Topic followed successfully
Go to BHkuJoko Anwar papar isu rasuah di Indonesia dalam filem komedi seram terbaru
Joko Anwar papar isu rasuah di Indonesia dalam filem komedi seram terbaru
‘Ghost In The Cell’ cerminan cabaran rakyat hidup di sebalik kepimpinan tidak adil
Joko Anwar papar isu rasuah di Indonesia dalam filem komedi seram terbaru
Sekitar 20 tahun lalu, pada 2006, pengarah tersohor Indonesia, Joko Anwar, pernah merangka senarai filem yang ingin dihasilkan sepanjang kerjayanya, dalam satu buku nota kecil.
Dalam sesi tayangan eksklusif naskhah terbaharunya, Ghost In The Cell, di pawagam Golden Village, Suntec City, baru-baru ini, Joko, atau nama sebenarnya, Joko Eddy Haryanto, 50 tahun, akur beliau masih setia mengikut perancangan tersebut hingga saat ini.
Karya sebelum Joko seperti Pengabdi Setan dan Perempuan Tanah Jahanam, sering mengangkat isu berkaitan agama, struktur patriarki serta pengaruh kuat pihak berkuasa tempatan terhadap kehidupan masyarakat di kampung.
Pendekatan yang berakar pada realiti sosial itu terus menjadi nadi dalam karya terbaharunya, apabila beliau kini mengalihkan tumpuan kepada isu rasuah dan penyalahgunaan sumber alam.
“Setiap kali ingin menghasilkan filem, saya akan terlebih dahulu meneliti dan memahami pengalaman serta perasaan sebagai individu yang tinggal di Indonesia.
“Isu rasuah merupakan salah satu cabaran terbesar yang dihadapi kini, lebih-lebih lagi penyalahgunaan sumber alam bagi kepentingan sendiri.
“Ini kerana Indonesia memiliki hutan yang luas dan semakin banyak hutan diratakan untuk pelbagai tujuan seperti pembukaan ladang kelapa sawit dan perlombongan nikel seperti yang dipaparkan dalam filem ini.
“Ia juga kurang mendapat perhatian yang sewajarnya,” jelas Joko kepada Berita Harian (BH), ketika ditemui di ruang istirahat Gold Class pawagam Golden Village, Suntec City, pada 23 April.
Filem ini mengisahkan tentang Dimas (lakonan Endy Arfian), bekas wartawan yang dipenjarakan atas tuduhan membunuh ketua penyuntingnya.
Di Penjara Labuhan Angsana yang penuh rasuah dan keganasan, suasana menjadi semakin tegang apabila kematian ngeri berlaku secara berturut-turut susulan kedatangan Dimas.
Ia dipercayai akibat kuasa ghaib yang memangsa individu dengan aura negatif.
Dalam keadaan itu, sekumpulan banduan bersatu untuk memburu orang yang menjadi sasaran makhluk tersebut, demi memastikan kelangsungan hidup mereka dalam persekitaran yang penuh ancaman.
Antara barisan pelakon yang menjayakan filem tersebut, yang diarah dan ditulis oleh Joko sendiri, termasuk Abimana Aryasatya, Endy Arfian, Bront Palarae, Morgan Oey, Lukman Sardi, Aming Sugandhi, Dimas Danang Suryonegoro, Mike Lucock, Yoga Pratama dan Arswendy Bening Swara Nasution.
Pada Februari lalu, filem ini juga telah ditayangkan di Pesta Filem Antarabangsa Berlin ke-76, atau Berlinale, di Jerman, menerusi segmen Forum.
Segmen itu menampilkan karya filem yang berani mencabar batas, khususnya dalam aspek politik dan budaya.
Apabila mengangkat isu mengenai rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penindasan dalam filem ini, Joko memilih untuk tidak menggunakan pendekatan yang bersifat mendidik masyarakat secara langsung.
Sebaliknya, beliau memilih untuk menyampaikannya secara santai melalui ciri jenaka, sambil mengekalkan unsur seram dalam jalan cerita.
“Kami tidak mahu membebankan emosi penonton, sebaliknya berusaha menyampaikan cerita dalam bentuk yang ringan dan mudah dihadam, lantas memilih pendekatan komedi.
“Pada masa yang sama, genre seram turut disisipkan kerana ia dekat dengan kepercayaan masyarakat Indonesia yang masih kuat dengan unsur tahyul.
“Bagaimanapun, kami berharap penonton pulang dengan kesedaran bahawa filem ini turut menyentuh kebenaran berkaitan sosiopolitik di Indonesia,” ujarnya.
