Apabila berpeluang merakam lagu ciptaan Edry Abdul Halim, komposer bertaraf maestro muzik, Nur Umairah Mohd Shafiq, inginkan satu kerja seni yang akan diingati ramai bahkan mudah dikaitkan dengan kehidupan tiga rakan sekumpulannya.
“Saya telah mengubahsuai sebahagian lirik yang sedia ada pada lagu Kecewa agar ia bukan hanya lagu cinta yang menggambarkan patah hati dan jiwa remuk redam, seperti kebiasaannya.
“Saya rasa ada yang boleh diperbaiki. Malahan, selepas mengamati pengalaman tiga teman saya dalam kumpulan S.U.I yang kehilangan orang tersayang, saya ingin Kecewa menjadi karya yang akan mudah mereka sendiri hayati apabila mendendangkannya.
“Kami ambil masa dari 8.30 malam hingga dinihari... sampai dah nak bersahur, untuk rakam lagu ini di Kuala Lumpur,” cerita Nur Umairah, 21 tahun, kepada Berita Minggu (BM) dalam satu wawancara Zoom.
S.U.I yang terdiri daripada Nur Umairah, atau nama pentasnya, Myra, Sunny Jackson, Syaz Smooth, dan Izat Ibrahim, adalah juara peraduan realiti Mediacorp Suria, Kaki Nyanyi, yang melabuhkan tirainya pada 28 Januari.
Nur Umairah akui cukup tersentuh dengan kesedihan yang menyelubungi jiwa Sunny dan Izat yang kehilangan ayah dan menyambut Lebaran buat kali pertama tanpa kehadiran bapa mereka.
“Sebab itu, saya pastikan lagu ini dapat menyelongkar perasaan dan pengertian kecewa apabila kehilangan orang tersayang,” jelas Nur Umairah.
Syaz pula masih lagi mengubati kekosongan yang menikam sanubarinya selepas abangnya, Mohammad Shahfiq Irman, juara Anugerah 2017, meninggal dunia dalam satu kemalangan tragik, pada Ramadan 2024.
Allahyarham Mohammad Shahfiq menemui ajal susuli satu nahas rempuhan lori kontena di Lebuhraya Utara-Selatan di Johor.
“Baru sahaja 23 Mac berlalu dan saya rasa kenangan pada Abang Mamat (panggilan buat Shahfiq) datang kembali kerana peristiwa itu. Ia tak pernah pergi tetapi saya mengenangnya lebih pada hari itu.
“Apabila 1 Syawal datang lagi, saya akui keadaannya dah tak sama lagi. Saya akan selalu teringatkan detik saya dan Abang Mamat akan menyanyi bersama lagu-lagu Raya.
“Kami akan ambil gitar dan memetik lagu Lebaran yang nostalgik. Pemergiannya memang mengejutkan. Saya bagaikan tak percaya dia tiada lagi sewaktu saya dikejutkan pada 3 pagi dan diberitahu mengenai nahas itu.
“Tahun lalu, kami sekeluarga tak beraya. Tahun ini pun, kami akan melawat Abang Mamat di pusara. Sambutan Hari Raya biasa-biasa sahaja.
“Saya cuma harapkan ibu saya tabah sebab banyak yang telah dilaluinya sejak ketiadaan Abang Mamat. Saya pula harus terus kuat semangat untuk beri sinar harapan untuk keluarga saya,” kongsi Syaz, 19 tahun, atau nama sebenarnya, Syah Riszuan Huslan.
Sunny, 34 tahun, atau nama sebenarnya, Kamsani Jumahat, pula kehilangan kasih sayang bapanya, Encik Jumahat Jimen, pada 4 September 2024.
“Saya tak dapat bayangkan kesedihannya apabila saya datang berkunjung ke rumah Emak dan hanya lihat beliau sahaja tanpa Ayah kali ini.
“Kami akan mengunjungi kubur arwah. Tapi yang paling sedih ialah apabila saya kehilangan seorang penyokong dan pendorong dalam saya membina kerjaya saya sebagai anak seni.
“Setiap kali tonton Sinar Lebaran, Ayah akan tanya, ‘Boy, bila kau nak nyanyi untuk Sinar Lebaran? Bila kau nak masuk klip video Raya Suria ni? Kededua perkara ini dapat saya laksanakan tahun ini (2025) tetapi arwah dah tak ada untuk menyaksikannya.
“Apabila saya dan S.U.I jadi juara Kaki Nyanyi pun, beliau tak dapat nak saksikan. Bagi saya, saya tandus kasih seorang ayah yang sentiasa beri galakan. Saya terlalu penat ketika rakaman Kaki Nyanyi sebab harus imbangi masa antara bekerja malam, bertanding dan menjaga anak-anak.
“Tapi Ayah selalu kata, ‘Kalau orang lain boleh, kau mesti boleh!” cerita Sunny, bapa dua anak lelaki.
Izat, 34 tahun, pula akui kadangkala rasa sekelumit penyesalan kerana tidak dapat menyambut Raya pada 2024 bersama arwah bapanya yang menetap di Batam.
“Ibu bapa saya sudah berpisah. Hubungan saya dengan Abah terjalin hanya menerusi panggilan telefon atau video. Kami menjalani hidup masing-masing.
“Saya hanya menyesal tak dapat kotakan impian beraya bersama pada 2024. Saya berada di Australia ketika itu. Ingat selepas Raya nak tengok Abah di Batam tetapi tidak kesampaian,” jelasnya, yang akan menyambut Raya bersama kakaknya, sementara ibunya mengunjungi seorang lagi kakaknya di Britain.
Bapa Izat yang menghadapi masalah komplikasi paru-paru selepas diserang wabak Covid-19 demam dan ketandusan oksigen.
Beberapa minit sebelum Izat berangkat menaiki feri pertama dari Singapura ke Batam, beliau mendapat berita bapanya tiada lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg