SANJUNGAN ikhlas, doa kudus dan ingatan manis buat Wahid Satay, pelawak kesayangan ramai dari zaman Studio Cathay-Keris, membanjiri media sosial pada Isnin, mengiringi pemergiannya.
Manakala itu, ratusan kaum keluarga, sanak-saudara dan sahabat-handai turut hadir menziarahi jenazah Wahid, 93 tahun, yang meninggal dunia pada 8.15 pagi di rumah cucunya, Cik Mahirah Mohd Yasin, di Teban Gardens.
Pemergian Wahid Satay disahkan Mahirah yang dihubungi Berita Harian. Menurutnya, datuknya yang terlantar sakit di katil sejak seminggu lalu dirawat di Hospital Besar Changi (CGH) kerana jangkitan kuman pada ibu jari kakinya yang merebak ke jantung.
“Keadaannya memang kian uzur dengan pelbagai penyakit tua dan sejarah kencing manis, masalah jantung dan ginjal. Sejak tidak boleh makan, adalah beberapa permintaannya yang kami usahakan seperti nak makan sate. Lantas kami belikan juga set sate yang lengkap untuk datuk rasa pada lidahnya,” kata Mahirah.
Wahid Satay yang dilahirkan di Indragiri, Indonesia, dan kemudian berhijrah ke Singapura pada 1935 bermula sebagai pelukis set di Studio Cathay-Keris sekitar East Coast Road pada penghujung 1956.
Pengarah B.N. Rao adalah karyawan seni yang menawarkan peranan sebagai pelawak dan membuka jalan bagi beliau membintangi filem Pontianak. Ini adalah kerana beliau sering melihat betapa bersahajanya Wahid Satay bergurau senda dengan rakan-rakan lain.
Nama Wahid Satay bahkan diberi pemilik Studio Cathay-Keris, Tan Sri Loke Wan Tho, kepadanya menyusuli peranan sebagai penjual sate yang digalas dalam filem Pontianak. Beliau dinaikkan pangkat kepada pelakon sepenuh masa selepas kejayaan filem itu.
Pelakon asal Singapura yang berpangkalan di Malaysia, Hasnul Rahmat, menganggap sumbangan Wahid Satay dalam dunia komedi Melayu cukup membanggakan. Mereka bekerjasama dalam dokumentari yang dihasilkan Hasnul, Angin Menderu.
“Pak Wahid adalah permata dalam dunia komedi Cathay-Keris serta anak emas Loke Wan Tho. Kehadiran Pak Wahid sentiasa diingati dalam sejarah filem Melayu di Singapura, Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Mantan Anggota Parlimen GRC Sembawang, Encik Amrin Amin, yang kali terakhir meraikan bersama ulang tahun Wahid Satay ke-92 pada Disember 2021, pula berkata:
“Ingatan Pak Wahid pada ketika itu masih jelas. Beliau berkongsi kisah perfileman pada zaman keemasan filem Melayu. Beliau menceritakan tentang nyala rasa mendalamnya pada seni dan cintanya pada sahabat seninya.”
Wahid yang membintangi filem Badang, Laila Majnun, Satay dan yang terakhir pada 2005 selaku Tok Ketua dalam Senario XX, meninggalkan enam anak, lebih 20 cucu dan 10 cicit.
Jenazahnya dikebumikan petang Isnin di Pusara Aman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg