Siapa sangka, rumah bagi golongan berpendapatan rendah atau Program Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan Uda Utama, di Johor Bahru itu merupakan kediaman penyanyi tersohor suatu ketika dahulu, Zaleha Hamid.
Wanita bersuara emas ini pernah mewarnai dunia hiburan Singapura dan Malaysia seawal era 1970-an bahkan dikenali dengan gelaran Ratu Dangdut.
Meskipun kawasan perumahan itu agak sunyi dan malap, ketibaan penulis ke flat sewa tiga bilik beliau, disambut mesra oleh anak bongsunya, Ungku Nor Muhammad Daniel dan suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz.
Zaleha, 69 tahun, terkenal dengan genre dangdut, Hindustan dan Melayu Deli dan memulakan kerjaya seninya pada 1969 di Singapura.
Antara lagu terkenalnya yang masih diingati ramai termasuk Jangan Segan Segan, Jangan Kau Tangiskan, Dangdut Reggae, Inang Aidilfitri (duet bersama Datuk Sudirman Haji Arshad), Semurni Kasihmu Sesuci Kasihku (duet bersama Aziz Ahmad) Joget Hari Raya (duet bersama Herman Tino) dan banyak lagi.
Keadaannya membimbangkan setelah diserang angin ahmar selepas terjatuh di bilik air di rumahnya pada Disember 2019.
Sejak terlantar sakit, Zaleha tidak mempunyai kudrat untuk bergerak dan hampir lumpuh seluruh tubuhnya.
Namun kini, keadaan Zaleha dikatakan menampakkan kemajuan dari segi kesihatan.
Beliau kini boleh berbicara secara perlahan-lahan, jelas suaminya.
Ungku Sulaiman, 59 tahun, memberitahu Berita Harian (BH), beliau terpaksa berhenti dari tugasnya sebagai penyelam dan pegawai keselamatan kerana perlu menjaga isteri tercinta setiap masa.
Zaleha pernah koma tetapi sekarang boleh mengisi perut dengan buah-buahan lembut dan makanan bersup yang tidak terlalu pedas.
Sebelum ini, hidangan kari ikan, asam pedas ayam, telur dan sayuran menjadi makanan kegemarannya.
“Keadaan Mama (panggilan beliau untuk isteri) sudah 40 hingga 50 peratus menunjukkan kemajuan berbanding sebelumnya.
“Walaupun tidak boleh bergerak banyak, namun Mama boleh makan dan minum seperti biasa.
“Pertuturannya juga bertambah baik dan boleh berkomunikasi secara perlahan-lahan, meskipun beliau masih lupa-lupa dan kurang fokus.
“Mama juga perlu menggunakan lampin orang dewasa pakai buang setiap masa dan saya sendiri yang menjaga dan membersihkan dirinya setiap hari,” jelas Ungku Sulaiman dengan lembut.
Bagai menatang minyak yang penuh, Ungku Sulaiman, tanpa mengeluh, menjaga Zaleha dengan penuh keprihatinan dan kasih sayang.
Ditanya bagaimana beliau menjalani kehidupan seharian serta menghadapi cabaran, beliau menambah perlu membuat bermacam penyesuaian di saat genting ini.
Beliau turut bersyukur dan berterima kasih di atas sumbangan dan bantuan yang diterimanya selama ini.
“Kerana perlu menggalas tanggungjawab sebagai suami, saya terpaksa berhenti kerja dan menguruskan segalanya dan menjaga Mama.
“Daripada ubatan, urusan memandikannya, pakaian, masakan semuanya terletak di bahu saya, dan saya reda dengan ketentuan ini.
“Saya cuba buat yang terbaik dan sesempurna yang saya mampu, demi kesejahteraan dan kesembuhan beliau.
“Alhamdulillah, demi menjalani kehidupan seharian, kami sekeluarga menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Baitul Mal Johor, badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa yayasan dan persatuan artis di Malaysia.
“Peminat dari Singapura juga ramai yang menziarahi sambil menghulurkan sumbangan ikhlas. Sahabat artis dari Singapura dan Malaysia juga turut sama menghulurkan sumbangan.
“Dari situ, saya dapat menyimpan dan gunakan (wang tersebut) untuk keperluan Mama dan kami sekeluarga,” kata Ungku Sulaiman dengan nada sebak.
Dengan tenang, Ungku Sulaiman juga berkata, dirinya hanya mengharapkan doa daripada orang ramai khususnya peminat Zaleha sendiri.
Zaleha yang mempunyai enam cucu juga perlu mengambil vitamin untuk kesihatan saraf dan menjalani urutan dari masa ke masa.
“Impian saya sebagai suami, tentunya ingin melihat isteri sembuh sepenuhnya.
“Namun begitu, saya tetap bersyukur kerana Zaleha sudah boleh bergerak sedikit dan boleh makan sendiri.
“Saya mengharapkan doa daripada semua pihak, untuk kesembuhan dan mudah-mudahan, doa kita semua dikabulkan Allah swt,” ujarnya lagi sambil menahan air mata yang bergenangan.
“
“Alhamdulillah, demi menjalani kehidupan seharian, kami sekeluarga menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Baitul Mal Johor, badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa yayasan dan persatuan artis di Malaysia. Peminat dari Singapura juga ramai yang menziarahi sambil menghulurkan sumbangan ikhlas. Sahabat artis dari Singapura dan Malaysia juga turut sama menghulurkan sumbangan.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg