Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rindu pada lakonan TV datang bertamu

Demi telefilem ‘Belaian Terakhir’, Khairul Anwar Salleh kikis aura CEO, Nadiputra selongkar erti kesepian
Jun 15, 2025 | 5:30 AM
Datuk Khairul Anwar Salleh perlu kikis imej dan aura CEO yang kelihatan ketara padanya sejak meniti tangga korporat dalam dunia media Malaysia, bagi membawa watak tukang rumah yang dihimpit masalah hak kebapaan dalam telefilem ‘Belaian Terakhir’.
Datuk Khairul Anwar Salleh perlu kikis imej dan aura CEO yang kelihatan ketara padanya sejak meniti tangga korporat dalam dunia media Malaysia, bagi membawa watak tukang rumah yang dihimpit masalah hak kebapaan dalam telefilem ‘Belaian Terakhir’. - Foto-foto ELEMENTS PICTURES

Kerinduan pada dunia lakonan televisyen walaupun tidak banyak drama yang sempat dijayakan di Singapura singgah di hati tokoh media asal Singapura, Datuk Khairul Anwar Salleh.

Walaupun selepas 30 tahun berehat daripada dunia lakonan dan menyangka dirinya tidak akan jejakkan kaki lagi di set penggambaran sebagai pelakon, Khairul, 59 tahun, tidak mampu menolak ‘lamaran’ sahabat baiknya, pengarah dan penulis naskhah, Adi Yadoni, untuk berlakon dalam telefilem Hari Bapa, Belaian Terakhir.

Telefilem yang kini boleh ditonton di aplikasi mewatch menjejak emosi tiga bapa dari generasi berbeza, yang sama ada sudah melalui proses perceraian, sedang dibelenggu masalah perceraian atau bakal mengharunginya.

Khairul, yang kini pengasas dan Pengarah Eksekutif Tanahair Films dan Inkhouse Media, pernah menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Prima dan Primeworks Studio, dan juga Naib Presiden Perniagaan Kandungan Melayu dan Nusantara di Astro Malaysia.

Dalam telefilem ini, beliau adalah Danial, tukang rumah yang positif tetapi terjejas dengan satu keputusan yang mendedahkan bahawa dirinya bukan bapa kandung anak remajanya, bahkan tidak mempunyai hak rasmi sebagai penjaga anak berkenaan.

Telefilem ini turut dijayakan Salif Hardie, 32 tahun, yang membawa watak peguam bernama Johan, yang enggan perceraian menjejas hubungannya sebagai ayah yang sentiasa ada untuk anaknya, Jona.

Nadiputra, 79 tahun, atau nama sebenarnya, Almahdi Al-Haj Ibrahim pula adalah Aziz, bapa yang kesunyian dan menjadikan burung peliharaannya sebagai teman ketika anak tiri yang dianggap sebagai anak sendiri menyisihkannya sesudah pemergian ibu mereka (isteri Aziz).

Ikuti wawancara Berita Minggu (BM) bersama Khairul dan Nadiputra.

Soalan (S): Apakah perasaan anda apabila Elements Pictures ‘melamar’ anda bagi telefilem ini?

Khairul: Secara peribadi, saya gementar sebab sudah 30 tahun tidak berlakon di kaca televisyen. Drama terakhir saya ialah Sempadan Kasih, arahan Jamal Ismail. Walau macam mana bimbang pun untuk masuk set semula, saya tak mampu tolak tawaran yang datang daripada kawan baik saya, Adi Yadoni.

Saya juga enggan mengecewakannya, apa lagi setelah membaca skripnya yang menarik tentang tiga lelaki dan perceraian. Sebagai telefilem Hari Bapa, peristiwa yang dihadapi tiga lelaki ini agak tragik, di mana kita selongkar bagaimana mereka kendalikan hidup mereka.

Nadiputra: Penerbit telefilem, Wahyu Rahman dan pengarah, Adi, ajak saya makan. Kemudian, mereka kata nak ‘lamar’ saya untuk telefilem. Saya dah lebih 20 tahun tak bawa watak utama di televisyen. Saya lebih pandai mengarah orang di pentas teater, tapi dah lama tak rasa perasaan diarah orang. Sebenarnya, saya beritahu mereka, mengapa tak ajak Datuk Khairul berlakon? Kebetulan nampak beliau datang ke Singapura.

