Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrivia tentang ‘Empat’
Trivia tentang ‘Empat’
Sebelum tirai konsert Empat Live in Singapore dibuka di Teater The Star pada 26 September ini, apa kata kenali beberapa fakta menarik mengenai empat penyanyi sekeluarga iaitu pasangan adik-beradik Anuar Zain dan Ziana Zain, serta anak saudara mereka, Ernie Zakri bersama suaminya, Syamel, yang bakal menghiburkan peminat dengan lagu terkenal masing-masing.
ANUAR ZAIN
– Rahsia suara kekal mantap: Anuar memastikan dirinya mendapat tidur dan rehat yang mencukupi, selain mengurangkan pengambilan minuman bergas dan air berais untuk memelihara vokalnya.
– Bangun tidur terus menyanyi: Ziana Zain pernah berseloroh Anuar akan mula menyanyi sebaik sahaja membuka mata. Menurutnya, cara paling mudah untuk mengetahui sama ada Anuar sudah bangun tidur adalah apabila kedengaran suaranya menyanyi.
– Utamakan keterbukaan: Bagi Anuar, perselisihan faham antara adik-beradik adalah perkara biasa. Baginya, setiap perselisihan lebih baik diselesaikan secara bersemuka daripada dibicarakan di belakang atau dibiarkan berlarutan.
ZIANA ZAIN
– ‘Posmen’ surat peminat: Sebelum era media sosial, Ziana pernah menjadi ‘posmen’ kepada Anuar dengan mengumpulkan surat peminat yang ditinggalkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Malaysia, buat adiknya itu.
– Gemar cabar kemampuan vokal: Pada awal pembabitannya dalam bidang nyanyian, Ziana mempelajari teknik vokal penyanyi bersuara lantang seperti Anita Sarawak, Azlina Aziz, Datuk Khadijah Ibrahim dan Whitney Houston. Sifatnya yang gemarkan cabaran mendorong beliau berlatih tanpa henti sehingga berjaya menguasai teknik nyanyian bernada tinggi.
– Tidak bercita-cita jadi pelakon: Ziana mengakui pada awalnya tidak berminat menceburi dunia lakonan. Namun, selepas menerima tawaran pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam, dan dipujuk arwah bapanya, Allahyarham Zin Abdullah, beliau akhirnya bersetuju membintangi filem pertamanya, Sembilu, pada 1994.
ERNIE ZAKRI
– Masih belum sedia buka kelas vokal: Walaupun pernah bergelar guru vokal, Ernie mengakui masih belum bersedia membuka kelas vokalnya sendiri kerana percaya dirinya masih perlu terus menimba ilmu dan memperbaiki kemahiran.
– Lirik siap dalam sehari: Ernie Zakri menulis sendiri lirik bagi lagu, Perjalanan, hasil kerjasama dengan komposer terkenal Indonesia, Andi Rianto. Menariknya, lirik itu berjaya disiapkan dalam tempoh hanya sehari.
– Pilih cinta ketika di puncak kerjaya: Ketika kerjayanya sedang berada di landasan terbaik, Ernie memilih untuk berkahwin dan kemudiannya bergelar ibu. Walaupun berdepan pelbagai kebimbangan, beliau percaya setiap fasa kehidupan mempunyai rezeki dan hikmahnya tersendiri.
SYAMEL
– Bermula sebagai penyanyi jalanan: Sebelum menyertai Akademi Fantasia 12 (AF12), Syamel aktif menyanyi di jalanan di sekitar Kuala Lumpur, Malaysia, untuk mengasah bakat nyanyian dan mencari wang saku.
– Minat Spider-Man: Di sebalik vokal mantap di pentas, Syamel meminati adiwira Spider-Man sehingga sanggup membeli sut watak itu secara dalam talian.
– Susah tulis lagu sedih: Syamel pernah berkongsi selepas mendirikan rumah tangga dengan Ernie, dan dikurniakan cahaya mata, Khawla Soleha, empat tahun, beliau semakin sukar ‘masuk’ ke dalam emosi lagu sedih kerana larut dalam perasaan bahagia.
Menangi tiket konsert ‘EMPAT Live in Singapore’:
Berita Harian akan memberikan lima pasang tiket percuma ke konsert ‘EMPAT Live in Singapore’ yang menampilkan empat penyanyi – pasangan adik-beradik Anuar Zain dan Ziana Zain, bersama anak saudara mereka, Ernie Zakri dan suaminya, Syamel.
Sertai peraduan berikut untuk berpeluang memenangi sepasang tiket Kategori 1 (bernilai $576) ke konsert tersebut yang bakal diadakan di The Star Theatre pada 26 September ini.
Cara penyertaan:
Baca artikel di atas dan cari jawapan bagi soalan-soalan berikut:
(i) Untuk memelihara vokal, Anuar Zain mengurangkan pengambilan minuman _____________.
(ii) Sebelum era media sosial, Ziana pernah menjadi _______ kepada Anuar dengan mengumpulkan surat peminat untuknya.
(iii) Ernie Zakri menulis sendiri lirik bagi lagu Perjalanan, hasil kerjasama dengan komposer terkenal Indonesia, ________.
(iv) Sebelum menyertai Akademi Fantasia 12 (AF12), Syamel aktif menyanyi di ____________ di sekitar Kuala Lumpur.
E-melkan jawapan anda ke bhgah@sph.com.sg, beserta nama penuh dan nombor telefon bimbit anda.
Lima pembaca terawal yang memberikan jawapan tepat akan dihubungi oleh pihak kami.
Tertakluk kepada terma dan syarat.
Terma dan syarat
Dengan menyertai peraduan ini, peserta bersetuju untuk terikat dan mematuhi terma dan syarat di bawah (“T&Cs”).
Penerangan: Peraduan: ‘EMPAT Live in Singapore’ dengan hadiah sepasang tiket Kategori 1 (bernilai $576) berlangsung dari 16 September hingga 20 September 2026.
Seorang pemenang akan dipilih berdasarkan ‘siapa cepat, dia dapat’.
Kelayakan: Peraduan terbuka hanya kepada mereka yang menetap di Singapura. Peserta mestilah berumur sekurang-kurangnya 18 tahun atau lebih pada masa penyertaan. Kakitangan SPH Media Limited dan syarikat berkaitannya (“Kumpulan SPH”) dan ahli keluarga terdekat mereka tidak layak mengambil bahagian. Setiap peserta boleh menghantar satu penyertaan sahaja.
Hak Cipta: Semua hak cipta dan hak harta intelek lain dalam dan kepada bahan yang diserahkan hendaklah terletak hak sepenuhnya dan mutlak pada SPH Media Limited tanpa pampasan selanjutnya. Setakat maksimum yang dibenarkan di bawah undang-undang, setiap peserta dengan ini mengetepikan hak moralnya dalam dan kepada semua bahan tersebut yang memihak kepada SPH Media Limited. BH berhak untuk menggunakan mana-mana cerita peraduan di akhbar penerbitan kami, laman web dan saluran media sosial serta lain-lain platform yang dimiliki atau dikendalikan oleh SPH Media sebaik sahaja cerita telah dihantar ke peraduan melalui hantaran WhatsApp atau e-mel ke Berita Harian.
Hadiah: Sepasang tiket Kategori 1 (bernilai $576).
Pemenang dikehendaki mematuhi terma dan syarat tambahan penaja hadiah tersebut. Hadiah yang dimenangi tidak boleh dipindah milik, ditukar atau ditebus dengan wang tunai.
BH berhak, pada bila-bila masa mengikut budi bicara mutlaknya, untuk menggantikan, menarik balik, menambah atau mengubah mana-mana hadiah yang ditawarkan tanpa memberitahu peserta.
Pemilihan pemenang, pemberitahuan dan kutipan hadiah: BH akan menghubungi pemenang melalui E-mel, atau WhatsApp. E-mel pengesahan akan dihantar kepada pemenang seterusnya, dengan disertakan borang pengakuan dan kebenaran. Jika pemenang membenarkan orang lain mengambil hadiah bagi pihak mereka, mereka perlu mengisi borang kebenaran. Pemenang perlu mengemukakan e-mel pengesahan/NRIC kepada di pejabat SPH dan menandatangani Borang Pengakuan sebelum mereka boleh menerima hadiah mereka.
Urusan lain: Peraduan ini tidak ditaja, disokong atau ditadbir oleh, atau lain-lain yang dikaitkan dengan Instagram, Inc. Peserta mesti memahami bahawa mereka memberikan maklumat mereka kepada BH dan bukan kepada Instagram. BH berhak untuk mengubah suai peraduan atau mana-mana tarikh atau tarikh akhir yang ditetapkan dalam peraturan rasmi ini atau sebaliknya mengawal peraduan.
Baca terma dan syarat lain: https://www.sph.com.sg/terms-and-conditions/online-contests/