua bapanya menghadiri majlis tayangan filem lakonannya.

Lebih menyentuh hati, bapanya buat julung-julung kali menitiskan air mata ketika menonton filem tersebut.

Memori memaparkan kisah menyentuh hati mengenai hubungan tegang antara seorang bapa dan anak lelakinya, yang terkesan akibat peristiwa silam yang penuh pergolakan.

Ia berkisarkan seorang anak yang mencari alasan untuk memaafkan dan seorang bapa yang perlahan-lahan kehilangan ingatan akibat penyakit Alzheimer.

Selain Hisyam, filem Memori turut dibintangi Datuk Hilal Azman, Diana Danielle, Anas Ridzuan, Aanantha Rajaram, Pushpa Narayan dan Aajaay Suresh.

“Cerita ini banyak bermain dengan emosi. Naskhah ini ada banyak persamaan dengan hidup saya. 

“Saya dibesarkan dalam ‘broken family’ (keluarga yang berpecah-belah akibat perceraian) disebabkan ibu dan bapa berpisah. 

“Jadi, saya membesar dengan emak saya. Pada usia saya tiga atau empat tahun, ayah berpindah ke Malaysia. 

“Namun, hubungan saya dengan ayah baik-baik saja. Mungkin disebabkan emosi cerita ini, ayah menangis dari awal cerita.

“Ayah sebenarnya tidak boleh bercakap kerana menghidap barah tekak. 

“Selepas habis tayangan, tiba-tiba ayah datang dan peluk serta cium saya,” kata Hisyam, dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).

Selain itu, ibu tiri Hisyam memaklumkan bahawa suaminya berasa sebak ketika melihat poster filem yang memaparkan wajah anaknya itu.

Hisyam memahami perasaan itu kerana jalan cerita dalam filem tersebut banyak mencerminkan pengalaman peribadi dalam kehidupannya sendiri.

Bapa dua anak berusia antara 16 dengan 18 tahun itu, turut berkongsi terpaksa mengatasi trauma demi menjayakan adegan di laut dalam filem Memori.

“Saya fobia dengan laut. Sebelum mula penggambaran, saya sudah beritahu bahawa saya tidak pandai berenang.

“Tetapi semuanya baik-baik saja sebab penerbit sediakan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk berkawal. 

“Kalau terjadi apa-apa, saya yakin diselamatkan dan saya takkan lemas,” kata Hisyam, yang memiliki trauma kerana pernah hampir lemas ketika berusia sembilan tahun.

Filem Memori, yang diedarkan oleh GSC Movies, akan ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia mulai 31 Julai ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg