Topik diikuti
Pergi ke BHkuKasih ibu korbankan ‘glamor’, kini tanam azam baru dalam seni
Hati Amelina terus ‘berlabuh’ di S’pura, bakal santuni peminat menerusi acara kenal suai pada 10 Okt
Kasih ibu korbankan ‘glamor’, kini tanam azam baru dalam seni
Ketika namanya sedang ‘meletup’, Ratu Dangdut Malaysia, Amelina memilih untuk meninggalkan pentas dan mengetepikan populariti demi membesarkan enam orang anak.
Kini, selepas mereka beranjak dewasa, Amelina, atau nama sebenarnya, Norazlina Amir Sharipuddin, 52 tahun, kembali menumpukan perhatian kepada kerjaya seni yang pernah dikorbankannya demi keluarga.
“Memang masa itu (pada 1999), saya ‘stop’ terus (henti bernyanyi). Nama sedang ‘meletup’, tetapi saya pilih untuk fokus bina keluarga.
“Alhamdulillah, saya dikurniakan enam orang anak. Sekarang mereka semua sudah besar.
“Anak sulung sudah berusia 25 tahun, manakala yang bongsu 17 tahun.
“Jadi sekarang barulah saya boleh beri tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya seni,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu (BM) melalui Zoom, baru-baru ini.
Di sebalik keputusan mendahulukan keluarga, Amelina akur perjalanan membesarkan enam anak seorang diri bukan sesuatu yang mudah.
Beliau dikurniakan empat anak lelaki dan dua anak perempuan.
“Cabaran membesarkan anak seorang diri memang sangat berat kerana kitalah ibu dan bapa.
“Bukan mudah untuk membahagikan masa dan perhatian, sambil memikul tanggungjawab mencari rezeki untuk mereka.
“Saya pula mempunyai ramai anak lelaki, jadi mereka juga memerlukan sosok seorang ayah.
“Adakalanya saya perlu memerah otak untuk menjawab soalan peribadi mereka.
“Namun, saya selalu berpesan supaya mereka bersyukur dengan apa yang ada dan memahami kesusahan mak.
“Alhamdulillah, anak-anak tidak pernah menyusahkan saya,” katanya lagi.
Setelah kembali aktif dalam dunia seni pada 2014, Amelina sempat menceburi bidang perniagaan dengan menjual aneka kuih dan biskut Raya di Singapura sekitar 2017.
Namun begitu, kesibukan memenuhi tuntutan kerjaya seni menyebabkan beliau sukar memberikan komitmen sepenuhnya terhadap perniagaan tersebut.
Antara kuih Raya yang ditawarkan ialah biskut cip coklat, semperit dan batang buruk.
Minat berniaga itu, bagaimanapun, masih diteruskan apabila Amelina baru-baru ini kembali menjual aneka kuih Raya sempena Malaysia Fest 2026 di Singapore Expo, yang berlangsung antara 30 Julai dengan 2 Ogos.
Pada masa sama, penyanyi kelahiran Nilai, Negeri Sembilan, itu teruja untuk mendekati peminat Singapura menerusi acara kenal suai, Malam Dangdut Menyanyi Bersama Amelina, yang bakal berlangsung pada 10 Oktober, mulai 5 petang di Verona Ballroom, 102 Henderson Road.
“Bila sibuk dengan persembahan, susah untuk saya luangkan masa berniaga.
“Saya pula jenis yang kalau berniaga, saya mahu berada sendiri di situ.
“Dulu ketika berniaga di Tampines (pada 2017), hampir setiap hari saya ada.
“Bila kita sendiri berada di situ, peminat boleh datang berjumpa dan membeli secara langsung.
“Kalau sekadar buka perniagaan tetapi saya sendiri tiada, bagi saya tujuan itu tidak tercapai.
“Jadi, selepas kira-kira 10 tahun, kebetulan ada acara ini dan saya mahu mengambil peluang untuk kembali bertemu peminat secara langsung,” ujar Amelina.
Acara kenal suai itu merupakan anjuran bersama Verona Henderson dan butik pengantin tempatan, AshClusive.
Ia juga akan dihoskan oleh penghibur dan personaliti terkenal, Roslan Shah.
Amelina berkata kali terakhir beliau membuat persembahan di Singapura sekitar 2024, menerusi dua acara makan malam tertutup.
Justeru, acara kenal suai kali ini membawa makna berbeza kerana ia membuka ruang untuknya mengenali dan menyantuni peminat secara dekat.
“Kalau sebelum ini, persembahan saya lebih kepada acara tertutup.
“Tapi kali ini, peminat datang khusus untuk bertemu dan meluangkan masa bersama saya.
“Memang ada rasa gementar kerana kita mengumpulkan peminat dalam satu acara.
“Pada masa sama, saya terharu dan berharap ramai yang akan hadir pada malam itu (10 Okt),” kata pemenang tempat keempat dalam peraduan realiti Astro, Gegar Vaganza 5 (GV5), pada 2018.
Dalam pada itu, pelantun lagu Secangkir Madu Merah itu tidak sabar untuk mempersembahkan lagu terbaharunya, Sayang Memang Sayang, secara langsung di hadapan peminat.
Lagu ciptaan Amelina sendiri itu dikatakan mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat selepas diputarkan di corong radio tempatan.
Selain persembahan istimewa Amelina, peminat turut berpeluang menyertai pelbagai kegiatan termasuk cabutan bertuah dan pertandingan pakaian terbaik.
“Kali ini agak istimewa buat saya kerana saya sendiri merupakan peminat tegar Amelina sejak zaman sekolah menengah lagi dan sudah lama menyimpan hasrat untuk menganjurkan acara kenal suai bersamanya.
“Pelbagai kegiatan turut disediakan supaya peminat dapat meluangkan masa bersama Amelina, antaranya menari dan meniru gaya Amelina, selain menerima beg cenderamata serta berpeluang menyertai cabutan bertuah.
“Saya yakin peminat akan pulang dengan membawa kenangan manis bersama Amelina selepas acara itu,” ujar penganjur yang juga jurusolek tempatan, Muhd Ashik Omar, dari AshClusive.
Bagi mereka yang ingin menghadiri acara kenal suai Amelina boleh mendapatkan tiket berharga $88 dengan menghubungi Rose Minhaj di talian 9776-0675.