Topik diikuti
Pergi ke BHkuYusry gesa peminat waspada akaun media sosial palsu
Yusry gesa peminat waspada akaun media sosial palsu
Yusry gesa peminat waspada akaun media sosial palsu
Penyanyi, pelakon dan pengarah, Datuk Yusry Abdul Halim, menggesa orang ramai dan peminatnya agar lebih berwaspada dengan kewujudan akaun media sosial palsu yang menyamar menggunakan namanya.
Yusry, 53 tahun, mendedahkan perkara itu menerusi satu hantaran di wadah media sosial, Threads selepas mendapati ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan terhadap orang lain.
“Salam semua. Saya diberitahu ada akaun palsu yang menggunakan nama saya. Hati-hati ya. Mereka ialah ‘scammer’ (penipu),” tulisnya yang kini sedang membintangi drama Dendam Seorang Mentua.
Menurut anggota kumpulan KRU itu, akaun palsu berkenaan kelihatan hampir sama dengan akaun rasminya kerana menggunakan gambar profil dan menyalin kandungan yang sama daripada media sosial miliknya, lapor Harian Metro.
“Gambar profil dan kandungan mereka curi daripada akaun sebenar saya. Sekali imbas memang nampak seperti akaun saya. Perhatikan ejaannya,” ujarnya.
Sehubungan itu, pelakon yang turut dikenali menerusi filem Lady Boss, Cicak Man dan Cinta Kolestrol itu mengingatkan orang ramai agar meneliti terlebih dahulu ejaan nama pada akaun yang ingin diikuti bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan pihak terbabit.
Selain Yusry, terdapat beberapa selebriti lain yang pernah mengalami nasib serupa termasuk pelakon Singapura, Hisyam Hamid.
