Membawakan watak seorang ustaz atau guru agama bukan semata-mata soal hafalan skrip atau gaya berpakaian dengan bersongkok dan berjubah.
Amanah itu juga seiring tanggungjawab yang berat, apatah lagi dalam menjaga imej sekali gus menyampaikan pesanan dengan jelas, demi mengelakkan sebarang salah faham yang boleh membawa kesan buruk pada agama.
Itulah antara perkara yang menjadi kebimbangan pelakon Singapura, Hisyam Hamid, 39 tahun, sebelum menerima tawaran membintangi drama penstriman digital terbaru di Viu berjudul, Lambaian Huda, arahan Azri Izhar.
“Sebelum ini, Hisyam pernah membawa watak ustaz sebanyak dua kali. Memang ia agak mencabar kerana ada unsur-unsur agama yang perlu dijaga.
“Namun, secara positif, ia juga memberi kesan yang baik pada saya, lebih-lebih lagi sebagai peringatan dalam kehidupan.
“Bila saya bawa watak ustaz, ada satu aura positif yang meresap dalam diri.
“Kadang-kadang orang jumpa saya di luar dan tanya, ‘Eh Syam, kau ini berlakon ke apa? Kenapa bunyi sudah macam ustaz?’
“Berbanding watak jahat yang mungkin buat kita rasa panas baran, watak Ustaz Fatih ini buat jiwa saya lebih tenang,” kata Hisyam semasa dihubungi Berita Harian (BH) pada 29 Jun melalui Zoom.
Dalam drama tersebut, Hisyam memegang watak Ustaz Fatih, seorang anak yatim piatu yang terpisah daripada adik kandungnya sejak kecil.
Kehilangan itu menjadi pendorong utama Ustaz Fatih merantau ke Kuala Lumpur, dengan harapan dapat menjejaki adik yang telah lama hilang daripada hidupnya.
Namun, di tengah-tengah misi pencariannya, beliau bertemu seorang wanita bernama Suzie (lakonan Siti Hariesa), yang menimbulkan pelbagai konflik antara pegangan, hati dan perasaan serta takdir.
“Cabaran paling saya risaukan ialah babak yang memerlukan bacaan ayat suci Al-Quran.
“Sebagai pelakon, saya bukan ustaz sebenar.
“Saya takut bacaan saya tidak sempurna, dari segi tajwid, makhraj, harakat,” luah Hisyam jujur apabila ditanya BH mengenai cabaran memainkan watak Ustaz Fatih.
Bagaimanapun, Hisyam bersyukur pihak penerbitan memahami keperluan itu dan menyediakan bimbingan daripada seorang imam masjid sepanjang penggambaran.
Dalam pada itu, perbezaan antara drama siaran wadah digital dengan siaran televisyen (TV) sangat ketara dan memerlukan komitmen lebih tinggi.
“Kalau di TV, orang tengok sekali lalu. Tapi di Viu, penonton boleh ulang dan tonton bila-bila masa saja.
“Jadi sebagai pelakon, saya tak boleh buat sambil lewa. Setiap emosi, setiap adegan haruslah ikhlas dan disampaikan secara tepat.
“Lagipun, penonton bayar untuk tonton drama di Viu. Lantas, ini membuatkan saya lebih terdorong untuk memberikan yang terbaik dan pastikan hampir tidak ada cacat cela pada lakonan,” jelasnya.
Selain Lambaian Huda, Hisyam juga bakal muncul di layar perak menerusi filem, Memori, terbitan Creative Stew, yang dijadualkan tayangan pada 31 Julai.
Filem keempatnya itu menyentuh tentang hubungan seorang bapa (lakonan Datuk Hilal Azman) yang menghidap Alzheimer dan anak lelakinya (lakonan Hisyam) yang cuba menghidupkan semula kenangan lama mereka.
“Watak saya dalam Memori sangat berat dari segi emosi.
“Hubungan watak yang saya lakonkan ini tidak mempunyai hubungan baik dengan ayahnya, begitu juga dengan isterinya, yang mana hubungan itu sudah di ambang perpisahan.
“Jadi, untuk Hisyam, keserasian itu tidak perlu sebenarnya.
“Saya gunakan pendekatan ‘method acting’ khususnya ketika memainkan watak dalam filem. Tapi kesannya besar juga pada kehidupan peribadi.
“Ada kalanya, keadaan dalam lakonan ada kena-mengena dengan kehidupan sendiri.
“Ini juga membuatkan saya mudah terkesan dengan emosi dan keadaan.
“Misalnya, ada masa saya lihat orang bahagia dengan keluarga mereka di media sosial, saya jadi terkesan,” jelas Hisyam.
Dengan itu, selepas penggambaran selama tiga minggu itu tamat, Hisyam memilih untuk berehat daripada lakonan untuk sementara waktu.
“Kalau saya ceritakan perkara ini pada orang awam, mereka sukar percaya.
“Apabila pelakon terlalu mendalami watak, kita boleh jadi terbawa-bawa dengan keadaan dan lakonan.
“Cara saya menenangkan diri adalah dengan melihat pantai dan laut,” kata beliau yang sempat bercuti di salah satu pulau di Thailand untuk menenangkan diri.
Di celah kesibukan dunia lakonan, Hisyam tidak melepaskan peluang untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta.
Dengan dua cahaya mata yang kini meniti fasa remaja – Nurish Syameliah, 18 tahun, dan Hayden, 16 tahun – setiap detik bersama mereka kian terasa berharga.
Menyentuh tentang keakraban hubungan anak-beranak itu, Hisyam berkata:
“Dari dulu, Hisyam cuba menjadi sosok ‘kawan’ pada anak-anak.
“Selain menitikberatkan hal seperti bersalaman dengan orang tua, Hisyam juga cuba mengamalkan komunikasi terbuka dengan mereka supaya satu hari nanti, jika ada masalah, mereka tidak akan segan silu untuk bercerita.
“Buat masa ini, saya akur dan bersyukur dapat luangkan masa bersama anak-anak. Soal jodoh atau hubungan baru bukan sesuatu yang saya terlalu fikirkan sekarang.”
Drama Lambaian Huda kini boleh ditonton di aplikasi penstriman digital Viu.
“
“Sebelum ini, Hisyam pernah membawa watak ustaz sebanyak dua kali. Memang ia agak mencabar kerana ada unsur-unsur agama yang perlu dijaga. Namun, secara positif, ia juga memberi kesan yang baik pada saya, lebih-lebih lagi sebagai peringatan dalam kehidupan.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg