Setiap kali syarikat rakaman bertemu dengannya untuk mendapatkan lagu baru bagi penyanyi mereka, komposer yang sering diundang bagi mengadili peraduan realiti, Ajai, tidak akan langsung memberi mereka lagu di dalam arkib atau pustaka muziknya yang sedia ada.
Sebaliknya, Ajai, 50 tahun, atau nama sebenarnya, Mohamad Faizal Maas, berusaha mengenali nada suara artis berkenaan bagi memastikan lagu baru yang akan dicipta itu sesuai dan berpotensi menambat hati ramai pendengar sekali gus ‘meletup’ di carta muzik.
“Saya tak akan terus beri lagu yang sudah lama ada dalam pustaka lagu saya. Sebaliknya, saya akan kaji siapa artis ini.
“Kalau syarikat rakaman tersebut bersetuju dengan ketetapan saya, maka barulah saya mencipta lagu berkenaan.
“Saya pun tak akan beri mereka dua atau tiga lagu untuk dipilih. Kalau mereka nak satu lagu, maka satu lagu khususlah saya serahkan kepada mereka.
“Bagi saya, saya harus benar-benar mengenali lagu saya, ciri-ciri khasnya dan siapa artis yang akan mendendangkan lagu ini. Tak perlulah nak beri dua tiga lagu.
“Dari awal saya mencipta lagu pada 1989 sampailah sekarang, saya beri tumpuan penuh pada satu karya yang saya yakini boleh saya pasarkan pada orang ramai untuk setiap artis yang bekerjasama dengan saya,” cerita Ajai di ambang Konsert By Ajai & Mega Friends, yang akan berlangsung di The Star Theatre, pada 10 Mei, mulai 8 malam.
Konsert itu akan dijayakan Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip, Aina Abdul, Asmidar, Hazama, dan penyanyi undangan, Thalita, yang merupakan anak pelawak, Shuib, dan Allahyarhamha Siti Sarah Raisuddin.
Barisan artis itu akan mendendangkan lagu hit mereka ciptaan Ajai, serta beberapa lagu terkenal Ajai, yang pernah dipopularkan artis lain.
“Saya sebenarnya terfikir untuk adakan Konsert By Ajai & Mega Friends, yang saya anggap berada di fasa 1.0 (peringkat pertama) bagi saya menceritakan perjalanan saya sebagai penerbit dan penggubah lagu.
“Ada cerita bagaimana saya bekerjasama dengan artis, buat lagu untuk artis, kisah di sebalik ciptaan sesebuah lagu, apa cerita di dalam lagu itu, dan mengapa atau bagaimana seseorang artis dipilih untuk mendendangkan lagu tersebut.
“Ini penceritaan kisah perjalanan saya dalam muzik dan kerjaya saya membangun artis dalam industri muzik Melayu kita ini,” jelasnya kepada Berita Harian (BH) dalam satu wawancara Zoom.
Menurutnya, tidak mudah merancang konsert itu kerana artis yang bekerjasama dengannya mempunyai jadual yang padat kerana mereka masih lagi aktif dalam dunia seni.
“Sesiapa yang saya tampilkan dalam konsert versi 1.0 ini adalah yang mempunyai jadual lapang pada tarikh yang saya tetapkan.
“Kerana mereka sibuk dan saya pun begitu juga, susah nak dapat tarikh yang betul-betul ‘ngam’ (sesuai). Perancangan dibuat jauh lebih awal,” katanya.
Ajai yang terkenal dengan ciptaan lagu ‘keramat’ seperti Kau Kekasihku (Datuk Seri Siti Nurhaliza); Hati Ini Telah Dilukai (Ajai dan Kris Dayanti); Selagi Ada Cinta (Ning Baizura); Ku Akui (Hafiz Suip); dan Biar Sampai Ke Bintang (Asmidar); juga memilih The Star Theatre kerana cerewet tentang kepuasan bunyian akustik sesebuah ruang konsert.
“Saya ingin penonton dan peminat pulang dengan senyuman apabila mereka dapat menikmati mutu bunyian yang baik lagi menenangkan,” jelasnya.
Perjalanan Ajai dalam bidang ciptaan lagu bermula sejak beliau berusia lima tahun.
Ketika itu, Ajai menyertai kelas muzik bermain alat muzik organ di Sekolah Muzik Yamaha, sehingga beliau lulus dengan pensijilan muzik Gred 6.
“Ada komponen mencipta lagu dalam kursus muzik ini. Kami dibimbing mencipta lagu. Sejak 1988, saya dah mula mencipta lagu secara profesional.
“Selain lagu-lagu (kumpulan) Exists, saya bermula mencipta lagu untuk ‘boyband’ seperti Nico dan A to Z.
“Lagu pertama hasil ciptaan saya adalah, Kaulah Gadisku, yang dinyanyikan kumpulan hip-hop, Nico.
“Boyband merupakan satu fenomena ketika itu. Kemudian, barulah saya beralih mencipta lagu untuk artis solo lelaki dan wanita,” kongsinya.
Bagi Ajai, antara kepuasan yang dirasakan sebagai pencipta lagu adalah apabila karyanya itu mampu menaikkan nama artis yang sama ada mula bertapak dalam industri seni atau berusaha menempa nama dalam industri setelah sekian lama mencuba.
“Apabila saya melamar anak arwah Siti Sarah Raisuddin, Thalita, untuk konsert saya ini, saya ingin dia yakinkan diri dia lagi bahawa dia boleh menyanyi dan berjaya.
“Saya tak mengharapkan dia jadi seperti arwah ibunya atau nyanyi seperti Siti Sarah. Antara mereka berdua walaupun anak dan ibu, ada kelainan gaya dan cara tersendiri.
“Kali pertama, bapanya, Shuib, bawa Thalita jumpa saya, saya lihat kesungguhan anak ini untuk mengenali seni. Lebih penting, dia punyai daya pendengaran yang baik dan suaranya tak sumbang.
“Thalita kenal bunyian dan tahu tentang cita rasa seni dan muzik. Saya terfikir alangkah baiknya kalau saya dapat asuh dia, bawa dia ke lorong yang betul sebab dia memang penyanyi amatur, yang boleh kita asah bakatnya lagi.
“Saya tak minta dia nyanyi ‘dahsyat’ sebab dia perlukan masa dan pengalaman serta pendedahan yang sewajarnya. Konsert di Singapura adalah langkah pertama,” kata Ajai.
Menyingkap tentang pertemuan dengan Allahyarhamha Siti Sarah pula, Ajai berkata:
“Saya ingat peringkat akhir peraduan nyanyian anjuran majalah URTV. Saya lihat keberanian Siti Sarah. Cara dia menyanyi macam seorang profesional, berbanding peserta lain.
“Beliau memiliki nilai komersial yang kuat dan tinggi tanpa menyedari suatu ketika nanti beliau mampu mempersembahkan kesenian yang besar itu. Siti Sarah memiliki keyakinan diri yang tinggi.
“Begitu juga Thalita, anaknya. Berani dan yakin diri. Ada bakat dan daya tarikan.”
Tiket bagi ‘Konsert By Ajai & Mega Friends’, pada 10 Mei di The Star Theatre, yang berharga antara $98 dengan $699 boleh ditempah menerusi laman web Sistic (www.sistic.com.sg).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg