Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hiburan
39
0

Belasungkawa

Raja Lawak, Wahid Satay, tinggalkan kisah lucu penawar kalbu buat penggemar filem klasik

Bintang veteran dikenang sebagai yang berbudi, gigih dalam komitmen seni
May 22, 2023 | 05:58 PM



SENYUMAN sentiasa terukir di bibir pelawak veteran, Wahid Satay, apa lagi jika diminta berkongsi tentang perjalanan seninya di studio Cathay-Keris.

Wahid atau nama sebenarnya, Abdul Wahid Ahmad, yang mesra dipanggil ‘Pak Wahid’, gigih bercerita kisah-kisah lama yang masih terpahat dalam ingatannya, dari cerita tentang mengapa beliau yang kurang tampan dan ketika itu kurus dipilih sebagai Badang.

Ada juga cerita tentang dirinya yang meminjamkan suara mengilai pada watak puntianak yang dibawakan Maria Manado.

Pendek kata, sesiapa yang setakat mendengar cerita lama Pak Wahid boleh tertawa geli hati sepanjang hari tanpa henti dengan keselambaan dan sikapnya yang bersahaja sehingga digelar ‘Jerry Lewis of Malaya’ (sempena nama pelawak Barat terkenal yang juga kaya dengan humor).

Bagaimanapun, pada pagi Isnin, ramai yang mengenalinya terasa sebak mengasak di dada apabila mendapat berita Pak Wahid sudah pergi buat selama-lamanya sekitar 8.15 pagi di rumah cucunya, Mahirah Mohd Yasin, di Teban Gardens.

Beliau yang terlantar di katil sejak seminggu lalu dan tidak mampu makan seperti biasa dirawat di Hospital Besar Changi (Bangunan Bersepadu) sekitar dua minggu lalu kerana jangkitan ibu jari kaki yang berkait rapat dengan penyakit kencing manis yang dihidapi.

Menurut Mahirah yang dihubungi Berita Harian, datuknya yang berusia 93 tahun itu meninggal dunia kerana gangren dan masalah jantung. Allahyarham sebelum ini juga mempunyai sejarah penyakit ginjal.


“Memang sejak seminggu lalu, datuk saya hanya baring di katil, tak mampu bergerak dan tak boleh makan seperti biasa. Jangkitan pada ibu jari kakinya sudah merebak ke bahagian jantung. Itulah yang doktor maklumkan kepada kami.

“Datuk ada juga beberapa permintaan akhir seperti nak makan sate. Kami siapkan juga satu set lengkap sate dan rasa-rasakannya di lidah agar tidak kempunan.

“Saya terasa sangat pemergian datuk sebab dari kecil memang rapat dengannya. Mak saya menjaga datuk. Nenek meninggal pada 1995.

“Datuk yang saya kenali memang penyayang orangnya dan kelakar. Semasa saya terlibat dalam bidang nyanyian dahulu, datuk selalu berpesan agar tidak tinggalkan solat walau sesibuk mana pun. Dia minta saya rajin berusaha dan pandai jaga diri,” cerita Mahirah.

Wahid yang dilahirkan di Indragiri, Riau, sebelum berhijrah ke Singapura, dalam satu acara yang dibawakan oleh Wadah Seni Entertainment dan Wisma Geylang Serai (WGS), Abadi Kenangan Lama, menyatakan beliau awalnya setakat ikut kawan dan meninjau set penggambaran di kawasan sekitar Tampines yang dulu dikenali sebagai Batu 9.

Beliau bermula sebagai pelukis set di Studio Cathay-Keris sekitar East Coast Road pada penghujung 1956.

Beliau pelukis yang baik sejak di zaman sekolah. Namun, beliau juga mengkagumi pelakon seperti Siput Sarawak, Maria Menado dan Umi Kalthum.

Pengarah B.N. Rao adalah karyawan seni yang menawarkan peranan sebagai pelawak dan membuka jalan bagi Wahid membintangi filem Pontianak.


Ini adalah kerana beliau sering melihat betapa bersahajanya Wahid bergurau senda dengan rakan-rakan lain.

Nama Wahid Satay bahkan diberi pemilik Studio Cathay-Keris, Tan Sri Loke Wan Tho kepadanya menyusuli peranan sebagai penjual sate yang digalas dalam Pontianak.