Wahyu agak perahsia tetapi memandangkan ketika itu bulan puasa, dah tak dapat lagi berselindung, dan menyatakan memang Datuk Khairul ada dalam projek ini. Saya pun sudah lama tidak menemuinya dan berbesar hati kalau dapat bekerjasama dengannya.

Kali terakhir kita bekerjasama ialah dalam satu drama terbitan saya dan arahan Lut Ali. Sayangnya, dalam telefilem Belaian Terakhir, kami tiada babak bersama! Mungkin lain kali dalam satu pementasan teater sebab saya lebih suka teater.

S: Bagaimana hidupkan watak dalam telefilem ‘Belaian Terakhir’?

Khairul: Perkara pertama yang Adi beritahu saya ialah “Kikis aura CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) kau...” untuk bawa watak Danial, si tukang rumah. Saya rasa tiada masalah sebab saya masih ingat tugasan bapa saya sebagai juruelektrik dan beberapa adik-beradik saya yang melakukan tugas-tugas sebagai tukang rumah. Bagi saya, nak hayati peranan ini, saya naik sahaja bas dan MRT serta berbasikal apabila saya datang ke Singapura. Saya nak perlahankan gerak langkah kehidupan saya.

Maklum dalam dunia korporat, semuanya nak cepat. Diharapkan lakonan saya berkesan dan menyentuh jiwa penonton serta meninggalkan mereka pengalaman, kenangan dan perasaan. Apa yang saya ingin tekankan dalam telefilem ini ialah lelaki tidak sekuat yang mereka sangka. Hati mereka juga mudah rapuh walau banyak yang disembunyikan dan disorok. Tapi saya suka cara Adi mengarah...dia tidak mengajar penonton tetapi ada sisipan pesanan tersirat dalam telefilem ini.

Nadiputra: Walaupun watak Aziz tidak banyak bercakap dan lebih banyak berbual dengan burung peliharaannya yang juga tiada respons, intipati telefilem ini ialah kicauan burung ini sama seperti kesepian. Ada pengajaran tersembunyi. Ceritanya menarik. Aziz tak sama seperti datuk-datuk lain. Kita pun tak nak tonjolkan wataknya yang terjejas oleh kesepian.

Orang bingit kalau asyik nak bercerita tentang beban emosi dek perceraian serta hidup tersisih daripada anak-anak yang pernah dianggap seperti cahaya mata sendiri.

S: Bagaimana anda sebagai ayah?

Khairul: Saya lebih suka jadi kawan mereka dan mengenali perkara yang mereka suka. Setiap anak tidak semestinya memiliki tempoh masa yang sama bersama saya. Kalau saya di Singapura, saya akan luangkan masa bersama anak perempuan sulung saya yang berusia 31 tahun, bekerja dalam bidang hiburan penerbangan. Beliau memang ‘hantu filem’. Semua perkara termasuk gosip filem diketahuinya.

Anak lelaki saya pula penulis naskhah di Astro. Beliau memang ‘kemaruk’ membina kerjayanya. Ada ketikanya, beliau bercerita tentang gosip industri hiburan di Malaysia. Saya nak dengar juga walau adakalanya mood saya terganggu dengan apa yang dikongsi. Yang bongsu berusia 21 tahun dan teruja nak berlakon teater pertamanya. Bagi menyatukan anak-anak, saya suka memasak untuk mereka yang sukakan hidangan daging seperti stik dan ‘Tomahawk’.

Saya ikut contoh ibu saya yang akan masak hidangan kegemaran saya setiap kali saya ke Singapura.

Nadiputra: Orang tengok muka saya garang dan sangka anak-anak yang berusia 30-an dan 40-an tahun kini takut dengan saya. Tapi hakikatnya, saya layan mereka macam kawan dan suka bergurau. Saya tak letakkan sempadan atau sekatan antara kami, asal sahaja mereka tahu menghormati dan kami saling menghormati.

Saya beri mereka kebebasan menentukan kerjaya pilihan. Alhamdulillah, tak perlu letak sebarang peraturan, semuanya berjalan lancar. Ini amat bermakna buat saya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg