Topik diikuti
Pergi ke BHkuAisha Retno mahu sertai sesi uji bakat Puteri Gunung Ledang
Aisha Retno mahu sertai sesi uji bakat Puteri Gunung Ledang
Aisha Retno mahu sertai sesi uji bakat Puteri Gunung Ledang
Penyanyi Malaysia, Aisha Retno menyimpan impian besar menjayakan penerbitan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) yang bakal dipentaskan semula pada Oktober 2026.
Sehubungan itu, Aisha mengesahkan bakal mencuba nasib dan menghadiri sesi uji bakat pada 29 April.
“Memang impian saya untuk sertai PGLM.
“Dari kecil lagi saya tonton PGL. Apabila dengar ura-ura teater muzikal PGL akan dipentaskan semula pada Oktober depan, saya tidak mahu lepaskan peluang ini.
“Tetapi, saya perlu membahagikan masa dengan baik supaya cukup rehat. Hendak jayakan teater muzikal bukannya mudah. Komitmennya besar di mana kita kena menyanyi ‘live’ sambil berlakon.
“Saya akan pergi ke sesi uji bakat, tengoklah, sama ada ‘lepas’ atau tidak. Saya hendak pergi sebab tidak salah mencuba,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Aisha mengakui tidak mempunyai pengalaman besar dalam dunia lakonan, namun, tidak salah merebut peluang dan menimba pengalaman baharu.
“Saya pernah berlakon, cuma tidak mahir dalam bidang ini. Jadi, mungkin ada beberapa perkara yang perlu saya perbaiki dan saya akan cuba.
“Tetapi, saingan pasti sengit sebab ramai yang berbakat. Lagu-lagunya pun agak sukar. Jadi, saya minta juga orang ramai untuk sertai dan meriahkan uji bakat PGLM,” katanya yang popular dengan lagu Jodoh Lebaran dan Ketipak Ketipung Raya.
Selepas lebih dua dekad mencipta fenomena, Penerbit Eksekutif dan Pengarah PGLM, Puan Sri Tiara Jacquelina kembali menghidupkan legenda ikonik berkenaan dengan membuka sesi uji bakat rasmi bagi mencari barisan pelakon generasi baharu.
Watak utama seperti Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah, Sultan, Adipati dan Bayan antara peranan yang menanti untuk dihidupkan semula dengan nafas baharu.
Filem PGL yang dibintangi Tiara, Datuk M Nasir, Adlin Aman Ramlee dan Sofia Jane meraih kejayaan meluas ketika dikeluarkan pada 2004 sehingga diterjemahkan kepada bentuk muzikal dan dipentaskan di Singapura pada 2006.