Beliau dinaikkan pangkat kepada pelakon sepenuh masa selepas kejayaan filem itu.

“Saya boleh dianggap sebagai anak emas Loke Wan Tho. Beliau banyak beri saya peluang malah dapat juga saya ke pesta filem di luar negara seperti di Tokyo, Hongkong dan Manila.

“Filem Pontianak itu memang berjaya dan pecah rekod dalam dunia filem Melayu. Filem Inggeris pun kalah,” tambahnya lagi.


Sepanjang kerjaya lima dekadnya, Wahid berlakon dalam lebih 30 filem termasuk muncul dalam watak undangan bagi filem Pontianak Harum Sundal Malam dan Senario XX.


Apabila zaman Cathay-Keris berlalu, beliau turut mencipta lagu-lagu lucu, termasuk Senorita Lembu Tua.


Antara kenangan manis Wahid pastilah apabila bergandingan dengan pelakon wanita yang sama-sama lucu seperti Normadiah dan Momo Latif.

“Takutlah kalau berlakon dengan Momo. Baju mesti koyak. Normadiah pun sama-sama garang dan berlakon betul-betul serius. Dia nak cakar ke atau pukul, dia akan belasah habis-habis,” tambahnya.

Ketika dihubungi, pengasas Wadah Seni Entertainment, Cik Siti Aminah Ismail, menyifatkan Wahid sebagai pelakon veteran yang gigih berkarya dan cintakan seni.

“Walaupun Tok Wahid seorang pelawak, beliau serius apabila berbual tentang seni. Saya masih ingat detik beliau dah tak nak lagi hadir di khalayak ramai kerana dah berusia dan kadangkala rasa kurang dihargai.

“Saya berusaha memujuknya untuk menyertai seniwati Zaiton Abdullah dalam acara Abadi Kenangan Lagenda dan kemudian Sukma Irama Layar Perak. Dalam keadaan beliau tak berapa sihat, Tok Wahid hadirkan diri juga dan bersemangat untuk imbau kembali kenangan lama.


“Saya puji dedikasinya yang anggap kami generasi muda seperti keluarga sendiri. Banyak kisah-kisah yang ditinggalkannya untuk kita hargai jasa veteran dunia perfileman Melayu di Singapura dan Malaysia,” jelas Cik Siti Aminah.

Seniwati Zaiton pula menganggap Wahid sebagai sahabat yang prihatin dan baik hati dengan kawan-kawan seangkatan dalam dunia perfileman meskipun berlainan studio.

“Saya dengan Shaw Brothers (Malay Film Productions). Beliau bersama Cathay-Keris. Kami tak pernah bekerja dalam filem yang sama tetapi bertemu dalam acara-acara seni.

“Sewaktu beliau sakit di hospital, saya datang menziarahinya. Baru ingat nak datang tengok beliau lagi dengan teman-teman... dah sampai masanya tak kesampaian. Moga Allah tempatkan Abang Wahid dalam kalangan mereka yang dirahmati,” jelas Zaiton.

Pelakon asal Singapura yang berpangkalan di Malaysia, Hasnul Rahmat, pula berterima kasih kepada Wahid kerana perkongsiannya tentang cerita-cerita Cathay-Keris bagi dokumentari Angin Menderu yang diusahakan Hasnul.


“Pak Wahid memang insan yang berbudi dalam dunia lawak jenaka Cathay-Keris dan anak emas Loke Wan Tho. Kehadiran Pak Wahid yang bersemarak dalam dunia perfileman Melayu akan kekal dihargai sebagai khazanah kenangan bersama dalam sejarah filem Melayu yang menyatukan Singapura, Malaysia dan Indonesia.

“Saya ingat Pak Wahid dendangkan lagu Mabuk Kuasa bersama sekumpulan kanak-kanak di Kampung Gelam dan pentas Istana Budaya. Itulah kenangan terindah buat saya. Terima kasih Pak Wahid. Anda akan dirindui,” jelas Hasnul.


Allahyarham Wahid meninggalkan enam anak dan lebih 20 cucu dan 10 cicit.

Al-Fatihah buat Allahyarham Wahid. Moga ditempatkan dalam kalangan mereka yang dirahmati.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >