Topik diikuti
Pergi ke BHkuHargai pengalaman tonton filem di pawagam sebelum ia jadi usang
Hargai pengalaman tonton filem di pawagam sebelum ia jadi usang
Ruang bagi pencinta filem berkumpul, sokong karya seni tempatan dan luar negara
Hargai pengalaman tonton filem di pawagam sebelum ia jadi usang
Laporan mengenai penutupan pawagam Golden Village (GV) di pusat beli-belah Tiong Bahru Plaza pada 29 Mac lalu membuat saya terfikir jika kegiatan menonton filem di pawagam akan pudar dalam masyarakat Singapura.
Ia merupakan penutupan pawagam kesembilan dalam masa setahun.
Bermula dengan Filmgarde yang menutup cawangan terakhirnya di Kallang Leisure Park pada Mac 2025, beberapa pawagam lain turut gulung tikar disebabkan harga operasi tinggi.
Ini termasuk pawagam ‘indie’, The Projector, dan jenama pawagam bersejarah Cathay Cineplexes yang telah beroperasi selama 86 tahun.
Dengan wadah penstriman mudah diakses di pelbagai peranti mudah alih kini menjadi satu kebiasaan, tidak hairanlah sektor pawagam berdepan dengan pelbagai cabaran untuk menarik penonton.
Walaupun saya faham industri hiburan di Singapura sentiasa berkembang dengan pesat, saya rasa pengalaman menonton filem di pawagam merupakan sesuatu yang harus dikekalkan dan dihargai masyarakat setempat.
Menonton filem di pawagam bukan hanya sekadar satu kegiatan hiburan semata.
Ia merupakan ruang bagi pencinta filem untuk berkumpul, berkongsi minat dan menyokong karya seni tempatan dan luar negara.
Selain menikmati visual bermutu tinggi di layar raksasa dan kesan bunyi realistik, pawagam turut menjadi peluang bagi penonton mencipta pengalaman berharga dengan keluarga atau sahabat handai.
Saya turut mempunyai pelbagai pengalaman yang tidak dapat dilupakan semasa menonton filem di pawagam bersama rakan sekolah.
Semasa saya masih menuntut di politeknik dan universiti, menonton filem bahasa Melayu dan Indonesia di pawagam merupakan kegiatan yang sering dilakukan bersama rakan selepas kami tamat setiap modul.
Ia seperti satu ‘ganjaran’ yang kami nantikan dan peluang untuk berehat selepas penat menyelesaikan setiap projek yang diberikan.
Saya turut mengingati kisah yang sering dikongsi datuk dan nenek saya mengenai pengalaman mereka keluar ‘dating’ sambil menonton filem di Panggung Capitol, yang terletak di Stamford Road pada era 1960-an.
Pengalaman mereka menaiki motosikal datuk saya untuk pergi menonton filem bahasa Melayu dan Inggeris merupakan antara kenangan manis yang terpahat dalam memori mereka hingga kini.
Dengan persaingan sengit, pawagam di Singapura turut melakar semula perkhidmatan yang ditawarkan dan berpindah daripada hanya menumpukan perhatian pada industri perfileman.
Rangkaian pawagam terbesar di Singapura, GV, kini menukar strategi perniagaan mereka dengan menawarkan lebih banyak pengalaman menonton rakaman konsert pop Korea (K-pop) oleh kumpulan terkenal seperti BTS, Super Junior dan NCT.
Walaupun pemilihan untuk mempelbagaikan kandungan yang dimainkan di pawagam itu membuahkan hasil, saya berpendapat lebih banyak bantuan boleh diberikan untuk menarik warga tempatan menonton filem di layar perak.
Ini agar tujuan utama pawagam yang menayangkan naskhah pelbagai genre dan sarat dengan penceritaan menarik yang dihasilkan penggiat seni tidak dilupakan.
Saya bersyukur adanya pertubuhan seperti Singapore Film Society (SFS) yang bekerjasama dengan GV untuk menyediakan ruang yang diberi nama SFS Somerset.
Dewan 6 di cawangan GV Cineleisure yang terletak di Grange Road, dikhususkan sejak Januari 2026 untuk menayangkan filem tempatan dan alternatif.
Namun, saya berharap lebih banyak inisiatif dan sokongan lain daripada pihak berkepentingan boleh menyemarakkan semula industri pawagam di Singapura.
Bagi saya, keinginan untuk melihat lebih banyak filem bahasa Melayu dibawa masuk ke pawagam tempatan merupakan antara tarikan utama untuk saya mengunjunginya lebih kerap.
Selain itu, peluang untuk adakan sesi beramah mesra dan dialog dengan pelakon dan pengarah filem dari seberang Tambak turut bakal menarik perhatian saya.
Mungkin industri pawagam tempatan memerlukan suntikan idea daripada generasi muda yang peka dengan trend semasa demi memberi pembaharuan.
Jangan biarkan jenama pawagam itu bergelut sendirian untuk meneruskan perjuangan ‘hidup’ dan nasib mereka di dalam landskap perniagaan yang tidak menentu.
