Sering kali sejarah masyarakat dan kampung di Singapura sekadar terungkap secara lisan, tulisan atau tercatat dalam buku sejarah.

Namun, pada 18 September lalu, bayangan sejarah peristiwa yang berlaku di beberapa kampung di Singapura terpancar kuat melalui persembahan tarian sewaktu Festival Ekspresi 2026: Citra Langgam.

Ekspresi 2026: Citra Langgam merupakan satu pementasan teater-tarian anjuran kumpulan tarian Dian Dancers, yang diadakan setiap empat atau lima tahun.

Menariknya bagi edisi kali ini, teater tersebut dijayakan hasil kerjasama tiga lagi kumpulan tarian, iaitu Era Dance Theatre, Azpirasi Dance Group dan Atrika Dance Company.

Gabungan tersebut melibatkan kesemua kumpulan tarian itu buat julung-julung kalinya dalam satu produksi yang sama, dengan lima pereka tari dan seramai hampir 40 penari belia dalam lingkungan umur antara 17 dengan 35 tahun.

Menyifatkan usaha sama itu sebagai cerminan jalinan baik antara beberapa kumpulan tarian di Singapura, pengasas bersama Dian Dancers, Dr Nuramin Farid, 40 tahun, berkata:

“Citra Langgam ini merupakan wadah untuk berkolaborasi bersama teman-teman seperjuangan dalam seni tarian khususnya.

“Setiap kumpulan mempunyai cita rasa mereka sendiri, jadi kita harus saling bertukar pengalaman dan mengenali satu sama lain melalui usaha rentas kumpulan sebegini.”

Gabungan keempat-empat kumpulan tarian ini berganding bahu menghidupkan semula memori budaya lalu, sekali gus membawa penonton menyelami gejolak emosi masyarakat kampung menerusi kelembutan gerak tari mereka

Empat kampung, termasuk Kampung Lorong Fatimah, Kampung Wak Tanjong, Kampung Changi dan Kampung Bukit Ho Swee, dipilih untuk diolah semula bagi menyingkap pengalaman kehidupan penempatan di kesemua kampung itu secara kreatif.

Antaranya pengalaman yang dipaparkan termasuk kisah masyarakat Kampung Lorong Fatimah, di Woodlands. Terletak berhampiran Tambak Johor, nadi kehidupan warganya mengalir erat bersama laut.

Bagi Kampung Wak Tanjong, ketabahan masyarakat dalam berdepan dengan kejadian banjir besar sewaktu Hari Raya pada 1969 itu turut diketengahkan.

Babak paling mencengkam jiwa memaparkan tragedi kebakaran Kampung Bukit Ho Swee.

Ia merakam detik pilu apabila penduduk kampung kehilangan segala-galanya, lalu terpaksa mengharungi keperitan berpisah dan pemindahan.

Justeru, dengan gerakan tarian serta mimik muka yang menceritakan kisah masyarakat kampung itu, ia menjadi satu persembahan ‘imersif’ yang melarutkan penonton dalam warna-warni perasaan dan pengalaman yang tidak pernah dilalui – khususnya bagi penonton yang tidak pernah rasai kehidupan kampung.

Ketika ditanya Berita Harian (BH), mengenai sebab kehidupan kampung yang telah lama hilang dalam ingatan masyarakat Singapura menjadi tema pementasan itu, Dr Nuramin berkata ia merupakan sebahagian usaha untuk mengangkat wacana berkenaan warisan kesemua kampung tersebut.

“Dalam tarian, ia bukan soal estetika kesenian sahaja.

“Melalui pementasan Citra Langgam ini, kami ingin menyuntik rasa empati terhadap pengalaman masyarakat kampung.

“Kita mungkin tahu peristiwa pemisahan dan perpindahan masyarakat kampung. Namun, kita belum tentu faham dan dapat meresapi emosi atau perasaan mereka.

“Tambahan itu, kehidupan dan kejadian yang melanda orang kampung itu mencakupi beberapa aspek dan pertimbangan seperti sosial, politik dan sebagainya.

“Jadi, ini yang ingin kita cerahkan melalui keindahan seni tarian dalam pementasan ini.

“Malah, sebelum memulakan produksi, terdapat kajian dan bacaan yang harus saya lakukan demi memastikan pementasan kami menepati rakaman sosial dan sejarah sebenar,” kata Dr Nuramin, yang juga pensyarah di Jabatan Seni Kreatif di Universiti Malaya, Malaysia.

Bagi mendukung penceritaan melalui tarian, pementasan itu dilengkapi beberapa aspek termasuk iringan lagu nostalgia seperti lagu Terasing, nyanyian asal Sudirman Hj Arshad, yang diolah semula.

Di samping itu, rentetan jalan cerita kehidupan kampung dijelaskan melalui sang ‘Penglipur Lara’, yang dimainkan oleh penggiat teater, Aidli ‘Alin’ Mosbit.

Memandangkan kesemua penari yang terlibat bagi pementasan tersebut tergolong dalam kalangan belia, terdapat semacam ‘keterasingan’ daripada pengalaman kehidupan kampung yang berlaku lebih 40 tahun lalu.

Mengulas tentang hal tersebut, Dr Nuramin menjelaskan ia merupakan antara cabaran utama untuk menyalurkan dan memastikan penari dapat memahami konteks sejarah itu demi penjiwaan yang berkesan.

“Kesemua penari rata-rata merupakan golongan belia.

“Jadi pengalaman pemisahan kampung itu tidak dilalui mereka dan boleh menjadi sukar untuk mereka menghayatinya.

“Tarian merupakan satu seni yang dilihat atau ditonton. Jadi apabila bergeraknya tubuh di pentas, ia harus mampu membawa emosi tertentu.

“Justeru, untuk memastikan penari kita dapat mempersembahkan tarian dengan emosi yang tepat, kami telah memanggil penari veteran seperti Mazlina Buang, pengasas Atrika Dance Company dan Osman Hamid, pengasas Era Dance Theatre yang juga merupakan penerima Pingat Kebudayaan.

“Mereka datang untuk berkongsi pengalaman tentang kehidupan di kampung dan memberi sedikit tunjuk ajar kepada penari muda agar dapat memahami serba sedikit tentang konteks persembahan,”

“

Dalam tarian, ia bukan soal estetika kesenian sahaja. Melalui pementasan Citra Langgam ini, kami ingin menyuntik rasa empati terhadap pengalaman masyarakat kampung. Kita mungkin tahu peristiwa pemisahan dan perpindahan masyarakat kampung. Namun, kita belum tentu faham dan dapat meresapi emosi atau perasaan mereka.
Dr Nuramin Farid, pengasas bersama Dian Dancers.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti