Pelakon dan peragawan Malaysia, Ikmal Amry, menghormati teguran isterinya, Najla Shamsul, yang meminta agar beliau tidak lagi terlalu kerap ‘tayang badan’ terutama dalam media sosial.

Ikmal atau nama sebenar, Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 32 tahun, mengakui isterinya kurang selesa dengan tindakannya membuka baju ketika menjalani kegiatan kecergasan.

“Memang sebelum ini saya banyak ‘tayang badan’. Tetapi, sebenarnya isteri kurang gemar dengan perkara itu. Selepas berkahwin, dia banyak kali beritahu tidak perlu lagi buat begitu.

“Namun, sekarang saya berada dalam bidang kecergasan, jadi, kadang-kadang apabila berada di gimnasium, saya terlepas juga (dedah tubuh),” katanya ditemui pada tayangan perdana dan sidang media filem The Furious: Pertaruhan Maruah di GSC Mid Valley Megamall di Kuala Lumpur pada 19 Mei.

Ikmal kini cuba mengawal diri dan lebih berhati-hati agar tidak terus memperlihatkan tubuh badannya secara terbuka.

“Saya sekarang dalam fasa perlahan-lahan untuk kurangkan ‘tayang badan’. Kalau fikir balik, sampai bila saya hendak kekalkan bentuk badan seperti itu.

“Mungkin apabila usia sudah memasuki 40 tahun ke atas, keadaan badan juga tidak lagi sama. Jadi. apabila isteri sudah tegur, saya cuba hormati kehendaknya.

“Baru-baru ini saya sertai sembilan acara kecergasan Hyrox dan empat acara daripadanya saya buka baju. Memang saya sudah kena tegur dengan isteri.

“Sekarang, apabila sertai Hyrox, saya mula biasakan diri pakai baju dan saya fikir memang sudah tiba masanya untuk kurangkan perkara itu,” tambahnya.

Mengulas mengenai aksi membuka baju dalam beberapa filem lakonannya sejak kebelakangan ini, Ikmal menjelaskan, perkara itu dibuat semata-mata demi memenuhi tuntutan watak dan jalan cerita, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

“Saya hanya lakukan untuk kerja seperti dalam filem Tarung: Unforgiven dan The Furious: Pertaruhan Maruah ini. Industri kita sekarang pun semakin banyak menghasilkan filem aksi.

“Ada watak yang tidak perlu buka baju, tetapi untuk filem tinju memang ia diperlukan mengikut tuntutan cerita. Kita lihat legenda tinju seperti Allahyarham Muhammad Ali juga tidak memakai baju ketika berlawan.

“Saya bawa watak mengikut kehendak naskhah dan bukan sengaja membuka baju sesuka hati dalam mana-mana babak. Semuanya dibuat kerana tuntutan watak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ikmal membintangi filem tinju pertama Malaysia, The Furious: Pertaruhan Maruah yang mengangkat kisah kekeluargaan, persaudaraan dan dunia sukan tinju yang penuh cabaran serta persaingan sengit.

Naskhah sulung arahan Heng Aik Siong itu turut dibarisi pelakon seperti Zul Ariffin, Sky Iskandar, Marissa Yasmin, Zamarul Hisham dan Sandra Lim.

Filem terbitan Act 2 Pictures dengan kerjasama GSC, Astro Shaw dan Sunstrong Entertainment itu bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 28 Mei.

Filem tersebut turut bakal ditayangkan di Singapura menerusi pawagam Golden Village mulai 4 Jun.