Lebih menarik lagi, setiap watak dicorak agar mencerminkan rakyat senegara.
Sentuhan itu menambah lagi kedalaman emosi pada jalan cerita, tambah Joko.
“Seperti yang selalu dikatakan, semakin kuat filem itu berakar pada budaya dan realiti tempatan, semakin mudah ia difahami dan dirasai oleh penonton daripada pelbagai latar belakang di seluruh dunia.
“Apabila kita mengangkat isu ketidakadilan dalam konteks Indonesia, penonton dari luar negara juga masih mampu rasai dan mengaitkannya dengan pengalaman mereka sendiri.
“Walaupun saya mengetengahkan isu rasuah, pembasmian hutan dan ketidakadilan di Indonesia, hakikatnya masalah ini turut wujud di banyak negara lain, khususnya di Asia Tenggara,” cerita pengarah filem, Pengepungan di Bukit Duri, itu.
Dalam menentukan watak, Joko turut menegaskan pemilihan pelakon tidak dibuat secara langsung, sebaliknya setiap calon perlu melalui proses uji bakat.
Pada masa sama, ketiadaan watak wanita dalam filem itu juga merupakan satu keputusan yang disengajakan bagi memberi gambaran terhadap kepimpinan dalam lingkaran kuasa di Indonesia.
“Menerusi dinamik watak banduan yang direka, saya ingin menunjukkan adakalanya seseorang itu dilihat jahat, sedangkan mereka adalah mangsa daripada sistem yang tidak adil.
“Tokek (lakonan Aming), misalnya, tidak dicipta sebagai antagonis semata-mata.
“Dalam satu babak, dia bertanya, ‘Apa yang kau tahu tentang dipermainkan?’ dan mengakui dirinya telah berulang kali dipermainkan oleh kehidupan.
“Itu menandakan dia juga mangsa keadaan.
“Persoalannya, siapa yang sepatutnya menjaga kesejahteraan rakyat – rakyat itu sendiri atau kerajaan?
“Ini kerana sistem yang baik seharusnya membolehkan rakyat hidup dengan sejahtera dan menyumbang kepada masyarakat.
“Jadi, bagi saya, Tokek bukan watak jahat tetapi dia antara yang paling tragik dalam cerita ini.
“Ketiadaan watak wanita pula adalah sesuatu yang disengajakan, bagi mencerminkan realiti lingkaran kuasa di Indonesia yang masih didominasi lelaki dengan penglibatan wanita yang agak terhad,” singkapnya.
Kesungguhan Joko dalam membina dunia filemnya terserlah apabila beliau sanggup meluangkan masa berbulan-bulan mencari tempat, malah membina set sendiri demi merealisasikan visinya.
Namun, di sebalik ketelitian tersebut, pengalaman di set penggambaran kadangkala turut diselubungi kejadian yang sukar dijelaskan secara logik.
Meskipun tidak percaya pada hal ghaib, Joko mengakui pernah berdepan kejadian ganjil yang berhasil dirakam kamera, daripada suara asing yang muncul secara tiba-tiba hinggalah kelibat yang di luar fikiran.
Mengimbas satu kejadian ketika penggambaran filem, Perempuan Tanah Jahanam, yang masih segar dalam ingatannya, Joko berkata:
“Semasa penggambaran filem ini, saya tidak sedar merakam kelibat tiga kanak-kanak yang menyerupai pelakon cilik kami.
“Apabila saya ingin mengulangi penggambaran babak tersebut, saya meminta kru untuk membawa kanak-kanak itu beredar dari situ.
“Bagaimanapun, kelibat itu masih ada jelas dalam lensa kamera! Saya berkata, ‘Apa yang sedang berlaku?’
“Tidak lama kemudian, pembantu pengarah memaklumkan pelakon cilik kami masih bersamanya di bilik persalinan.
“Detik itulah saya sedar… kelibat yang dirakam itu bukan pelakon kami.”
Filem, Ghost In The Cell, kini ditayangkan di beberapa cawangan pawagam Golden Village termasuk, GV Bedok, GV Plaza, GV Tampines, GV Yishun, dan GV VivoCity.
“
“Kami tidak mahu membebankan emosi penonton, sebaliknya berusaha menyampaikan cerita dalam bentuk yang ringan dan mudah dihadam, lantas memilih pendekatan komedi. Pada masa yang sama, genre seram turut disisipkan kerana ia dekat dengan kepercayaan masyarakat Indonesia yang masih kuat dengan unsur tahyul.”