Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ismail Izzani tidak ‘Tenggelam’ selepas sepi dua tahun

Jul 20, 2025 | 5:30 AM
Ismail Izzani, penyanyi, muzik, tempoh berehat
Penyanyi Ismail Izzani akui mengambil tempoh berehat dalam industri muzik sejak 2023, demi menyusun langkah kerjaya dengan lebih strategik, sekali gus menumpukan masa bersama keluarga selepas menerajui industri hiburan sejak usia muda. - Foto INSTAGRAM ISMAIL IZZANI

Ada pepatah yang menyatakan, ‘ada pelangi selepas hujan’, yang bermaksud setelah terjadi kesulitan hidup, akan datang masa yang lebih baik dan membahagiakan.

Begitulah gambaran kehidupan penyanyi Malaysia, Ismail Izzani, yang melangkah kembali ke industri muzik dengan semangat dan harapan baru.

Sebagai penyanyi yang berusia 25 tahun, Ismail, atau nama sebenarnya, Ismail Izzani Zainal Nazeri, mengakui tidak mudah untuk menghadapi cabaran yang datang bertali arus dalam dunia hiburan.

Apabila dihubungi Berita Minggu (BM) melalui Zoom pada 11 Julai, Ismail, atau lebih mesra dengan panggilan Mail, berkongsi beliau mengalami gelombang kejutan budaya dek perubahan pada gaya hidup setelah bergelar artis pada 2017.

Ketika itu, penyanyi lagu, Demi Kita, itu baru berusia 17 tahun.

“Pada usia yang sangat muda, Mail sudah mula bekerja. Ketika itu, hampir setiap hari, Mail ada ‘job’ (pekerjaan).

“Sejujurnya, Mail mengalami kejutan budaya semasa mengawali kerjaya dalam bidang muzik, kerana selama ini tidak pernah sesibuk itu,” kata Mail kepada BM.

Menyedari tekanan itu, Ismail mengambil keputusan untuk ‘menyepi’ dari bidang nyanyian selama dua tahun sejak 2023.

Langkah ini dianggap penting bagi Ismail yang ingin menyusun langkah kerjaya dengan lebih strategik, sekali gus menumpukan masa bersama keluarga selepas menerajui industri hiburan sejak usia setahun jagung.

Sekembalinya beliau ke arena muzik Malaysia, Ismail mengubati kerinduan peminat setia terhadap karyanya dengan melancarkan single terbaru berjudul, Tenggelam

Digubah oleh Amanda Gnai Song Hui dan Brendan Lim Seng Meng, lagu ini membawa makna kiasan yang menggambarkan perasaan cinta yang menyelubungi diri ketika bertemu insan yang benar-benar mengenali dan memahami seseorang individu itu.

Lebih menarik lagi, pendekatan video muzik Tenggelam turut menampilkan visual yang luar daripada kebiasaan, berbanding karya Ismail sebelum ini.

Dengan gaya ‘Y2K’ (era 2000) dan visual berteraskan emosi, Ismail tampil lebih berani mencuba kelainan – langkah yang sering dikaitkan dengan artis yang ingin menampilkan sisi matang dalam kerjaya mereka.

“Semasa berbincang dengan pihak penerbitan, saya nyatakan hasrat untuk tidak memasukkan jalan cerita dalam video muzik Tenggelam.

“Bagi saya, semuanya tentang rasa dan suasana lagu itu.

“Sejak kali pertama mendengar demo lagu ini, saya sudah merasakan bahawa video muziknya tidak memerlukan naratif. 

“Cukuplah jika pendengar dapat merasai ‘vibe’ (getaran) bersama,” kata Ismail, yang juga penulis lirik bagi lagu terbarunya.

Menjengah ke ruang komen di laman YouTube, ramai netizen turut mengatakan sentuhan era muzik Ismail sewaktu melancarkan lagu, Luar Biasa, telah kembali.

Ismail meluahkan rasa syukur apabila lagu terbarunya diterima baik peminat.

“Bercakap tentang arahan muzik, hingga sekarang, Mail masih lagi meneroka pelbagai gaya, genre dan rentak muzik. 

“Sebelum ini, saya juga ada mengeluarkan lagu yang lebih eksperimental. Tapi ramai yang jangkakan Mail akan mengeluarkan lagu berentak ‘pop’ seperti Luar Biasa (lagu duet bersama penyanyi ‘rap’, Alyph) dan Tenggelam

“Alhamdulillah, Mail gembira dengan sambutan yang diterima,” tambahnya. 

Bagaimanapun, sebagai artis muda, anak kepada penyanyi terkenal era 1980-an, Suliza Salam, itu tidak terlepas daripada terpalit kontroversi.

Antara kontroversi yang membabitkan beliau adalah gosip telah berkahwin.

Namanya juga terheret dalam isu berpelukan di kelab malam pada 2023.

Peristiwa ini menjadi antara faktor anak bongsu dalam keluarga tiga beradik itu mengambil keputusan berehat panjang dari kerjaya seni, demi memperbaiki diri menjadi lebih baik.

Meskipun namanya sedikit ‘tercemar’, Ismail tidak mudah melatah kerana menyedari setiap pergerakan anak seni pasti menjadi perhatian dan bahan untuk dimuat naik di media sosial.

Ditanya BM bagaimana beliau kini lebih berhati-hati dalam menjaga imej sebagai artis muda, beliau berkata:

“Dalam satu temu bual, Mail pernah diajukan soalan tentang pandangan terhadap ‘batch’ saya yang sering dilabel sebagai ‘bermasalah’ dalam industri.

“Bagi saya, ia juga disebabkan era yang berlainan kini. Masing-masing memiliki aib dan tergantung pada keadaan, antara orang tahu atau tidak.

“Media sosial ada kebaikannya, namun, kami juga perlu berhati-hati kerana apa-apa pun boleh terjadi. 

“Sedangkan berita yang tidak benar juga boleh tersebar dengan mudah. 

“Salah satu cara Mail menjaga diri kini adalah dengan dikelilingi orang-orang yang saya percaya,” jelas Mail.

Kini melihat rakan artis, Naim Daniel, yang didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berumur 17 tahun, bagi tujuan seksual pada 19 Mei lalu, Ismail berharap agar isu tersebut mendapat penyelesaian yang adil.

“Dari pandangan orang luar, Mail rasa perkara ini boleh dijadikan pengajaran kepada sesiapa.

“Apabila menjadi figura awam, netizen akan sentiasa ingin tahu apa yang berlaku dalam kehidupan dan mencari kesalahan seseorang artis itu.

“Saya tidak katakan apa yang Naim lakukan betul. Saya juga rasa perkara itu boleh berlaku pada sesiapa saja, terutama dalam era media sosial ini.

“Apa yang boleh dilakukan kini adalah menunggu keputusan mahkamah. 

“Saya juga lihat bahawa Naim memberikan kerjasama penuh dengan menghadiri mahkamah dan mengupah peguam.

“Mengenali Naim secara peribadi, saya percaya beliau akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya,” kata Ismail.

Selain nyanyian, Ismail turut menceburi bidang lakonan menerusi beberapa rantaian drama seperti Kebaya Kasut Kanvas (2020), Lelaki Lingkungan Cinta (2021) dan Keluarga Epik (2021).

Bahkan dalam drama Bukan Hanya Sekadar Cinta (2023), Ismail memainkan watak utama sebagai Isa Rafael, seorang lelaki penuh misteri yang disangka pekak dan bisu.

Beliau digandingkan bersama pelakon Singapura, Sofia Dendroff, yang berlakon sebagai isteri Isa Rafael bernama Kamelia.

Sejauh ini, Ismail tiada perancangan untuk mendalami bidang lakonan dalam masa terdekat dan berhasrat untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam pembikinan muzik.

Seterusnya, Ismail bakal tampil di Konsert Ulang Tahun Pertama kumpulan KLP48 pada 16 Ogos di Zepp Kuala Lumpur, sebagai penyanyi jemputan.

Antara lagu yang ‘wajib dinyanyikan’ termasuk lagu terbarunya, Tenggelam.

Lagu Tenggelam boleh didengarkan di seluruh wadah penstriman digital.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg