KUALA LUMPUR: Jenazah pendaki warga Malaysia, Allahyarham Rennie Abdul Ghani, 57 tahun, yang dilaporkan terjatuh di laluan Toren, Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia, tengah hari Sabtu, sedang dalam perjalanan dibawa turun.
Berkongsi perkara itu, adik ipar arwah yang juga pelakon Riezman Khuzaimi berkata proses membawa turun jenazah terpaksa dilakukan secara manual dan memakan masa berikutan helikopter tidak dapat memasuki kawasan berkenaan.
“Pasukan misi menyelamat sudah mula membawa turun jenazah pada jam 6.15 pagi tadi. Dijangka sampai petang sebab perjalanan dari sana jauh.
“Helikopter tak boleh masuk dan mereka terpaksa melakukannya (bawa turun jenazah) secara manual.
“Mereka perlu pikul dan ambulans sudah tunggu di kaki bukit.
“Jadi bila sampai sahaja, mereka akan terus bawa ke hospital,” katanya kepada BH Online.
Riezman berkata beliau bersama ahli keluarga juga sedang dalam usaha untuk membawa pulang jenazah ke Malaysia melalui urusan bersama Kedutaan Indonesia.
“Kami akan cuba bawa pulang jenazah ke Malaysia secepat mungkin, tapi kena tengok juga bagaimana prosedur hospital dan kerajaan Indonesia.
“Sekarang, anak sulung arwah sudah berangkat ke sana. Beliau akan buat pengecaman dan tuntutan jenazah,” katanya.
Dalam pada itu, Riezman berkata proses membawa turun jenazah sebelum dihantar ke hospital mungkin akan memakan masa lama berikutan perjalanannya yang jauh.
“Kami tak boleh nak dapatkan perkembangan terkini sebab atas gunung tiada liputan talian,” katanya.
Pada Sabtu, pihak berkuasa taman negara di Lombok memaklumkan bahawa seorang pendaki warga Malaysia terjatuh ketika pendakian di kawasan Banyu Urip.
Operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan pelbagai agensi membabitkan puluhan anggota daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Mataram, pasukan perubatan serta unit pencarian dan pertolongan.
Allahyarham Rennie memulakan pendakian melalui laluan Sembalun pada 1 Mei bersama kumpulan seramai 23 orang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg