Pelakon filem Babah, Qi Razali, 48 tahun, selamat bernikah dengan wanita pilihannya yang dikenali sebagai Wardah, 30 tahun, juga seorang jurusolek di Gopeng, Perak, pada 25 Mei.
Terdahulu, berita gembira berhubung majlis pernikahan Qi dan isterinya dikongsikan personaliti televisyen, Fedtri Yahya, di akaun media sosialnya yang bertindak sebagai pengacara majlis.
“Alhamdulillah, dapat mengacarakan majlis pernikahan Qi Razali dan Wardah. Tahniah Babah.
“Kedua-duanya anak bongsu. Pengantin perempuan seorang jurusolek, jadi dia yang menyolek dirinya sendiri,” tulis Fedtri pada hantarannya dengan beberapa foto di Instagram (IG), lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Menurut Fedtri, majlis perkahwinan pasangan merpati dua sejoli itu juga berkonsepkan simfoni alam sekali gus memilih warna putih salju yang simbolik pada sebuah kebahagiaan.
Meninjau di ruangan komen, ramai netizen mengucapkan tahniah dan menitip doa agar perkahwinan pasangan pengantin kekal hingga ke jannah, termasuk memuji majlis yang sederhana tetapi meriah.
Sementara itu, Qi dalam temubual bersama media sebelum ini memberitahu, beliau memang berhasrat menamatkan zaman bujang dengan wanita bertakhta dihatinya itu pada Mei ini.
Ditanya juga apa yang menyebabkan beliau berasa sekarang masa sesuai untuk berkahwin, ujarnya, keselesaan yang dirasakan apabila bersama teman cinta hatinya itu.
“Rasa selesa, kelapangan dada dan risau hingga ingin tahu yang dia sentiasa ada di sisi walaupun ketika itu saya tidak bersamanya. Tiga benda ini yang bila dia tidak ada bersama, memang saya terasa ketiadaannya.
“Jadi, bila dah kahwin lebih senang mewujudkan kesefahaman sebab dah ada rasa keselesaan, kelapangan dada yang tak rasa bingit, stres (tekanan), itu kira okaylah,” katanya.
Difahamkan pada majlis pernikahan itu, Qi atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali Wong, menyerahkan mas kahwin sebanyak RM101.00 ($30.73) kepada isterinya, manakala jumlah hantaran dirahsiakan.
Qi yang juga anggota kumpulan OAG sebelum ini juga pernah beberapa kali menjalin hubungan cinta dengan wanita dalam kalangan selebriti, tetapi percintaan itu akhirnya putus di tengah jalan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg