PETALING JAYA: Penyanyi senior, Datuk Khadijah Ibrahim, 65 tahun, mengakui terkejut sebaik menerima perkhabaran mengenai pemergian rakan seperjuangan dalam industri muzik, Allahyarham Sheqal, 60 tahun.
Khadijah berkata Sheqal yang popular sekitar era 1990-an sudah dianggap seperti adik kerana memiliki keperibadian sangat baik dan sentiasa menghormati orang lain, lapor BH Online.
“Dari muda lagi, arwah sangat menghormati saya, malah saya juga sangat menyayanginya.
“Beliau adik, sahabat dan rakan seperjuangan dalam industri seni.
“Arwah memiliki bakat cukup besar dan nyanyian juga berbeza.
“Saya suka dengan persembahan dan nyanyian arwah kerana sangat unik,” katanya ditemui pada majlis pelancaran produk keluarannya, Sos Cili Pedas Ibu di kediamannya, di sini, pada 17 Jun.
Khadijah berkata kali terakhir berjumpa arwah kira-kira dua bulan lalu, namun tidak sempat menziarahinya ketika dimasukkan ke hospital kerana berada di Sabah atas urusan kerja.
“Sedih bila saya dapat tahu arwah tidak sihat. Saya sempat berjumpa arwah beberapa kali dan selalu nasihat supaya terus kuat dan selalu berfikiran positif.
“Kali terakhir (berjumpa), kira-kira dua bulan lalu. Namun, ketika arwah masuk wad, saya berada di Sabah.
“Jadi, bila dapat makluman mengenai pemergiannya sudah tentu sedih kerana tak sempat berjumpa arwah,” katanya.
Terdahulu, Allahyarham Sheqal atau nama sebenarnya, Shaharim Salehuddin menghembuskan nafas terakhir dalam tidur di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban pada 12.31 tengah, 17 Jun.
Berita pemergian penyanyi lagu Cinta Nusantara itu dimaklumkan isterinya, Normah Mohd Yusoff, 58 tahun, ketika dihubungi BH Online.
Menurut Normah, Allahyarham Sheqal akan dikebumikan di kampung halamannya di Raub, Pahang atas permintaan ibu kepada penyanyi yang popular menerusi lagu Cinta Nusantara itu.
Sheqal dimasukkan ke HTJ pada 4 Jun dan ditidurkan pada 6 Jun lalu kerana pernafasannya kurang stabil termasuk mengalami jangkitan kuman dalam paru-paru dan paru-paru berair.
Penyanyi berusia 60 tahun itu sebelum ini dilaporkan berkongsi beliau perlu menggunakan kerusi roda akibat diserang angin ahmar sebanyak empat kali, sejak 2020 dan terakhir pada 2022.
Sheqal turut menghidap sakit buah pinggang tahap empat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg