2025 boleh dianggap sebagai tahun yang membawa tuah kepada nama penyanyi tempatan, Izat Ibrahim, setelah dinobatkan juara dalam pertandingan nyanyian realiti anjuran Mediacorp Suria, Kaki Nyanyi.
Dalam Kaki Nyanyi yang telah melabuhkan tirainya pada 28 Januari, Izat, 34 tahun, merupakan salah satu anggota kumpulan S.U.I yang terdiri daripada Myra, Sunny Jackson dan Syaz Smooth.
Melebarkan sayapnya pula di seberang Tambak, Izat kini menjadi peserta yang mewakili Singapura dalam peraduan nyanyian realiti Malaysia, Big Stage Alpha, yang telah mewarnai layar kaca televisyen selama enam musim.
Edisi Big Stage Alpha kali ini yang memulakan tayangan perdana pada 27 April, menampilkan barisan peserta lelaki dari Malaysia, Singapura, Brunei dan juga Indonesia.
Setiap minggu, peserta yang berusia antara 18 tahun dengan 37 tahun, akan dinilai oleh barisan juri yang terdiri daripada, Datuk Syafinaz Selamat, Hael Husaini dan Edry Abdul Halim, berdasarkan persembahan solo dan juga secara berkumpulan yang dinamakan, ‘Alpha Ultra’ dan ‘Alpha Prime’.
Pada penghujung musim Big Stage Alpha pula, finalis terpilih membentuk sebuah ‘boyband’ baru, yang akan melakukan kemunculan sulung di bawah naungan syarikat hiburan, Rocketfuel Network dan Astro.
Big Stage Alpha yang akan bersiaran langsung selama lapan minggu, disiarkan di saluran Astro Ria, setiap Ahad pada 9 malam.
Sementara itu, Izat yang mempercayai inilah masa yang tepat untuk beliau mengasah lagi bakat nyanyiannya dalam persada hiburan Malaysia yang lebih rencam dan luas itu, akui masih dibayangi sekelumit penyesalan susuli pemergian arwah bapanya, pada Disember 2024.
“Apabila arwah bapa meninggal, Izat dibelenggu rasa penyesalan yang mendalam.
“Masih lagi dihantui bayangan tentang perkara yang mungkin Izat boleh lakukan lebih baik.
“Sampai satu masa, Izat rasa perlu ada satu pegangan yang menarik Izat kembali pada tujuan yang lebih kukuh,” katanya apabila ditemui Berita Harian (BH) melalui Zoom, pada 23 April.
Arwah bapa Izat, Allahyarham Encik Ibrahim Moekasim, yang menetap di Batam, Indonesia, sebagai rancangan persaraan sejak 2019, menghadapi masalah komplikasi paru-paru, demam dan ketandusan oksigen, selepas diserang wabak Covid-19.
Sebelum itu, kedua ibu bapanya sudah lama berpisah dan menurut Izat, hubungannya bersama arwah bapa terjalin hanya menerusi panggilan telefon dan video.
Bagaimanapun, peluang emas yang hadir di saat-saat getir ini turut melahirkan rasa bangga dalam dirinya kerana berhasil melangkah ke dalam industri hiburan Malaysia melalui usaha sendiri.
“Alhamdulillah, Izat menerima panggilan dari pihak Astro, diberitahu bahawa Izat berhasil memasuki pertandingan ini, semasa Ramadan. Tentunya, rasa seronok yang tidak terkata.
“Walaupun seakan tidak percaya, tetapi Izat bangga ia hasil dari melalui proses uji bakat secara berdikari dan tanpa bantuan sebarang label rakaman atau ‘orang dalam’,” kata Izat dengan mata yang berkaca-kaca.
Sepanjang berada dalam pertandingan berkenaan, Izat berkongsi jadualnya dipenuhi dengan kegiatan seperti menghadiri kelas vokal dan nyanyian, tarian mahupun rakaman kandungan berbentuk diari, untuk memberi kemas kini pada peminat sekali gus menonjolkan personaliti unik peserta yang bertanding.
Tanpa mensia-siakan peluang yang diberikan, Izat akur mengambil serius dalam mengerjakan tanggungjawab sebagai peserta kerana meyakini rezeki untuk memaparkan bakatnya di Malaysia sangat berharga.
“Bagi Izat, saya sentiasa mengambil serius segala peluang yang datang, lebih-lebih lagi di Malaysia kerana ia suatu pengalaman yang langka.
“Sekiranya Izat tidak ditakdirkan untuk ‘sampai’ ke peringkat akhir pun, tidak merugikan bagi saya.
“Peluang untuk berada di pentas luar negara dan menyerlahkan bakat nyanyian kepada masyarakat luar Singapura, juga adalah suatu pencapaian yang membanggakan,” kata Izat, yang sebelum ini bekerja sebagai vokalis ‘live band’ di kelab malam sejak 2014.
Apabila ditanya BH mengenai kelebihan yang boleh dipaparkan Izat dalam persembahan selaku peserta yang mewakili Kota Singa, beliau mengatakan pengalaman mendalami bidang nyanyian selama sedekad ini, sekali gus kemampuan menyanyikan pelbagai genre dilihat sebagai keuntungan.
“Ramai yang mungkin kurang melihat atau tahu sehebat mana bakat nyanyian orang Singapura.
“Ini membuatkan Izat lebih bersemangat untuk ‘tunjuk taring’ bakat tempatan kita.
“Selain itu, Izat sudah berkecimpung dalam bidang seni suara selama 10 tahun, dan sering bekerjasama secara berkumpulan.
“Rasanya, sayalah orang yang paling senang diajak bekerjasama,” tambahnya yang memiliki tona suara yang unik dan penuh getaran.
Bermodalkan pengalaman yang luas dalam nyanyian serta penyertaannya dalam pelbagai pertandingan nyanyian, persembahan Izat mencuri perhatian apabila memberikan nafas baru bersentuhan rok pada lagu bahasa Inggeris, Lay Me Down, yang dipopularkan penyanyi Barat, Sam Smith.
Lebih menakjubkan, persembahan itu berjaya memperoleh markah cemerlang sebanyak 82.20 peratus, sekali gus menempatkan Izat di carta tertinggi berdasarkan keseluruhan markah juri untuk Minggu 3, pada 11 Mei lalu.
Penampilan luar biasanya turut mendapat pujian melambung daripada juri jemputan, Jaclyn Victor, serta juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat.
Menjelang Minggu 4 pada 18 Mei, Izat bakal menyanyikan lagu, DJ Got Us Fallin’ In Love, dendangan asal Usher, mengikuti tema ‘Slay The Beat’ atau Kuasai Rentak Itu.
Big Stage Alpha boleh ditonton secara langsung di saluran Astro Ria serta laman penstriman digital, Astro Go dan Sooka, setiap Ahad bermula 9 malam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg