Ismail Izzani tampilkan ibu, Suliza Salam dalam album baru
Ismail Izzani tampilkan ibu, Suliza Salam dalam album baru
Selepas sekian lama menyepi dari dunia seni, penyanyi veteran, Suliza Salam, 60 tahun, akhirnya ‘tewas’ dengan pujukan anaknya yang juga penyanyi dan komposer, Ismail Izzani untuk kembali ke studio rakaman.
Ismail, 26 tahun, mendedahkan beliau mengambil masa berbulan-bulan bagi meyakinkan ibunya yang juga penyanyi lagu Untuk Sekali Lagi, bagi membuat kemunculan istimewa dalam album terbarunya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
“Sejujurnya, berbulan-bulan juga saya ambil masa untuk memujuk.
“Saya perlu pujuk perlahan-lahan, bawa beliau bermain bola pikel dan gembirakan hatinya, barulah beliau bersetuju,” kata Ismail dalam laman web Harian Metro.
Menurut penyanyi lagu Luar Biasa itu, pada mulanya ibunya berasa bimbang untuk kembali menyanyi secara serius kerana faktor sudah lama meninggalkan bidang seni.
“Ibu bimbang dan takut tidak dapat memberikan hasil yang terbaik.
“Namun, saya yakinkan beliau, apa sahaja yang datang daripadanya adalah yang terbaik buat saya,” katanya lagi.
Kemunculan Suliza dalam album itu dianggap Ismail sebagai pencapaian peribadi amat bermakna memandangkan ibunya adalah tulang belakang yang sentiasa menemani perjalanannya dalam dunia seni sejak awal lagi.
Bercerita lanjut mengenai karya istimewa itu, Ismail berkata lagu itu hasil ciptaannya sendiri dan diberi judul, Janji Mama.
“Inspirasi lagu itu datang selepas saya berbual dengan ibu di telefon selama dua jam.
“Perbualan itu membuatkan saya sedar betapa besarnya pengorbanan seorang ibu demi melihat anaknya berjaya mencapai cita-cita,” ujar Ismail.
Proses rakaman demo bagi lagu itu sudah selesai dan Ismail menyasarkan rakaman penuh akan disiapkan sebelum menjelang Aidilfitri ini.
Selain lagu bersama ibunya, Ismail yang kini fokus untuk berkolaborasi dengan artis tempatan dan sedang giat menyiapkan album yang bakal memuatkan sekitar 12 hingga 15 lagu baru.

