Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Konsert percuma Lady Gaga di Brazil diancam serangan bom

May 5, 2025 | 10:48 AM
lady gaga, concert, brazil, bomb
Lady Gaga tampil dengan kostum bertemakan Brazil, termasuk rekaan yang diinspirasikan daripada pasukan bola sepak kebangsaan. - Foto INSTAGRAM LADYGAGA

RIO DE JANEIRO: Polis Brazil berjaya menggagalkan satu rancangan serangan bom yang disasarkan pada konsert Lady Gaga di Pantai Copacabana, Rio de Janeiro, Sabtu lalu.

Konsert dihadiri lebih dua juta peminat itu diadakan secara percuma sebagai sebahagian daripada usaha merancakkan semula ekonomi bandar itu.

Menurut Polis Sivil Rio de Janeiro dengan kerjasama Kementerian Kehakiman, beberapa suspek dikenal pasti cuba merekrut individu untuk melaksanakan serangan menggunakan bahan letupan buatan sendiri.

Motif utama serangan adalah untuk meraih perhatian dalam media sosial.

Dalam operasi keselamatan berskala besar, polis menahan seorang dalang utama dan remaja yang terbabit dalam perancangan serangan tersebut.

Suspek utama ditahan di selatan Rio Grande do Sul atas kesalahan memiliki senjata api secara haram, manakala remaja itu pula ditahan di Rio kerana menyimpan bahan pornografi kanak-kanak.

Siasatan lanjut mendapati kumpulan itu turut menyebarkan ucapan kebencian terhadap kanak-kanak, remaja dan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Mereka juga didapati mempengaruhi remaja dengan kandungan ekstrem, termasuk galakan mencederakan diri sendiri dan keganasan sebagai simbol penerimaan dan cabaran.

Watch on YouTube

Jurucakap Lady Gaga kepada The Hollywood Reporter, pihak mereka hanya mengetahui mengenai ancaman tersebut melalui laporan media pada pagi selepas persembahan.

“Sepanjang acara berlangsung, tiada sebarang maklumat atau amaran keselamatan diterima daripada pihak berkuasa,” katanya.

Kementerian Kehakiman turut memaklumkan bahawa suspek mengaku sebagai peminat Lady Gaga dikenali sebagai ‘Little Monsters’.

Ekoran maklumat risikan diterima, pihak berkuasa melancarkan ‘Operasi Fake Monster’, menyasarkan kumpulan dalam talian yang mempromosi keganasan dalam kalangan remaja dengan menggunakan bahasa berkod dan simbol ekstremis.

Waran geledah sudah dikeluarkan di beberapa negeri termasuk Rio de Janeiro, Mato Grosso, Rio Grande do Sul dan Sao Paulo dan pelbagai peranti elektronik serta bahan lain turut dirampas.

Konsert berkenaan yang dibiayai oleh kerajaan dijangka mampu menjana pendapatan sehingga $100 juta ($129 juta).

Lebih 5,000 anggota keselamatan dikerahkan untuk mengawal acara itu, termasuk penggunaan dron, kamera pengecaman wajah dan pengesan logam.

Lady Gaga yang kali terakhir membuat persembahan di Brazil pada 2012 kembali ke pentas sempena jelajah mempromosi album kelapannya, Mayhem.

Penyanyi itu tampil dengan kostum bertemakan Brazil, termasuk rekaan yang diinspirasikan daripada pasukan bola sepak kebangsaan.

“Anda menunggu lebih 10 tahun untuk saya,” kata Lady Gaga dengan penuh emosi sambil mengibarkan bendera Brazil di hadapan jutaan peminatnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg