Topik diikuti
Pergi ke BHkuIzzue Islam tawan hati peminat dengan sesi ‘live’ harian di TikTok
Sibuk bina komuniti di alam maya; bakal terlibat dalam telefilem romantik S’pura
Izzue Islam tawan hati peminat dengan sesi ‘live’ harian di TikTok
Sedang ramai daripada kita sedang beristirahat atau tidur selepas melakukan kegiatan seharian, pelakon dan pengacara Malaysia, Izzue Islam, pula giat menghiburkan penonton menerusi siaran langsung atau ‘live’ di akaun TikTok pada lewat malam hingga dinihari.
Daripada nyanyian, melakukan cabaran tarian hingga berinteraksi dengan penonton menerusi jenaka spontannya, Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 36 tahun, berjaya menarik perhatian ramai penonton hampir setiap hari.
Bermula dengan melakukan ‘live’ di Instagram pada 2020 sewaktu pandemik Covid-19, Izzue beralih ke TikTok sekitar 2023 apabila wadah itu semakin popular dengan pengguna di Malaysia.
“Sebenarnya, ia berlaku secara semula jadi. Apabila ciri ‘live’ itu mula mendapat perhatian, saya tertarik untuk cuba. Tiba-tiba, macam ‘tersangkut’ pula untuk melakukannya hampir setiap hari.
“Sejujurnya, saya tidak sangka akan mendapat sambutan memberangsangkan seperti ini,” kongsinya kepada Berita Minggu (BM) semasa satu temu bual eksklusif di Hotel Hilton Orchard.
Izzue berada di Singapura pada Julai lalu bagi menjayakan penggambaran telefilem romantik tempatan, Countdown Cinta, yang bakal ditayangkan pada hujung 2026 di saluran Mediacorp Suria.
Karya oleh Just Another Production itu turut dibintangi barisan pelakon tempatan termasuk Farhana M Noor, Lydia Asyiqin dan Salif Hardie dengan penggambaran dilakukan di Singapura dan Malaysia.
Peluang bina komuniti, tonjol kreativiti
Menganggap sesi ‘live’ lebih daripada hiburan semata, Izzue berkata ia merupakan peluang untuk beramah mesra bersama peminatnya sambil mengenali mereka dengan lebih dekat.
“Sebagai seorang pelakon, orang ramai hanya dapat mengenali saya menerusi lakonan di kaca televisyen atau dalam program hiburan.
“Dengan adanya ‘live’, mereka boleh mengenali perwatakan saya yang sebenar dan berbual dengan saya secara langsung. Itu dapat mendekatkan saya dengan peminat dan membina satu komuniti,” ceritanya.
Beliau turut berpendapat sesi itu merupakan peluang untuk menonjolkan sisi kreatifnya.
Selain menyanyikan lagu Hindustan yang menjadi antara tarikan utama, Izzue turut bermain permainan teka-teki, menari dan melakukan kegiatan jalan malam, Nightwalk Paranormal.
Izzue juga terbuka untuk bekerjasama dengan pencipta kandungan atau ‘livestreamer’ lain bagi menyelesai cabaran atau permainan sewaktu siaran langsung itu.
“Saya rasa tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa pun. Saya tidak pernah menganggap kerana saya seorang artis, saya lebih dikenali orang ramai.
“Kadangkala, mereka (pencipta kandungan) mempunyai lebih ramai pengikut daripada saya di media sosial dan mereka turut dapat menarik lebih ramai penonton.
“Mungkin ada yang terfikir kenapa artis turut mahu menceburi bidang ini. Namun, saya rasa ia peluang untuk sesiapa sahaja kongsi kreativiti mereka,” ujarnya yang boleh mendapat sehingga ribuan tontonan pada satu-satu masa.
Walaupun enggan mengulas mengenai pendapatan yang boleh diraih melalui TikTok, Izzue berpendapat ia menjadi wadah sesuai bagi memasarkan produk untuk dijual kepada orang ramai.
Beliau turut berniaga produk rekaannya, Sambal Bilis Garing dan minyak wangi, Izzue Islam x Scente yang dipasarkan menerusi media sosial.
Atasi cabaran baru
Walaupun sesi ‘live’ Izzue kini mendapat perhatian penonton luar negara, beliau mengakui bahawa ia bukan mudah untuk sampai ke tahap itu.
“Melakukan ‘live’ ini seperti program televisyen juga. Jika program itu sekejap ada dan selepas itu tiba-tiba menghilang, orang akan melupakannya.
“Justeru, saya perlu kekal konsisten agar peminat dapat terus mengikuti perkembangan terkini saya.
“Saya harus sentiasa memikirkan apa yang perlu dikatakan jikalau tiada komen untuk dibalas supaya penonton tidak bosan,” jelas Izzue yang mengakui mengendalikan ‘live’ harian turut mencabar kekuatan mental dan fizikalnya.
Pada awalnya, beliau memantau setiap sesi untuk melihat respons penonton dan waktu paling sesuai untuk kendalikan siaran langsung tersebut.
Selain kekal konsisten, Izzue turut bersyukur mendapat sokongan daripada isteri merangkap pengurusnya, Awin Nurin, 44 tahun, dan beberapa moderator yang membantu untuk menapis komen negatif dan kurang sesuai daripada penonton.
Selain membalas dan ‘pin’ komen, mereka turut bantu membentuk komuniti IIAN Family (singkatan Izzue Islam Awin Nurin) yang bersemangat dan positif di TikTok.
“Moderator ini merupakan peminat setia yang telah menonton ‘live’ sejak saya baru-baru mula. Mereka akan hadir hampir setiap sesi. Tanpa mereka, saya mungkin terlepas komen yang penting daripada para penonton.
“Memang betul, melakukan ‘live’ ini turut bermakna saya terdedah dengan komen negatif yang mungkin mematahkan semangat saya.
“Namun, saya bersyukur adanya komuniti yang sentiasa memberi semangat positif,” kata Izzue.
Ditanya jikalau beliau dan Awin khuatir privasi mereka terganggu kerana sering melakukan ‘live’ di mana sahaja lokasi yang dikunjungi, Izzue berkata beliau berhati-hati apabila mengongsikan maklumat di media sosial.
“Tentu ada rasa bimbang jika kami kadangkala ‘overshare’ (kongsi berlebihan) mengenai kegiatan harian kami dan sesiapa sahaja tahu di mana kami berada.
“Ia antara cabaran mengendalikan sesi itu namun kami sentiasa berwaspada dan berfikir sebelum mengongsikan sebarang maklumat dengan peminat,” jelasnya.
Pastikan sesi ‘live’ tidak ganggu jadual lakonan
Walaupun aktif mengendalikan ‘live’ hampir setiap hari, Izzue tidak mahu kegiatan itu mengganggu jadual lakonannya.
Beliau yang baru tamat penggambaran bagi drama bersiri Semanis Warda dan Sekali Lagi Bahagia di Malaysia bersyukur jadual hariannya sering dipantau oleh isterinya.
“Awin akan pastikan saya mempunyai masa untuk berlatih dan fokus pada watak dalam drama setiap kali masuk ke set penggambaran.
“Jika masa penggambaran bermula awal pagi, Awin akan pastikan saya tamatkan sesi itu lebih awal pada malam sebelumnya atau kami tiadakannya pada hari itu,” jelasnya.
Izzue menganggap setiap tawaran lakonan itu sebagai amanah yang diberikan daripada pihak penerbitan dan tidak mahu mensia-siakan peluang tersebut.
“Berlakon masih menjadi punca rezeki saya justeru saya harus memberikan fokus sepenuhnya supaya dapat menjiwai watak dan menghafal dialog,” tambahnya.
“
“Sebagai seorang pelakon, orang ramai hanya dapat mengenali saya menerusi lakonan di kaca televisyen atau dalam program hiburan. Dengan adanya ‘live’, mereka boleh mengenali perwatakan saya yang sebenar dan berbual dengan saya secara langsung. Itu dapat mendekatkan saya dengan peminat dan membina satu komuniti.”