Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Konsert Legasi P. Ramlee ketengah mahakarya seniman agung

Acara di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, sebahagian Projek Perdana P. Ramlee, wujudkan komuniti pencinta kreativiti ikon filem Melayu
Jul 12, 2025 | 5:30 AM
Konsert Legasi P. Ramlee, Kuala Lumpur
Konsert Legasi P. Ramlee dijayakan (dari kiri) Datuk Ramli MS, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Zainal Abidin, sebagai usaha mengenang jasa dan mengangkat mahakarya Tan Sri P. Ramlee. - Foto TANAHAIR SDN BHD

Sanjungan yang diberi kepada seniman agung, Tan Sri P. Ramlee, terus bertali arus, dengan jasanya tidak terkubur begitu sahaja meskipun Allahyarham telah 52 tahun meninggalkan persada seni.

Ikon sepertinya dengan mahakarya dalam bentuk filem dan lagu wajar disanjung sebagai cetusan inspirasi, khususnya buat generasi muda yang hanya mengenalinya menerusi filem terkenal seperti Bujang Lapok, Madu Tiga, Nujum Pak Belalang, Ibu Mertuaku dan Do Re Mi.

Di atas ingatan itulah, syarikat penerbitan Tanahair Sdn Bhd, yang diasaskan peneraju industri dan tokoh media dan dunia seni, Datuk Khairul Anwar Salleh, serta penggiat seni, Adlin Aman Ramlie, mengusahakan pelbagai projek untuk membangun komuniti pencinta seni P. Ramlee.

Baru-baru ini, Konsert Legasi P. Ramlee telah diumumkan bakal berlangsung pada 20 September di Mega Star Arena Kuala Lumpur, Sungei Wang Plaza.

Ia menampilkan barisan artis, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Zainal Abidin, Ella, MimiFly, Nadeera dan Liza Hanim.

Empat maestro muzik terkemuka di Malaysia, Datuk Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap dan Michael Veerapen, pula diberi ruang mencorak dan mengubah semula susunan lagu lebih 30 karya P. Ramlee, berdasarkan kreativiti mereka.

Penyanyi akan diiringi 60 pemuzik orkestra.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH) menerusi Zoom, Khairul Anwar berkata konsert ini merupakan medan pengenalan kepada visi kreatif dan penerbitan berskala besar yang diilhamkan oleh Tanahair Films di bawah tajuk Projek Perdana P. Ramlee.

Ini meliputi penghasilan filem biopik, P. Ramlee Jeritan Batinku, dan podcast Legasi: Sembang, Sambung, yang mewawancara mereka yang terlibat dalam penerbitan filem klasik P. Ramlee mahupun mereka yang mengenali Allahyarham.

Ia sebagai penghormatan kepada seniman agung P. Ramlee, selain kecemerlangan legasi seni dan budaya yang pernah dicapai oleh Allahyarham dan angkatan sezamannya.

“Perancangannya ialah bukan dengan mengadakan satu program sahaja tetapi siri program untuk membangun minat ramai terhadap sumbangan dan pengaruh filem dan lagu P. Ramlee.

“Dalam konsert pula, kami melibatkan artis-artis mapan mahupun mereka yang namanya begitu tular sejak akhir-akhir ini seperti MimiFly dan Nadeera,” katanya.

Adlin pula menambah: “Konsert ini menjanjikan pengalaman persembahan yang unik dan luar biasa dengan menggabungkan konsep klasik, kontemporari dan popular dalam gaya persembahan yang teatrikal, dramatik dan sinematik.

“Ia bukan sekadar penghormatan kepada Seniman Agung negara, malah satu usaha menyemarakkan semula semangat dan keindahan era kegemilangan seni Melayu yang menjadi khazanah dan legasi kepada generasi masa kini dan akan datang.

“Kerana sebahagian besar daripada kerjaya filem dan muzik P. Ramlee terbina dan membangun di Singapura, maka kita wajar raikan bersama dengan kami berharap benar konsert ini dapat dibawa ke Singapura kelak.

“Sebelum itu, orang Singapura dipelawa menyaksikan konsert di Malaysia dahulu. Secara kebetulan, saya anak Malaysia dan Datuk Khairul Anwar pula asalnya dari Singapura.”

Sebagai penghargaan kepada warisan seni P. Ramlee yang tidak pernah luput, konsert itu juga mengetengahkan tiga penghibur ‘tiru gaya P. Ramlee’, P. Radhi, Danie Hasbullah dan Musly Ramlee.

Menurut Khairul lagi, Projek Perdana P. Ramlee dalam bentuk konsert ini adalah langkah dalam mengangkat martabat seni tanah air ke aras yang lebih tinggi.

“Konsert ini lebih daripada sekadar persembahan hiburan. Ia adalah jambatan yang menghubungkan generasi, menyatukan nilai seni yang tidak lapuk dek zaman, serta melakar penghormatan yang tulus kepada legasi seorang tokoh agung dalam sejarah seni kita,” ujarnya.

Adlin, sebagai pengarah kreatif konsert pula menambah penonton akan dihidangkan dengan malam nostalgia dan era keemasan muzik Melayu, namun dengan interpretasi baru yang diperkaya sentuhan empat maestro muzik tersohor.

“Konsert ini akan membangkitkan semula semula roh seni Tan Sri P. Ramlee yang akan meresap bukan hanya dalam melodi, tetapi juga dalam setiap babak yang menyentuh emosi, kekaguman selain mengimbau kenangan.

“Kami mahukan yang terbaik. Kalau sebut tentang penyanyi lelaki, kami ada Datuk Jamal Abdillah. Kami nakkan Datuk Seri Siti Nurhaliza hadir sama.

“Sayangnya, beliau tiada kelapangan pada tarikh yang dipilih,” jelasnya.

Tiket-tiket bagi konsert ini boleh diperolehi menerusi laman www.ticket2u.com.my

“Konsert ini lebih daripada sekadar persembahan hiburan. Ia adalah jambatan yang menghubungkan generasi, menyatukan nilai seni yang tidak lapuk dek zaman, serta melakar penghormatan yang tulus kepada legasi seorang tokoh agung dalam sejarah seni kita.”
Datuk Khairul Anwar Salleh.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg