KUALA LUMPUR: Artis popular era 1980-an, Raja Ema Raja Ibrahim, 56 tahun, memaafkan bekas suaminya, Allahyarham Sheqal yang menghembuskan nafas terakhirnya pada 12.31 tengah hari, 17 Jun.
Beliau memuat naik satu hantaran di Facebook, dipercayai ditujukan kepada Sheqal dan turut reda dengan apa yang berlaku serta mendoakan kesejahteraan arwah, lapor Harian Metro.
“Saya dan anak-anak dengan seikhlas hati menghalalkan dan memaafkan semuanya.
“Moga arwah ditempatkan bersama orang beriman dan para solihin. Amin Ya Rabb,” tulisnya.
Sebelum itu, Raja Ema turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham di atas pemergiannya itu.
Harian Metro sebelum ini melaporkan isteri Allahyarham, Normah Mohd Yusoff, 58 tahun, mengharapkan dua anak Sheqal bersama Raja Ema iaitu Putera Ammar dan Putera Al-Kasyah menziarahi bapa mereka ketika hayatnya masih ada.
Normah berkata sejak berkahwin dengan penyanyi itu 25 tahun lalu, beliau tidak pernah melihat mereka bertemu antara satu sama lain di mana-mana lokasi.
Bagaimanapun, Raja Ema memaklumkan beliau tidak pernah menghalang dua anaknya itu bertemu bekas suaminya.
Malah, Raja Ema juga tidak menghalang mereka menziarahi Sheqal yang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan.
Bagaimana pun, tiada seorang daripada ahli keluarga penyanyi balada nusantara itu menghubunginya.
Katanya, beliau sudah meminta adiknya, Raja Izat supaya bersedia untuk membawa Putera Ammar dan Putera Al-Kasyah menziarahi Allahyarham sekiranya sudah dihubungi pihak sebelah sana, namun tiada sebarang berita daripada keluarga bekas suaminya.
Sheqal atau nama sebenarnya, Shaharim Salehuddin, 60 tahun, meninggal dunia di HTJ.
Sheqal dimasukkan ke HTJ pada 4 Jun dan ditidurkan pada 6 Jun lalu.
Raja Ema dan Sheqal berkahwin pada 1993, namun mereka bercerai pada 1999.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg