KUALA LUMPUR: Pelakon baru yang kian mencuri perhatian, Imranul Effendy, mengakui sanggup mengorbankan minat mendalam terhadap tarian demi memberi fokus sepenuhnya dalam bidang lakonan.

Imranul, 27 tahun, berkata keputusan itu bukan mudah memandangkan beliau aktif dalam dunia tarian hampir enam tahun selain pernah meraih pelbagai pencapaian membanggakan.

“Sebenarnya saya sudah korbankan satu perkara yang paling saya suka iaitu menari.

“Sebelum ini saya sangat aktif menyertai pertandingan dan ‘battle’, tetapi saya rasa sudah tiba masanya untuk fokus kepada lakonan.

“Alhamdulillah, filem pertama saya, ‘Nar’sata: Sekutu Setan’ akan ditayangkan bermula bulan depan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka untuk kakitangan Media Prima Berhad di Balai Berita, Bangsar, di sini, baru-baru ini.

Menurut Imranul, beliau kini lebih terbuka menerima pelbagai tawaran lakonan kerana masih berada dalam fasa penerokaan bagi mengenal pasti kekuatan sebenar dalam bidang itu, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

“Setakat ini saya tidak terlalu memilih watak, sama ada drama atau filem kerana saya sendiri masih mencari kekuatan dalam lakonan. Ini adalah fasa eksperimen untuk saya,” katanya.

Menariknya, perjalanan seni Imranul tidak bermula sebagai pelakon, sebaliknya beliau memulakan langkah sebagai jurusolek kesan khas (SFX Makeup) sekitar 2021 ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

Imranul turut mengakui peningkatan popularitinya banyak dipengaruhi kejayaan lagu ‘Jodoh Lebaran’ nyanyian Aisha Retno, yang membuka peluang lebih luas dalam kerjayanya.

“Koreografer Aisha yang menghubungi saya dan memberikan ciri-ciri diperlukan. Sebelum saya dipilih, ada beberapa calon lain turut dipertimbangkan.

“Masa penggambaran video muzik itu, saya sebenarnya ada komitmen lain, tetapi saya sanggup batalkan semua demi memberi fokus kepada peluang ini,” katanya.

Tambah Imranul, cabaran utama ketika menjayakan video muzik berkenaan adalah apabila beliau perlu mempelajari tarian tradisional, sedangkan latar belakangnya lebih kepada ‘street dance’.

“Pada awalnya agak sukar, tetapi saya sahut cabaran itu dan belajar bersungguh-sungguh. Saya hanya ada dua hari untuk menguasai tarian tersebut bersama koreografer dan penari lain,” katanya.

Mengulas mengenai populariti mendadak, Imranul mengakui beliau masih belum bersedia sepenuhnya, namun sudah lali berdepan kecaman sejak awal pembabitannya dalam dunia seni.

“Saya tidak sangka fenomena ‘Jodoh Lebaran’ boleh pergi sejauh ini. Untuk populariti, saya masih belum bersedia, tetapi kecaman sudah biasa kerana sebelum ini saya aktif sebagai pencipta kandungan.

“Ada yang tidak faham dengan ‘street dance’ dan cepat menilai. Namun, saya tidak ambil hati, sebaliknya jadikan sebagai semangat untuk terus maju,” katanya.