KUALA LUMPUR: Keadaan kesihatan penyanyi veteran, Zaleha Hamid, 68 tahun, yang diserang angin ahmar sehingga koma pada 2019, kembali terjejas berikutan kandungan kalsium berlebihan dalam otak sehingga mengalami kekejangan, baru-baru ini.
Suami Zaleha, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, berkata isterinya dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) selama enam hari dan baru sahaja dibenarkan keluar minggu lalu, lapor Berita Harian Online.
Katanya, keadaan isterinya kini kembali seperti serangan angin ahmar pertama pada 2019.
Sebelum ini, Ungku Sulaiman pernah memberitahu, isterinya sudah mampu berkomunikasi dengan jelas, boleh makan, minum dan membuang air kecil tanpa menggunakan tiub.
“Isteri alami kekejangan lagi, serangan kali ini berlaku dua kali sehingga anak mata kanan menjadi juling.
“Pada mulanya, saya sangkakan isteri terkena strok haba berikutan keadaan cuaca panas sejak akhir-akhir ini.
“Saya perasan dari kepala hingga ke kaki panas, jadi saya bukakan pendingin udara.
“Waktu itu, salah satu panel pendingin udara terjatuh dan mungkin kerana terkejut, menyebabkan badannya seperti kekejangan.
“Apabila saya urut dan lapkan badan dengan air, keadaannya pulih dan matanya kembali seperti biasa.
“Sejam kemudian isteri sekali lagi kekejangan, namun kembali stabil selepas diurut, cuma bola mata sebelah kanan masih juling.
“Saya segera bawa ke klinik kesihatan, namun dirujuk ke hospital,” kata Ungku Sulaiman.
Hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat lebihan kalsium dalam otak penyanyi yang popular pada 80-an itu dan diberikan ubat.
Tambah Ungku Sulaiman, isterinya perlu menjalani rawatan susulan pada 10 Jun ini kerana doktor ingin memeriksa tirodnya.
“Ikut kata doktor, isteri perlu datang semula ke hospital minggu depan untuk mereka jalankan sinar-X pada tiroid bagi melihat sama ada perlu dibuang atau cukup dengan hanya makan ubat.
“Sejak keluar hospital, isteri sudah tidak boleh bercakap seperti biasa.
“Sebelum ini, percakapannya jelas, tapi kembali tak jelas selepas mengalami kekejangan.
“Lagi pun, bahagian dadanya banyak lendir, jadi saya terpaksa sedut menggunakan ‘vakum’.
“Secara kebetulan, alatan ini memang ada di rumah dan digunakan ketika mula-mula terkena angin ahmar untuk sedut muntah,” katanya lagi.
Ujar Ungku Sulaiman, keadaan Zaleha agak lemah sejak terkena serangan, namun masih mampu makan dalam kuantiti yang sedikit.
“Sebelum ini, bukanlah isteri boleh urus diri, tapi bolehlah duduk dengan bantuan.
“Tangannya pun sudah tak kebas dan boleh menggerakkan kaki seperti mengayuh.
“Tapi, sekarang agak lemah, percakapannya pun sudah tak jelas.
“Kalau tak, kami rajin bersembang mengenai lagu.
“Saya tanya beliau rindu tak nak menyanyi, tapi isteri kata malu sebab faktor usia.
“Makan tak banyak, enam atau tujuh sudu nasi pun tak habis.
“Bagaimanapun, isteri masih lagi boleh makan lauk-pauk, cuma tak boleh pedas.
“Jadi, apa sahaja menu yang saya masak semuanya tak pedas termasuklah masak lemak cili api saya hanya menggunakan lima biji cili sahaja,” katanya.
Ditanya bagaimana menyara kehidupan memandangkan tidak boleh bekerja, Ungku Sulaiman berkata faktor kesihatan isterinya memerlukan pengawasan 24 jam.
Bagaimanapun, katanya, beliau bergantung kepada wang zakat, baitulmal dan bantuan Yayasan Kebajikan Arits Tanah Air (YKAT) yang diterima sejak dua tahun lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg