2025 mencatat sejarah dalam kerjaya penyanyi serta penulis lagu berusia 27 tahun iaitu, Zalelo atau nama sebenarnya, Afrah Athasha Aman Shah, apabila berhasil meraih anugerah Lagu Tema Terbaik, bagi lagu Bebas, pada Anugerah Kreatif Akademi Asia (AACA) 2025.
Lagu hasil ciptaan Zalelo, dibantu oleh komposer serta penerbit lagu Bebas, Andy Gan, merupakan runut bunyi (OST) bagi drama bersiri Mediacorp Suria, Korban (Musim Kedua), yang telah menamatkan siaran pada 3 Julai (2025).
AACA diadakan di Teater Capitol pada 4 Disember lalu.
“Saya agak terkejut apabila diberitahu lagu Bebas dicalonkan dalam AACA 2025.
“Sebelum ini, saya tidak pernah tahu kewujudan anugerah ini sehingga harus membuat kajian sendiri.
“Ketika mendapat tahu lagu Bebas sebaris dalam pencalonan dengan lagu Bukan Lagi Kita, nyanyian Hael Husaini dan Nadeera, bagi drama Curang Tanpa Niat, saya lebih terkejut!
“Sebagai satu-satunya wakil dari Singapura, saya berasa amat bersyukur dan berbangga atas pencapaian ini,” kata Zalelo, dalam satu sesi temu bual bersama Berita Harian (BH) melalui Zoom, baru-baru ini.
Bebas menceritakan tentang keinginan seseorang untuk melepaskan diri daripada belenggu kesedihan, trauma, atau masa lalu yang menyakitkan.
Seperti judulnya, lagu ini merujuk kepada perasaan lega apabila seseorang berjaya keluar daripada ‘penjara’ emosi yang mendalam.
Sesuai dengan jalan cerita dalam drama bersiri, Korban, yang turut menggabungkan dua budaya, lagu ini melakar keunikan tersendiri sebagai lagu pertama yang menggabungkan lirik dalam bahasa Melayu dan Maori.
Lagu Bebas berhasil menewaskan lagu Feud, terbitan Huanyu Entertainment dari China, dengan perbezaan yang sangat tipis iaitu sebanyak 0.02 mata.
Di samping itu, ini merupakan kali kedua Zalelo menyumbang lagu bagi drama terbitan Monochromatic Pictures, yang digunakan sebagai OST drama itu serta diiktiraf.
Lagu OST bagi siri pertama drama Korban, yang juga dicipta oleh Zalelo dengan judul yang sama, dicalonkan dalam kategori Lagu Tema Terbaik di Pesta Perdana 2023.
Berkongsi lanjut tentang cabaran yang dilalui Zalelo ketika menulis lirik lagu dalam bahasa Maori, beliau akur penggunaan kecerdasan buatan (AI) sedikit sebanyak membantu memudahkan proses penulisan.
“Pada awalnya, saya menulis lagu dalam bahasa Melayu. Kemudian, saya terjemahkan kepada bahasa Maori menggunakan kaedah Google Translate, dan ChatGPT.
“Saya menggunakan kededua platform itu untuk memastikan setiap bait perkataan jelas dan sesuai untuk diterjemahkan mengikut melodi Melayu.
“Tidak hanya itu, saya turut bertanya kepada pihak penerbitan yang kebetulan berada di New Zealand bagi sesi penggambaran, untuk perbetulkan bahasa agar ia benar-benar tepat,” kongsi Zalelo, yang turut menguruskan perniagaan ‘bubble tea’ Arab dan minuman ‘mojito’ jenama Habibtea.
Zalelo, yang merupakan anak kepada Allahyarham Aman Shah dan Farah Diba Abdul Aziz daripada kumpulan duo, The Queens, itu turut menerima respons positif dan membangun daripada orang sekeliling, termasuk ibunya yang pernah bergiat dalam dunia seni.
“Melihat pencapaian ini, ibu saya berkata, ‘Zaman dulu berlainan. Tugas seorang penyanyi hanya ke studio rakaman, menyumbangkan suara dan ada kalanya menghadiri sesi bergambar bagi bahan promosi.’
“Bak pepatah, ‘Lain hulu lain parang. Lain dahulu, lain sekarang’, kini ramai artis muda yang aktif dalam bidang nyanyian serta menulis lagu sendiri.
“Namun, masih ada juga yang sekadar menyanyikan lagu hasil ciptaan orang lain.
“Selepas memenangi anugerah ini, barulah ibu saya sedar, saya tidak hanya menulis lagu sendiri tetapi turut terlibat dalam penghasilan karya berdasarkan projek.
“Hal ini meluaskan lagi jangkauan pendengar dan peminat, di dalam mahupun di luar negara,” ujarnya yang tampil sebagai peserta dalam program realiti hiburan, Kaki Nyanyi, terbitan syarikat Oonik dan disiarkan di Mediacorp Suria, sekitar awal 2025.
Meneruskan rentetan kejayaan cemerlangnya sepanjang 2025, Zalelo turut mencatatkan prestasi membanggakan di wadah penstriman, Spotify dengan meraih sebanyak 67,900 penstriman dan 44,400 jumlah pendengar, bagi lagu bahasa Inggeris bergenre R&B hasil ciptaannya, Investments.
Malah, beliau juga berhasil mencapai sebanyak 94,200 penstriman dan 54,800 jumlah pendengar bagi karya keseluruhan yang dimuat naik di laman Spotify, sehingga akhbar ini diterbitkan.
Kebanyakan pendengar setia lagu beliau hadir dari Filipina, Malaysia, Indonesia, Amerika Syarikat dan Taiwan.
“Saya tidak menjangkakan lagu saya akan ‘sampai’ hingga ke Filipina. Sebelum ini, saya hanya menghasilkan lagu berdasarkan minat sahaja.
“Tiada sebarang jangkaan untuk meraih pendengar baru di luar negara. Namun, itulah hasil daripada kerja keras dan keberanian memanfaatkan media sosial untuk memperluas jangkauan pendengar.
“Baru-baru ini, saya juga baru selesai membuat persembahan di Esplanade, di samping membawakan lagu ‘viral’ di TikTok iaitu, Gunslinger, nyanyian asal kumpulan Avenged Sevenfold, yang saya ubah liriknya dalam bahasa Melayu.
“Kejayaan lagu itu membuat nama saya dikenali di Malaysia. Sampai hari ini, setiap kali saya kongsikan video persembahan di Esplanade itu, ramai yang komen tidak sabar menanti persembahan seterusnya,” ungkap Zalelo.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg