Tali pusat sering dikaitkan dengan kebergantungan dalam kehidupan.
Ia juga menjadi simbol metafora dalam seni kontemporari, menghubungkan daratan dan lautan, manusia dan tempat serta masa lalu dan masa kini.
Sempena Festival Seni Antarabangsa Singapura (Sifa) 2025, metafora ini diterjemahkan ke dalam sebuah pementasan pelbagai disiplin bertajuk, Umbilical.
Pementasan ini menghimpunkan seniman pelbagai disiplin, Rizman Putra; seniman media bunyi, Zul Mahmod dan seniman kesan visual, Heider Ismail, atau lebih dikenali sebagai thesupersystem.
Melalui pementasan yang bakal berlangsung antara 16 dengan 18 Mei di Teater Studio, Sekolah Seni Singapura (Sota), Umbilical, menyelami kesan sosial dan emosi yang timbul akibat perpecahan dan perubahan, merujuk kepada ketidakpastian yang dirasai oleh masyarakat semasa perpisahan Singapura dari Malaysia pada 1965.
Umbilical akan dipersembahkan dalam tiga set persembahan – pada 16 dan 17 Mei bermula 8 malam; serta 18 Mei bermula 3 petang.
Selain mengupas secebis sejarah mengenai perpisahan Singapura dan Malaysia, pementasan ini turut meneroka tema berhubungan emosi, jati diri dan perhubungan antara manusia.
Sehubungan ini, ia juga selaras dengan tujuan Sifa 2025, mengupas isu-isu yang dekat dalam hati masyarakat, sempena ulang tahun Singapura ke-60.
Menurut pereka visual Umbilical, Heider atau thesupersystem, 34 tahun, teknologi kecerdasan buatan atau AI, memainkan peranan penting dalam menghasilkan visual yang membantu memperkaya suasana era 1960-an di atas pentas.
“Dalam kerja seni ini, saya menggunakan AI untuk membantu mendapatkan maklumat, serta menghasilkan unsur visual atau gambar dan video, yang bertepatan dengan tema pementasan,” katanya kepada Berita Harian (BH), pada 29 April melalui Zoom.
Manakala, Zul, 50 tahun, yang menggalas amanah menghasilkan kesan bunyi yang menarik bagi pementasan itu, menambah bahawa penggunaan AI dalam seni masa kini, bukan dianggap asing.
Ia berfungsi sebagai alat yang memperkayakan pengalaman seni dan juga pementasan teater.
Dalam pada itu, pementasan selama satu jam, yang berkonsepkan ‘post-dramatic’ atau pascadramatik ini, menggantikan skrip tradisional dengan gabungan elemen seperti gerakan tubuh, muzik dan bunyi-bunyian serta kesan visual.
“Kami menggunakan pergerakan, kesan bunyi dan kesan visual untuk mencetuskan pelbagai tafsiran, memberi ruang kepada penonton untuk menilai karya ini dari perspektif mereka sendiri,” jelas Rizman, 47 tahun, yang pernah terlibat dalam pementasan, Bangsawan Gemala Malam bersama kumpulan teater tempatan, Teater Ekamatra, sempena Sifa 2022.
Dalam ruang yang tersedia, Rizman menggunakan gerakan tubuhnya sebagai medium utama untuk menyampaikan jalan cerita.
Berkongsi harapannya terhadap pementasan ini, Rizman menyeru penonton agar hadir dengan pemikiran terbuka dalam menghayati karya seni yang bercorak abstrak dan eksperimental.
“Pementasan Umbilical seakan membawa penonton ke dalam dunia baru, yang menawarkan pelbagai ruang untuk menafsir dan merenung pesanan yang disampaikan, terutama bagi mereka yang belum biasa dengan karya seni berkonsepkan eksperimental seperti ini,” ujarnya.
Tiket bagi pementasan Umbilical berharga $48, boleh didapatkan melalui laman web Sifa https://tickets.sifa.sg/en/e/SIFA2502
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg