Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kuasa tular TikTok buka pintu artis dekati peminat berkat karya memikat

Oct 3, 2025 | 5:30 AM
Regina Song, Fahimi Rahmat, Nadhif Basalamah,tular di  tiktok
Wartawan Berita Harian menyenaraikan tiga artis di rantau ini (dari kiri) Regina Song, Fahimi Rahmat dan Nadhif Basalamah, yang masing-masing meniti tangga populariti menerusi karya tular di wadah TikTok. - Foto INSTAGRAM ARTIS

TikTok, platform video pendek yang sarat hiburan, kini menjadi medan penting bagi artis untuk memperkenalkan muzik mereka kepada penonton lebih luas.

Melalui potongan video kreatif yang ringkas dan mudah dikongsi, lagu-lagu baru berpeluang menjadi tular dalam sekelip mata, menarik perhatian pengguna merentasi generasi.

Penulis menampilkan beberapa artis di rantau ini yang berjaya mengukir nama dalam industri hiburan melalui perkongsian karya mereka di TikTok:

Regina Song

Lagu ciptaan penyanyi sekali gus penulis lagu, Regina Song, berjudul, ‘the cutest pair’, berhasil mendapat sambutan hangat di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.
Lagu ciptaan penyanyi sekali gus penulis lagu, Regina Song, berjudul, ‘the cutest pair’, berhasil mendapat sambutan hangat di pasaran tempatan mahupun antarabangsa. - Foto INSTAGRAM REGINA SONG

Jarang sekali apabila seorang penyanyi sekali gus penulis lagu berusia 21 tahun dari negara kecil seperti Singapura, mampu mengumpul jutaan pendengar di Spotify. 

Tak lain dan tak bukan, beliau ialah Regina Song, penyanyi muda yang sudah mula menggubah lagu sejak umur setahun jagung iaitu, 16 tahun.

Meskipun perlu mengimbangi waktu antara persekolahan, bekerja sambilan sekali gus menanggung kos penerbitan muzik secara berdikari, Song mampu mendapatkan tempat dalam industri muzik hasil jerih perih sendiri.

Berbekalkan kemahiran dalam piano klasik serta minat mendalam terhadap seni penceritaan, beliau kini berjaya menawan hati peminat setia melalui lirik lagu yang jujur serta vokal suara yang lembut bak buluh perindu.

Namanya turut menjadi sebutan peminat muzik di seluruh dunia apabila lagu ciptaan Song, the cutest pair, tular di laman TikTok sekali gus mengumpulkan lebih 52 juta penstriman di Spotify, sehingga akhbar ini diterbitkan.

Album sulung berjudul, fangirl, yang dilancarkan pada 2024, memperkukuh lagi kedudukan Song sebagai bakat muda baru paling menonjol dalam arena muzik Singapura.

Fahimi Rahmat

Penyanyi dan penggubah lagu Malaysia, Muhammad Fahimi Rahmat, 28 tahun, mula mencuri perhatian di wadah perkongsian video ringkas, TikTok, dengan lagu ciptaannya, ‘Angau’.
Penyanyi dan penggubah lagu Malaysia, Muhammad Fahimi Rahmat, 28 tahun, mula mencuri perhatian di wadah perkongsian video ringkas, TikTok, dengan lagu ciptaannya, ‘Angau’. - Foto INSTAGRAM FAHIMI RAHMAT

Berbekal bait lirik santai ‘Terbaring lagi di taman, Tak sama siapa keseorangan, Tidakkah kamu rasa keletihan?, Berlari berkejaran dalam fikiran’, nama penyanyi dan penggubah lagu Malaysia, Muhammad Fahimi Rahmat, 28 tahun, mula mencuri perhatian di wadah perkongsian video ringkas, TikTok.

Dalam masa hanya 10 bulan sejak diterbitkan, lagu hasil ciptaan Fahimi, Angau (2024), berjaya mengumpulkan lebih 8.2 juta penstriman di Spotify, serta 5.8 juta tontonan di YouTube.

Kejayaan itu bagaikan mimpi menjadi kenyataan bagi Fahimi, yang merupakan lulusan Diploma Pengurusan Halal dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, yang telah hampir sedekad berjuang dalam bidang seni, ketika itu.

Abang kembar kepada peserta program realiti anjuran Astro, Big Stage, Muhammad Firdaus Rahmat ini, tidak menyangka lagu tentang seorang pemuda yang hanyut dalam khayalan cinta itu, akan melonjakkan namanya sejauh ini.

Kini, bukan lagi Angau sahaja yang membuat peminat muzik bagai ‘angau’ (dibuai khayalan) di TikTok, malah single terkininya bersama penyanyi NAZU, atau nama sebenarnya Nor Azureen Saharin, berjudul KOPI turut mencetuskan fenomena.

Sejak dilancarkan pada 8 Ogos, lagu tersebut sudah meraih 1.5 juta tontonan di YouTube dan 868,908 penstriman di Spotify.

Lagu itu bukan sahaja meraih sambutan hangat di Malaysia, malah turut mendapat perhatian di Indonesia. 

Mengangkat kisah usaha memikat hati kekasih dengan menggunakan ‘pick-up line’ atau ayat-ayat manis, karya tersebut ditulis bersama oleh NAZU, Ezra Kong dan Fahimi, manakala gubahannya dihasilkan oleh NAZU serta Kong.

Nadhif Basalamah

Nadhif Basalamah mengambil langkah berani keluar dari zon selesa, menciptakan lagu bahasa Indonesia, ‘Penjaga Hati’, yang kemudian berjaya mencuri perhatian pencinta muzik di TikTok sekali gus menembusi pasaran Indonesia dan Malaysia.
Nadhif Basalamah mengambil langkah berani keluar dari zon selesa, menciptakan lagu bahasa Indonesia, ‘Penjaga Hati’, yang kemudian berjaya mencuri perhatian pencinta muzik di TikTok sekali gus menembusi pasaran Indonesia dan Malaysia. - Foto INSTAGRAM NADHIF BASALAMAH

Penyanyi asal Jakarta, Indonesia, Nadhif Basalamah, 25 tahun, telah memulakan perjalanan seninya sejak 2018. 

Lazimnya, beliau dikenali dengan melancarkan lagu berbahasa Inggeris seperti, After School Sad Session (2018), Bitterness (2019), Spaces (2019), dan Never Let You Go (2023).

Bagaimanapun, lagu sulungnya dalam bahasa Indonesia, Penjaga Hati, yang dilancarkan pada 2023, berjaya melonjakkan nama Nadhif ke carta populariti dengan menempatkan diri dalam carta Billboard Indonesia, sehingga menembusi pasaran muzik Malaysia.

Lagu yang sering dipilih bagi menyerikan lagi majlis perkahwinan itu, kini telah meraih sekitar 151 juta tontonan di YouTube dan 471 juta penstriman di Spotify.

Turut mencuri perhatian ramai di TikTok adalah lagu kisah cinta, bergema sampai selamanya, ciptaan komposer Indonesia, Petra Sihombang.

Lagu itu turut meraih sebanyak 12 juta tontonan di YouTube, dan 174 juta penstriman di Spotify.

Pada 12 September lalu, Nadhif menggegarkan pentas Singapura melalui konsert jelajah Asia Tenggara, Menjaga Hati, di Foo Chow Hall.

Namun begitu, penonton Singapura meluahkan rasa kecewa dan keliru apabila persembahan dimulakan tiga jam lebih awal dari jadual asal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg