Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Kaki gelak’ Roy Azman takut lompat ‘bungee’

Pelakon ‘Kapal Haji’ pernah terlibat dengan peristiwa hampir ragut nyawa di set penggambaran
Jun 14, 2025 | 5:30 AM
Roy Azman, pelakon, Kapal Haji
Penyampai radio, pelakon, dan pelawak Malaysia, Roy Azman, ingin seboleh-bolehnya mengelak tawaran watak antagonis, khususnya yang berbaur jenayah seperti penyeludupan dadah, rogol atau tindakan kekerasan pada anak. - Foto INSTAGRAM ROY AZMAN

Dek terbiasa memainkan watak antagonis dalam beberapa naskhah, ramai beranggapan pelakon Malaysia berpengalaman dan penyampai radio, Roy Azman, 55 tahun, serius orangnya.

Rupa-rupanya, Roy atau nama sebenarnya, Zairosminan Abdul Rahman, ialah seorang ‘kaki gelak’ (mudah ketawa) dan ‘cool’ sahaja.

Lebih-lebih lagi apabila sisi jenakanya makin terserlah melalui program hiburan realiti, Travelawak: Projek Bapak-Bapak yang berjalan selama empat musim, antara 2023 dengan 2025.

Program tersebut yang disiarkan di saluran Astro Prima, Astro Go dan Sooka itu, turut menggabungkan artis mapan lain seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Ramli M.S. dan Jatt Ali.

‘Geng’ bapak-bapak ini telah menjelajahi beberapa destinasi percutian seperti Jepun, Australia, Dubai, Korea, Hong Kong, Slovenia dan Romania.

Di sebalik gurauan selamba Roy yang suka menyakat rakan artis lain dalam program tersebut, beliau mengakui awalnya berasa gugup kerana tidak mengenali satu sama lain kecuali Jalaluddin, atau lebih mesra dengan panggilan, Tok Jalal.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom pada 2 Jun, beliau berkata:

“Apabila bercakap tentang, Projek Bapak-Bapak, impaknya terlalu besar sehingga ke mana pun saya pergi, orang mesti akan bertanya tentang program itu.

“Kami sebenarnya tidak tahu digabungkan dengan siapa untuk program ini. Apabila sampai di lapangan terbang di Kuala Lumpur, barulah kami tahu.

“Pihak penerbitan sudah pun buat pasangan terlebih dulu kerana takut kami tidak serasi. Datuk Ramli dipasangkan dengan Abang Jatt, sementara saya pula disatukan dengan Tok Jalal.

“Namun, alhamdulillah, keempat-empat kami ‘ngam’ (serasi) dan berhasil menonjolkan keperibadian masing-masing yang membuatkan rancangan itu ‘menjadi’.”

Ditanya BH mengenai kegiatan ekstrem yang dilakukan dalam Travelawak: Projek Bapak-Bapak, bapa lima anak itu tanpa teragak-agak mengatakan lompat bungee dengan ketinggian 200 meter di Jepun, antara pengalaman paling menakutkan yang pernah dilaluinya.

“Sebenarnya, lompat bungee adalah suatu perkara yang saya tak nak buat dalam hidup saya.

“Kalau anak-anak saya ajak ke pesta permainan, saya memang tak berminat bab permainan.

“Kerana saya biasa terdengar peristiwa tali putus atau tidak memasang tali keselamatan dengan betul,” kata Roy.

Jauh di sudut fikirannya, tergambar bayangan peristiwa yang masih menghantui pelakon filem, Maria Mariana, itu.

Bercerita kepada BH, Roy pernah terlibat dalam satu kejadian yang nyaris-nyaris meragut nyawanya semasa melalui penggambaran drama yang bertemakan dunia bomba suatu ketika dulu.

“Dulu, saya pernah berlakon dalam satu kisah bomba, di mana ada satu adegan yang memerlukan saya terjun dari titi untuk menyelamatkan seseorang dari sungai.

“Ketinggiannya sekitar 50 meter. Kebetulan, semasa saya ingin terjun, salah satu pelakon di situ perasan bahawa tali keselamatan tidak sangkut pada pinggang saya.

“Waktu itu sudah masuk kiraan ‘3…2…1, okey action!’. Pelakon itu pun menjerit, ‘Jangan! Roy berhenti!’.

“Semua pun berhenti dan melihat ke arah tali keselamatan saya yang tidak dipasang dengan betul. 

“Kalau saya terjun, memang ‘habis’! Lagi pula, air di sungai cetek. Selebihnya, batu bata sahaja. Itulah pengalaman yang membuatkan saya tidak mahu lakukan lompat bungee.

“Tapi, masa di Jepun, Abang Jatt dah lompat dulu. Jadi saya terpaksa gagahi juga,” kata Roy sambil tertawa.

Menyentuh tentang lakonan, Roy yang sudah mewarnai layar televisyen sejak akhir 1980-an itu mengakui ingin seboleh-bolehnya mengelak tawaran watak antagonis, khususnya yang berbaur jenayah seperti penyeludupan dadah, rogol atau tindakan kekerasan pada anak muda.

Ini demi melindungi kelima-lima anaknya yang berusia antara tujuh dengan 17 tahun, daripada terkesan dengan watak yang dibawa hingga menjadi bahan ejekan rakan sebaya.

Bagaimanapun, sempena Hari Raya Aidiladha, Roy merupakan antara pelakon yang menjayakan telefilem Singapura, Kapal Haji, terbitan Echo Entertainments yang disiarkan di saluran Mediacorp Suria pada 7 Jun.

Dalam telefilem berlatarkan Singapura pada era 1950-an itu, Roy menjelaskan beliau memainkan watak Tok Wan, penghulu penduduk Kampung Raden.

Tok Wan juga ialah dalang yang bersubahat dalam skim penipuan simpanan palsu yang mengancam harapan penduduk kampung untuk mengerjakan ibadah haji.

Diarahkan oleh Shaiful Reezal Tajri, telefilem tersebut melibatkan lakonan hebat bakat Singapura dan Malaysia seperti Elfaeza Ul Haq, Fir Rahman, Fadhlur Rahman, Najip Aziz, Marisa Yasmin dan Azhar Amir.

“Watak penghulu kampung seperti ini jarang saya lakonkan. 

“Menariknya, Tok Wan digambarkan sebagai penghulu yang serba salah, terperangkap antara mendengar arahan dalang atau memenuhi kehendak penduduk kampung.

“Cabaran utamanya ialah menambahkan unsur jenaka pada watak itu. Agak sukar untuk saya lakukan jenaka itu kerana jalan ceritanya cenderung ke arah yang lebih serius,” ujarnya.

Walaupun ia merupakan pengalaman pertamanya bekerjasama dalam penerbitan Singapura, beliau memuji kehebatan bakat tempatan, terutama Fir Rahman yang berjaya menghayati watak Salman, dalang di sebalik skim penipuan simpanan palsu kapal haji.

“Saya berharap agar penonton yang menyaksikannya dapat mengambil iktibar dan tidak mudah terjerat dengan penipuan. Saya sendiri pernah mengalami situasi serupa. 

“Jalan ceritanya memberikan pengajaran kepada kita semua untuk lebih berhati-hati dan tidak tergesa-gesa membuat keputusan tanpa pertimbangan yang matang,” ujar Roy.

Kapal Haji boleh ditonton semula di aplikasi mewatch dan laman YouTube Mediacorp Drama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg