Enggan memanjang isu ke peringkat undang-undang, penyanyi Malaysia, Khai Bahar, 31 tahun, memutuskan untuk memaafkan seorang pengguna aplikasi media sosial, X yang pernah memuat naik hantaran berunsur fitnah terhadap dirinya.
Pada Mei 2025, Khai meluahkan rasa bengang dengan tindakan pengguna akaun di aplikasi X yang memuat naik semula video beliau bersama adik iparnya di dalam kereta.
Hantaran tersebut mengundang pelbagai komen negatif susulan tulisan pengguna akaun tersebut.
Disebabkan itu, Khai turut memaklumkan ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan.
Bagaimanapun, Khai atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Baharuddin, berkata beliau kini ikhlas untuk tidak meneruskan tindakan saman ke atas individu berkenaan.
“Ia sudah selesai, saya tak jumpa pun dia. Saya pilih untuk ikhlaskan dan lepaskan supaya tak kacau emosi saya.
“Saya tak jadi saman sebab dia pun tak terus melakukan perkara tidak sepatutnya, malah, memadamkan hantaran.
“Lagipun, dia tiada bukti, kalau ada bukti saya mungkin boleh terima apa yang dikatakan.
“Apa yang diperkatakan adalah fitnah dan tak betul. Saya pun tak kenal individu ini, dia pun sudah padam hantaran, jadi tak perlulah panjangkan cerita.
“Jadi, pengajarannya janganlah tuduh orang tanpa bukti,” katanya yang ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) pada majlis tayangan muzik video lagu terbarunya berjudul, Beri Sedikit Waktu, di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 21 Jun.
Berkongsi lanjut, Khai memaklumkan fitnah tersebut dipercayai dibuat oleh kenalan terdekat, namun tidak tahu apakah niat di sebalik perbuatan yang boleh merosakkan imejnya itu.
“Dia guna akaun palsu semata-mata nak muat naik hantaran ini. Tapi, saya rasa macam orang terdekat sebab dia ada ‘screenshot’ (tangkap layar) hantaran yang hanya dikongsi kepada rakan baik di Instagram.
“Tak tahulah apa sebabnya. Tapi, pelik sebab dia tahu hantaran ‘close friend’ (teman rapat) saya. Saya rasa orang terdekat, tapi saya tak tahu siapa,” ujarnya.
Berulang kali berdepan fitnah di media sosial, Khai berkata bukan mudah mengendalikan emosi dan ujian, tapi kini belajar untuk mengambil langkah baik agar tidak merosakkan diri dan kerjaya.
“Kalau benda ada bukti saya terima, tapi main cakap sahaja. Jika ada salah silap, saya perbaiki dan minta maaf. Saya rasa ada sahaja tidak betul dan tak kena sejak akhir-akhir ini.
“Memang saya kena kental, kalau tidak, saya sudah saman. Tapi tak mengapalah, saya ikhlaskan.
“Saya ini kalau nak kongsi, saya muat naik sahaja. Saya cuma mahu lebih menggembirakan diri.
“Apabila dapat teguran, saya akan turunkan semula hantaran. Saya juga bukan sempurna, hanya manusia biasa,” ujar Khai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg