KUALA LUMPUR: Tiada apa yang membanggakan penyanyi lagu, Patah Seribu, Shila Amzah, tatkala mengetahui pencapaiannya dalam bidang muzik terpampang di World Expo Osaka 2025 di Pulau Yumeshima, Jepun.
Bagaimanapun, Shila, 35 tahun, tidak mengetahui mengenai pameran itu, sebaliknya hanya menyedarinya selepas maklumat itu dikongsi seorang pengguna akaun X.
Menurutnya, sebagai individu yang pencapaiannya diangkat di sebuah pameran yang dihadiri ribuan manusia dari seluruh dunia, beliau rasa sangat bangga.
Namun, ia bukanlah untuk bermegah-megah mahupun mendabik dada.
“Sejujurnya, saya hanya menyedari wajah dan pencapaian terpampang di sebuah ekspo bertaraf dunia selepas terbaca dan terlihat perkongsian pengguna akaun X.
“Bagi saya, apa sahaja perkara baik ditulis, tidak kira di Malaysia mahupun luar negara, amatlah saya hargai.
“Saya bekerja keras bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi demi mengharumkan nama negara, jadi pastinya saya sangat bersyukur.
“Bagaimanapun saya enggan meninggi diri.
“Apabila kita sudah cukup berusaha dan doa, kemudian datangnya rezeki sebegini tentulah saya berasa sangat bangga,” katanya kepada laman Berita Harian Malaysia (BHM).
Juara pertandingan realiti, Asian Wave, di China pada 2021 itu hanya berharap, pencapaian yang diraih dalam bidang muzik yang sudah diceburi sejak kecil hingga meraih pelbagai pencapaian sampai ke luar negara, dapat dijadikan inspirasi kepada generasi muda.
Shila berterima kasih kepada peminat di Malaysia kerana menghargai kerjaya muziknya termasuk ada yang mencadangkan beliau diberikan pengiktirafan tinggi.
Baru-baru ini, nama Shila terpampang pada acara berprestij yang berlangsung setiap lima tahun sekali.
Acara itu membuka ruang agar dunia mengenali lebih dekat kejayaan anak seni dari pelbagai negara.
Antara kemenangan Shila, termasuk berada di tempat ketiga program realiti, I Am A Singer 2014, selain dipilih ke Anugerah Muzik Sedunia di Amerika Syarikat bagi kategori Penyanyi Wanita Terbaik, Penghibur Terbaik dan Video Terbaik.
Ekspo di Osaka itu berlangsung selama enam bulan, dari 13 April hingga 13 Oktober.
World Expo Osaka 2025 menyaksikan penyertaan 160 negara dan wilayah yang mempamerkan pencapaian teknologi, budaya dan kulinari negara yang menyertainya.
Ekspo anjuran Biro Antarabangsa itu mengangkat tema, ‘Merangka Masyarakat Masa Depan untuk Kehidupan’.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg