Tersentuh hati penyanyi, pengarah dan pelakon, Datuk Yusry Abdul Halim, apabila bertemu dengan warga Singapura yang sanggup merentas ke seberang Tambak bagi menghadiri Konsert GenKru yang diadakan selama empat hari di Axiata Arena, Kuala Lumpur, pada 3, 4, 10 dan 11 Mei lalu.
Lebih membuatkannya terharu adalah apabila bertemu dengan sebuah keluarga Kota Singa yang puas hati dapat hadir bagi konsert hari ketiga, tetapi sanggup kembali bagi menonton konsert hari keempat, meskipun sudah daftar keluar dari hotel dan dalam perjalanan kembali ke Singapura.
Sebagaimana kongsi anggota ‘boyband’ terkenal Malaysia, KRU itu, kepada Berita Harian (BH):
“Saya dah nak pergi berlatih pada masa itu dan terserempak dengan keluarga dari Singapura.
“Mereka kata, mereka dah nak balik selepas menonton konsert pada 10 Mei. Dah ‘check-out’ dari hotel pun dan memandu di lebuh raya.
“Tapi entah macam mana, boleh buat pusingan ‘U’ dan langsung beli tiket hari keempat. Mereka patah balik demi nak tonton KRU untuk konsert 11 Mei pula.
“Nak katakan, memang antara Singapura dan Malaysia ni, setakat seberang Tambak. Tak terasa macam Singapura negara berasingan atau jauh. Kita bertemu dengan masyarakat pencinta muzik yang sama, yang sokong KRU.”
Yusry, 52 tahun, yang dihubungi di ambang Konsert GenKru Live In Singapore di The Star Theatre, pada 28 Jun ini, yakin sebilangan peminat setia KRU dari Singapura yang telah menonton konsert di Axiata Arena, akan tetap datang lagi demi nostalgia zaman persekolahan ataupun remaja mereka.
Konsert akan datang ini dibawakan Icon Entertainment dari Malaysia, dengan kerjasama rakan promosi, Sah Entertainment, yang digerakkan anak Singapura, Sufi Rashid.
“Sebenarnya, nak bikin konsert ini bukan sesuatu yang kami rancang. Edry kebetulan berada di Malaysia atas komitmen rancangan realiti di Malaysia dan Singapura.
“Jadi, kami ambil kesempatan rakam lagu baru. Dari satu lagu, jadi dua, tiga dan banyak lagi. Maka, kami pun kata, mengapa tidak buat album? Terbitlah album Kaset.
“Iman Tang dari Icon Entertainment, pun hubungi kami dan berminat nak buat konsert. Jadi, kami terfikir, dah ada album baru... buatlah konsert sekali.
“Tapi terus terang, ini bukan konsert ‘reunion’. Kami tiada niat nak bergabung semula. Dah bersara pun! Konsert terakhir di Istana Budaya pada Mei 2018 memang yang terakhir. Ia bukan gimik.
“Konsert GenKru ini pula hanya projek. Tapi bayangkan, betapa risaunya saya sebab Axiata Arena tu besar. Boleh ke terisi? Ingat nak buat satu konsert di Kuala Lumpur, satu lagi di Singapura. Cukup.
“Tapi entah bagaimana tiket habis cepat bagi konsert pada 3 Mei. Norman kata, boleh bikin sampai dua malam. Saya tak pasti.
“Kemudian konsert pada hari kedua pun laris. Apabila ada usulan nak bikin konsert bagi hari ketiga, saya dah takut tak larat.
“Dah tu, kasihan pula peminat yang beratur nak beli tiket konsert hari ketiga tetapi kecewa. Maka, muncullah pula perancangan bagi konsert hari keempat.
“Sebenarnya, lebih untuk peminat bernostalgia, bukan untuk kami buktikan bahawa kami hebat atau memiliki penangan tertentu,” jelas Yusry.
Menurutnya, kerana itu akan ada perubahan pada susunan lagu konsert di Singapura kelak, memandangkan banyak video konsert Malaysia sudah tular di media sosial.
“Persembahan Elite memang kami rancang. Begitu juga dengan Adam AF (Akademi Fantasia).
“Sebab kami pernah hasilkan lagu buat mereka, tak ‘best’ kalau lagu mereka dibawa penyanyi lain.
“Di Pintu Syurga wajar dinyanyikan KRU bersama Elite, manakala Terhangat Di Pasaran adalah lagu bersama Adam yang awal-awal lagi dalam pertandingan Akademi Fantasia (AF), mengaku dirinya peminat besar KRU.
“Dulu, mana ada lelaki berani mengaku mereka peminat KRU? Kalau perempuan memang ramai. Tapi Adam berani. Selepas keluar dari AF, maka kami dapat bekerjasama,” tambah Yusry.
Baginya, penyertaan Feminin adalah satu kejutan dan dirancang pada saat-saat akhir.
“Berbeza dengan Elite yang masih aktif di depan kamera kerana sebahagiannya berlakon dan masih buat persembahan pentas, Feminin dah lama tak menyanyi dan naik pentas.
“Mereka malu, bimbang dan takut. Tapi, Alhamdulillah, anggota Elite dan isteri saya (Datin Lisa Surihani) memberikan kata-kata galakan untuk mereka hilangkan gementar dan tenangkan diri dan bawa lagu Untukmu untuk peminat yang rindui mereka,” ujar Yusry.
Bagi Yusry, kehadiran semua artis pada Konsert GenKru itu dikenang kerana mereka hadir tepat pada masanya untuk membawa mahakarya yang dicipta dan menjadi hit pada masa itu.
“Di Singapura nanti, kami akan bawa artis yang relevan juga dan ada hubung kait dengan kami. Tapi Feminin tak adalah ya?” jelasnya, tanpa memberitahu siapa yang akan tampil di pentas bersama mereka.
Bagi Yusry, kejayaan sesebuah konsert itu bukan terletak pada bahu beliau serta abangnya, Norman, 53 tahun, dan adiknya, Edry, 49 tahun.
“Konsert itu dianggap berjaya kerana penonton yang dapat mengimbau kenangan zaman remaja mereka.
“Mereka pun dengan serta-merta boleh menyanyi lagu kami, tanpa menatap lirik. Teringat zaman muda-muda, zaman budak remaja atau semasa kecil... seronok. Muzik secara umum bawa banyak harapan dan kenangan,” katanya, yang sejak Januari, rajin ke gimnasium untuk bersenam bagi membina stamina.
Apa yang akan dikenang dalam persiapan bagi Konsert GenKru?
Katanya: “Selain daripada melihat wajah gembira peminat, dah mulalah kami bertiga ‘gaduh’ lagi. Itu perkara biasa bila nak buat lagu atau album baru dan bikin konsert. Gaduh-gaduh sayang! Semua ada pendapat masing-masing.”
Tiket Konsert GenKru berharga antara $128 dengan $328 boleh ditempah di laman web, Sistic.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg